1/18/2010

CAH KETING DALAM PAS : MEMBANGUN BERSAMA CAH KETING.

Apabila Mursyidul Am PAS Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat secara terbuka mengakui wujud budaya ‘cah keting’ atau cantas mencantas sehingga menimbulkan kepincangan dalam parti itu, mungkin ada yang geleng kepala.

Maklumlah, sebelum ini budaya itu kerap dikaitkan dengan UMNO tetapi bila Nik Aziz mula berdoa khusus memohon perlindungan Allah supaya menjauhkan amalan itu, tindakan Menteri Besar Kelantan itu sekaligus mengesahkan perbuatan itu wujud juga dalam PAS.

Mahu atau tidak, ramai masih ingat pertembungan Datuk Husam Musa dan Nasaruddin Mat Isa dalam pemilihan jawatan Timbalan Presiden PAS serta pertembungan Datuk Dr Hasan Mohd Ali dan Khalid Samad di Selangor.

Memang tidak salah Husam mencabar Nasaruddin yang mempertahankan jawatan tetapi gerakan memastikan pemimpin yang pro kedua-dua mereka kalah dalam perebutan jawatan peringkat bawahan boleh dianggap sebahagian ‘cah keting’.

Akibatnya, ramai pemimpin dari Kelantan yang bertanding tewas hingga ada mengaitkan kekalahan itu sebagai penolakan kepimpinan Nik Aziz sebagai sebagai Pesuruhjaya PAS negeri dan Husam selaku timbalannya.

Di Selangor, lagi sengit apabila Dr Hasan yang juga Pesuruhjaya PAS negeri mengugurkan Ahli Parlimen Shah Alam Khalid daripada jawatan Timbalan Pesuruhjaya selain Ketua Penerangan PAS negeri Shaari Sungib.

Walaupun penguguran mereka dijelaskan oleh Dr Hasan sebagai ‘memberi kebaikan kepada PAS Selangor’ dan dipersetujui ramai, kumpulan yang pro pada Khalid pula menganggapnya sebagai ‘cah keting’.

Kesannya berlaku pergeseran panjang hingga ke hari ini antara mereka berdua dengan masing-masing berlawanan pendapat dan kesudahannya Dr Hasan dan Khalid dihadapkan kepada Jawatankuasa Disipin PAS.

Apabila Nik Aziz semalam menyebut mengenai ‘cah keting’ atau cantas mencantas, Dr Hasan yang ditanya pasal pertelingkahannya dengan Khalid, memilih jalan selamat dengan menafikan wujud amalan itu di Selangor.

Beliau yang ditemui media selepas mengadakan bersama jentera penerangan PAS Selangor, Dr Hassan menjelaskan sikap terbuka PAS negeri dalam menentukan pucuk pimpinan. “Kalau saudara tengok, saya tak ada cantas mencantas. Kalau ada orang kata, kita berhentikan ketua penerangan dan sebagainya, mana-mana parti buat begitu ikut keperluan,Lagipun, saya tak pernah buat keputusan bersendirian. Saya rujuk pada Dewan Harian, saya rujuk pada Perhubungan PAS Selangor. Kemungkinan, kalau ada ketua penerangan dan timbalan pesuruhjaya ditukar, mungkin dah sampai masa dan itu demi kebaikan dan masa depan PAS di Selangor,” tegasnya.

Menurut Dr Hasan lagi, “ Tak timbul bila PAS menurunkan sesaorang itu kerana ianya dengan izin semua dan mereka terbabit diberi ruang mengemukakannya (bantahan) pada Dewan Harian dan Perhubungan negeri,”.. Bagaimanapun, perbezaan Dr Hasan dan Khalid bukan rahsia lagi dalam PAS negeri dan Pusat.

Malah, orang ramai melihat tindak tanduk Khalid yang kerap mempertikai kenyataan dan tindakan Dr Hasan memberi gambaran berlaku kepincangan dalam parti itu seperti dimaksudkan Nik Aziz.

Dalam isu kalimah Allah juga, Khalid mengentam Jabatan Agama Islam Selangor dan Majlis Agama Islam Selangor yang di bawah portfolio Dr Hasan dalam barisan Exco kerajaan negeri. Ada berpendapat, tindakan Khalid yang dilihat sebagai pemimpin PAS yang pro Anwar Ibrahim semata-mata mahu memperlekeh kepimpinan Dr Hasan.

Menjawab isu ini, beliau menyifatkan isu kalimah Allah yang dibangkitkan Khalid adalah pandangan peribadi bukannya PAS Selangor.

“Pandangan PAS negeri selari dengan Mursyidul Am, timbalan presiden (Nasaruddin) dan semangat Presiden (Datuk Seri Abdul Hadi Awang). Kalau ada pandangan berbeza, saya anggap ianya peribadi dan tak wakili organisasi PAS,” katanya. Menurut Dr Hasan, beliau tidak ada cara menyekat pandangan peribadi ‘kawan-kawan’ kerana PAS juga mengamalkan demokrasi.

“(Pandangan Khalid) Ini kita faham. Sebagai pesuruhjaya, saya mesti tentukan aliran ini minimum dan tidak goyangkan keutuhan serta keampuhan parti,”: jelasnya.


Tiada ulasan: