6/03/2010

UNDURLAH SAMY VELLU - MASA SUDAH SAMPAI !!!



Mengambil kira pelantikan Timbalan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel ke dalam Kabinet seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Selasa, Datuk Seri S.Samy Vellu sepatutnya sudah boleh memikirkan untuk memenuhi desakan memintanya melepaskan kerusi presiden MIC.

Walaupun hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, harapan Samy Vellu melihat bakal penggantinya berada dalam Kabinet dengan alasan dapat menguatkan parti sudah tercapai.

Palanivel bernasib baik berbanding presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang tidak mahu menerima apa-apa jawatan kerajaan selepas memenangi kerusi itu menewaskan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Najib sudah banyak berlembut dengan Samy Vellu dan bekas menteri Kerja Raya itu wajar membalas kebaikan itu dengan merungkai permasalahan parti apabila ramai pemimpin dan ahli-ahli memintanya berundur lebih awal bukannya September tahun depan.

Samy Vellu harus ingat bagaimana Najib selaku Pengerusi BN mengembalikan kerusi parlimen Hulu Selangor kepada MIC walaupun timbul desakan kuat kalangan pemimpin dan ahli UMNO menuntut semula kerusi itu ketika pilihanraya kecil kawasan itu, akhir bulan April.

Bukan sahaja dapat kerusi malah Najib juga bersetuju dengan permintaan Samy Vellu supaya memilih P.Kamalanathan sebagai calon walaupun nama bekas timbalan Ketua Pemuda MIC, V.Mugilan dikatakan lebih menarik perhatian BN.

Perdana Menteri sekali lagi akur dengan presiden MIC itu apabila melantik Palanivel sebagai Senator dan terbaru sebagai timbalan menteri dalam rombakan semalam.

Mengambil kira semua ini, semu impian Samy Vellu sudah tercapai tetapi apakah beliau masih tidak berpuashati lagi dan mahu kekal sebagai presiden parti sedangkan desakan mintanya berundur lebih awal begitu kuat termasuk dari mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau harus ingat, Gerakan Anti Samy Velu (GAS) yang digerakkan Mugilan belum terhenti sebaliknya akan mengumpul 500,000 tandatangan mendesak Samy Vellu berundur.

Percayalah sehingga September tahun depan, macam-macam perkara dalaman MIC akan terus jadi bebanan kepada BN dan Najib jika Samy Vellu masih kekal.

Samy Vellu juga harus tahu, menjelang tempoh pilihanraya umum ke 13, parti komponen BN perlu memperkukuhkan parti dan jentera parti bagi memastikan BN menang selesa selepas hilang majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum lalu.

Jika Samy Vellu tetap berundur mengikut cadangannya, apakah Palanivel yang akan memangku jawatan Presiden mempunyai masa yang cukup untuk mempunyai pengaruh yang cukup kuat dikalangan pemimpin dan anggota parti?

Sebenarnya, inilah masa terbaik Samy Vellu berundur supaya Palavinel dapat menguruskan MIC mengikut acuannya.

Palanivel juga boleh merapatkan kembali kepimpinan dalam MIC dengan menerima semula pemimpin dan ahli yang dipecat oleh Samy Vellu.

Lainlah kalau Samy Vellu mahu kekal sehingga September tahun depan kerana beliau tidak percaya kemampuan Palanivel menerajui MIC atau mahu menentukan calon-calon MIC pada pilihanraya umum kelak atau pemilihan parti itu.

Samy Vellu harus ingat, jangan kerana nila setitik habis susu sebelanga.


Tiada ulasan: