3/29/2009

Rekod Sejarah PRK - 15 Calon Bertanding Di Bukit Selambau

Pertandingan 15 calon di Bukit Selambau, Kedah dijangka menjadi tumpuan apabila pilihan raya kecil diadakan serentak 7 April depan bagi kerusi negeri itu serta Batang Ai di Sarawak dan kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Di Bukit Selambau, calon Barisan Nasional S.Ganesan bukan sahaja berdepan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) S.Manikumar tetapi 13 lagi individu yang bertanding sebagai calon Bebas, sekali gus mencatat sejarah sebagai pilihan raya yang melibatkan paling ramai calon.

BN menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan PKR di Batang Ai apabila calonnya Malcom Mussem Lamoh berdepan dengan Jawah Gerang, bekas anggota Parlimen Lubok Antu.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS, calon BN Ismail Saffian, dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris.

Rekod sebelum ini adalah pada satu pilihan raya di Sabah yang melibatkan lapan calon.

Calon-calon Bebas yang bertanding di Bukit Selambau ialah R. Loganathan, Tan Hock Huat, Mohd Radhi Mat Lazim, Mohd Fadzli Wahab, Abdul Rahim Abu, L. Sarala, A.Jayagopal, S. Moganakumar, Khamis Awang, Husaini Yaacob, Venason Michael, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid dan T. Chandrarajan.

Abdul Aziz berkata bilangan calon Bebas yang ramai bertanding mungkin disebabkan calon Bebas yang menang pada pilihan raya umum tahun lepas telah dilantik menjadi anggota Exco negeri.

Kawasan DUN Bukit Selambau mempunyai 35,140 pengundi termasuk 15 pengundi pos dengan majoriti pengundi Melayu (50.2 peratus), India (29.5 peratus), Cina (19.3 peratus) manakala bakinya adalah kaum lain.

Sementara itu, pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dijangka tertumpu kepada Mohammad Nizar, 52, yang menjadi perhatian dalam kemelut politik di Perak selepas BN mengambil alih pentadbiran negeri Februari lepas. Mohammad Nizar adalah anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.

Calon BN, Ismail, 49, adalah seorang anak tempatan yang berasal dari Kampung Kubu. Beliau adalah bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, manakala calon Bebas, Kamarul Ramizu, 42, merupakan seorang usahawan.

Kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar, termasuk 136 pengundi pos dengan pecahan 63.5 peratus pengundi Melayu, Cina (27.1 peratus), India (9.1 peratus) manakala yang lain (0.2 peratus).

Bagi pilihan raya kecil negeri Batang Ai, BN meletakkan muka baru Malcom Mussem Lamoh, 49, untuk berdepan dengan Jawah Gerang, 55, bekas anggota Parlimen Lubok Antu bagi lima penggal.

Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengetuai perarakan kira 5,000 penyokong BN mengiringi calon BN yakin BN mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi itu.

BN mempamerkan semangat permuafakatannya dengan kehadiran pemimpin-pemimpin seperti Naib Presiden Umno yang baru Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Calon PKR diiringi kira-kira 3,000 penyokong diketuai Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jumlah pengundi di Batang Ai ialah seramai 8,006 orang, dengan kira-kira 95 peratus terdiri daripada kaum Iban manakala selebihnya adalah Melayu, Cina dan lain-lain.

Pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Batang Air diadakan berikutan kematian penyandang iaitu Roslan Shaharum dari PAS pada 9 Feb lepas dan Datuk Dublin Unting Inkot (BN) pada 24 Feb.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Banyak tu wehh...

Tak kisahlah...asalkan kemenangan di tangan BN!

Barisan Nasional...tingkatkan kempen kita!...