2/05/2010

TUDUHAN LIWAT BAWA PADAH - PERANG SESAMA PAKATAN !!!

Ketika kes liwat Datuk seri Anwar Ibrahim masuk hari pertama Rabu…’ tembak menembak’ dalam pakatan pembangkang di Pulau Pinang belum nampak tanda-tanda bakal reda.

Siapa kata Ahli Parlimen PKR Bayan Baru Datuk Zahrain Hashim yang hingga hari ini tidak berganjak dari kenyataannya menghentam Ketua Menteri Lim Guan Eng keseorangan. Rabu lepas Ahli Parlimen PKR kawasan Nibong Tebal, Tan Tee Beng tampil memberi sidang akhbar di Kuala Lumpur mendakwa Guan Eng yang berasal dari Melaka sudah tidak layak menjadi Ketua Menteri Pulau Pinang.

Tan berkata sudah tiba masanya untuk rakyat Pulau Pinang menentukan kedudukan Guan Eng pada pilihan raya umum akan datang. Katanya beliau tidak kisah kalau pemimpin DAP anak tempatan lain ambilalih asalkan bukan Guan Eng. Lebih teruk beliau mendakwa Guan Eng melayan wakil rakyat PKR seperti anjing.

"Sebenarnya beliau tidak endahkan wakil rakyat PKR langsung dan terlalu berlagak dengan jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang," katanya. Kata Tan lagi hampir semua wakil rakyat di negeri itu sudah muak dan bosan dengan janji-janji Guan Eng yang kononnya akan memperjuangkan nasib rakyat.

"Bayangkan setiap kali mesyuarat dalam negeri atau perjumpaan biro diadakan, Guan Eng tidak pernah mengambil tindakan susulan daripada perkara berbangkit sebaliknya hanya cakap kosong. Sehubungan itu, saya sebagai wakil akar umbi bertindak menegur beberapa perkara berbangkit kepada Guan Eng namun beliau menuduh saya telah mengkritik kepimpinannya," katanya.

Tan turut mencabar Guan Eng menafikan dakwaannya itu jika ia salah. Ditanya sama ada Anwar menyedari mengenai kebimbangan beberapa pemimpin PKR di Pulau Pinang terhadap Guan Eng,katanya beliau percaya Penasihat PKR itu menyedari keadaan terkini politik di Pulau Pinang tetapi tidak bertindak untuk menanganinya.

"Saya rasa beliau tidak bertindak menanganinya...mungkin beliau fikir berkompromi (dengan DAP) adalah cara terbaik," katanya. Tan mengulangi pendiriannya bahawa beliau tidak akan menarik balik atau berhenti membuat kenyataan mengenai "keangkuhan" Lim meskipun menerima khidmat pesanan ringkas (SMS) daripada Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Hussein Ali, supaya berbuat demikian.

Dalam perkembangan berkaitan Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang Dr Mansor Othman memberitahu wartawan di Georgetown PKR Pulau Pinang tidak akan terjejas jika ada seorang dua anggotanya mahu keluar daripada parti.

Beliau yang juga Pengerusi badan perhubungan parti negeri berkata, kedudukan PKR dalam pakatan pembangkang juga tidak akan tergugat dengan tindakan itu.

"Kami tidak akan menangis hanya kerana ada dua orang anggota mahu keluar parti," katanya ketika mengulas laporan media bahawa terdapat segelintir anggota PKR khususnya di negeri itu berhasrat keluar parti berikutan krisis kepimpinan.

Mengenai gesaan Ahli Parlimen Nibong Tebal agar PKR mendesak Ketua Menteri ditukar, Mansor berkata saranan itu bukan pendirian parti. "Keretakan yang berlaku sekarang berpunca daripada seorang dua anggota baru yang hanya menyertai parti pada tahun kebelakangan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Staf Pejabat Ketua Menteri, Jeff Ooi menafikan wujud keretakan dikalangan anggota Exco. Memang ada berlainan pandangan dan kami bebas bercakap, tetapi tidak ada di antara kami yang berkecil hati selepas keputusan dibuat," katanya.

Beliau juga menafikan dakwaan bekas anggota DAP, Tham Weng Fatt, bahawa ada perselisihan antara kalangan ahli Exco dari DAP dengan Guan Eng. Sebuah akhbar harian berbahasa Malaysia hari ini memetik Tham sebagai berkata bahawa terdapat keretakan antara Lim dan beberapa anggota Exco seperti Phee Boon Poh, Law Hen Kiang dan Ooi sendiri, dan masalah itu semakin buruk.


1/26/2010

ZAID IBRAHIM FIRAUN KECIL - ZULKIFLI NORDIN

Ahli Parlimen PKR Kulim Bandar Bharu, Zulkifli Nordin menyifatkan Ahli Parlimen PAS Shah Alam Khalid Samad dan Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi PKR, Zaid Ibrahim sebagai Firaun Kecil yang mempertikaikan pendiriannya berhubung dengan kalimah Allah.

Sehubungan itu beliau menegaskan, jika sampai kepada peringkat beliau perlu keluar parti dalam mempertahankan kalimah suci Allah, beliau sedia berbuat demikian.

“Mereka ini bagi saya adalah Firaun Kecil . Dalam Isu Islam tidak ada kompromi apatah lagi soal kalimah Allah membabitkan soal akidah. Walaupun Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta saya menarik balik laporan polis terhadap Khalid Samad kerana menyifatkan ia adalah perbezaan pendapat tetapi saya tegaskan kepadanya, kenyataan Khalid bukan perbezaan pendapat tetapi penghinaan kepada Islam.

“Dalam soal Zaid Ibrahim yang mahu saya dipecat dari parti, saya tidak berminat melayan politikus hinggusan dan opportunis macam dia. Saya hendak bertanya apakah pendirian dia tentang hudud, kerana dulu dia pernah saman kerajaan Kelantan kerana hendak laksanakan hudud. Selepas itu PAS perlu buat pendirian terhadap orang macam ini. Kita hendak tahu sejauh mana PAS boleh berkompromi dengan soal Islam ini,” jelasnya panjang lebar.

Khalid dalam kenyataanya mempersoalkan kenapa Zulkifli menyamannya kerana pendiriannya sama dengan Anwar. Manakala Anwar pula menyifatkan Zulkifli sudah cross the line dan Zaid pula mahukan parti memecat Zulkifli sebagai ahli PKR.

Mengulas mengenai semua perkara itu, Zulkifli berkata, beliau tidak akan berganjak dengan pendiriannya walaupun terpaksa meninggalkan parti. Ditanya adakah beliau ada berhubung dengan Anwar, beliau mengakui Anwar ada menghubunginya dan meminta beliau menghormati perbezaan pendapat dan menarik balik laporan polis terhadap Khalid.

“Saya juga hairan kenapa Anwar sebagai seorang yang mempunyai imej Islam yang kuat menyokong Kristian. Kita tahu ada dua pendapat berbeza dalam isu ini, ada ulama luar yang menyifatkan tidak salah agama lain guna kalimah Allah tetapi ulama besar dalam negara tidak bersetuju.

“Saya harapkan Anwar akan mengambil sikap bebas tetapi beliau menyokong pihak Kristian. Tapi itu saya boleh terima sebagai perbezaan pendapat. Tetapi kenyataan Khalid yang menyatakan enakmen Islam Selangor sudah ketinggalan zaman, bagi saya adalah satu penghinaan. Dalam soal kalimah Allah Khalid sudah tidak bertamaddun, keluar batas perbahasan. Dia hina Islam, hina sistem perundangan, hina Sultan, bagi saya dia biadap. Anwar minta saya tarik balik laporan polis, saya kata boleh jika Khalid memohon maaf kepada umat Islam dan kepada Sultan Selangor,” ujarnya panjang lebar.


1/25/2010

ZULKIFLI NORDIN DIPECAT? - ANWAR DIKTATOR !!!

Polemik isu kalimah Allah nampaknya telah memecahbelahkan Pakatan Pembangkang. Ahli Parlimen Kulim-Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang lantang dan mempunyai ideologi berbeza dari PKR akan diambil tindakan.

Mesyuarat khas Biro Politik PKR akan diadakan pada Selasa depan bagi membincangkan tindakan Zulkifli Nordin yang membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung isu kalimah Allah.

Setiausaha Agung PKR yang baru, Saifuddin Nasution Ismail berkata, mesyuarat berkenaan akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Zulkifli Nordin pada hari Sabtu yang lalu telah membuat laporan polis terhadap Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad kerana kenyataannya mengenai isu kalimah Allah disifatkan boleh mengelirukan umat Islam.

Ini bukan kali pertama Zulkifli bertelagah dengan Khalid kerana sebelum ini mereka berdua pernah saling melemparkan kenyataan sehingga menyebabkan Zulkifli pernah diberikan surat tunjuk sebab oleh PKR. Ditanya lebih lanjut, Saifuddin berkata, perkara itu akan dibincangkan di peringkat Biro Politik terlebih dahulu sebelum sebarang keputusan rasmi mengenainya dibuat.

Sementara itu Khalid Samad nampaknya tidak ambil kisah dengan laporan polis yang dibuat oleh Zulkifli dan sebaliknya tetap berpegang dengan kenyataannya sebelum ini kerana berpendapat ia tidak bertentangan dengan pendirian rasmi Pas dan PKR.

Beliau juga mempersoalkan kepada Ahli Parlimen PKR itu tidak buat laporan polis terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Datuk Nik Aziz Nik Mat kerana mempunyai pendirian yang sama dengannya.

Dulu, PKR lantang melaungkan kebebasan bersuara dan menuduh UMNO dan BN tidak mengamalkan kebebasan bersuara atau gelaran "Yes Man". Sekarang? Apa cerita? Lepas ini, pemimpin PKR akan lebih bersikap diam diri dan tidak akan menegur mana-mana kesilapan yang diamalkan pemimpin mereka. Nampaknya tuduhan yang mereka tuju pada kita kini kembali pada mereka. Anwar Ibrahim semakin tunjuk belang. Anwar Ibrahim Diktator.

Yang hairan, kenapa Zulkifli Nordin masih setia bersama PKR? Sudah-sudahlah Uncle Zul.. Keluarlah dari PKR.. Pelbagai drama dan lakonan telah kamu saksikan dalam PKR. Sanggup gadaikan maruah Agama untuk tarik pengundi bukan Islam. Itukah ideologi kamu?

Terpulang Uncle Zul....


1/24/2010

2 KHALID MENGGELUPUR DI SELANGOR - TIDUR TAK LENA, MANDI TAK BASAH

Nama mereka serupa. Seorang Khalid Ibrahim, seorang lagi Khalid Samad. Malah dengan apa yang berlaku kebelakangan ini, nasib mereka juga nampak hampir sama juga.

Jika Khalid menjadi Menteri Besar yang tidak dipercayai lagi oleh pemimpin-pemimpin PKR kawasannya sendiri di cabang PKR Kuala Selangor, Khalid ahli parlimen PAS Shah Alam pula berdepan protes masyarakat Islam ekoran kenyataannya berhubung isu Kalimah Allah.

Malah lebih malang lagi Yang Di Pertua PAS kawasan Shah Alam itu dianggap sesetengah pihak sebagai cuba mencabar bidang kuasa Sultan Selangor selepas mengeluarkan kenyataan menentang pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh bukan Islam.

Khalid juga sedang menunggu keputusan Jawatankuasa Disiplin PAS Pusat berhubung ‘pertembungan’nya dengan Pesuruhjaya PAS Selangor yang juga Exco Kerajaan Negeri Datuk Dr Hasan Mohd Ali.

Jawatankuasa itu sepatutnya mengumumkan hasil siasatan dan kemungkinan tindakan terhadap mereka berdua tetapi menangguhkan kepada 29 Januari apabila kedua-dua mereka tidak dapat hadir menemui jawatankuasa itu yang bermesyuarat Jumaat.

Jika sabit, tiga hukuman menanti mereka iaitu digugurkan, digantung keahlian dan amaran. Bagaimanapun, hukuman ke tiga dijangka dikenakan terhadap mereka demi menjadi perpaduan dalam PAS serta mengelak Khalid dan Hasan terus berlaga pendapat.

Selain itu, Khalid yang diterima menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah, di Istana Bukit Kayangan pagi Jumaat juga dikaitkan sesetengah pihak dengan pendirian beliau mengenai isu kalimah Allah baru-baru ini. Khalid dilihat memasuki pekarangan istana pada jam 11.15 pagi sebelum keluar semula pada jam 1 tengah hari.

Ketika ditemui wartawan sejurus keluar kawasan istana, Khalid berkata kehadiran beliau untuk menghadap baginda adalah bagi membincangkan isu berkaitan rancangan pembangunan kawasan Shah Alam serta meminta perkenan baginda untuk tujuan terbabit.

"Tujuan saya menghadap baginda hari ini (semalam) adalah bagi membincangkan mengenai Shah Alam dan perancangan untuk pembangunannya. Saya akan keluarkan kenyataan nanti,” katanya. Dalam pertemuan itu, katanya, beliau turut diberi nasihat oleh Sultan Selangor mengenai hal-ehwal agama dan menerima segala teguran baginda itu.

Terdahulu, kira-kira jam 10.30 pagi sekumpulan 30 wakil persatuan belia dan badan bukan kerajaan (NGO) dalam Parlimen Shah Alam berkumpul di Bangunan Sultan Idris Shah menyerahkan memorandum mendesak Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) mengambil tindakan terhadap Khalid.

Memorandum itu meminta dua badan terbabit mengambil tindakan terhadap Khalid kerana dikatakan menghina bidang kuasa Sultan dan badan agama negeri itu serta tidak mengendahkan arahan Sultan bahawa kalimah Allah tidak dibenarkan diguna bukan Islam di Selangor.Sementara itu, Menteri Besar Selangor pula menerima kejutan besar dengan peletakan jawatan 13 ahli jawatankuasanya PKR Kuala Selangor yang diketuai Khalid.. Kesemua 13 AJK berkenaan termasuk Ketua Angkatan Muda (AMK), Nazaruddin Darmawan dan Ketua Wanita, Fauziah Sulaiman meletak jawatan secara berperingkat bermula November lalu hingga kelmarin kerana hilang kepercayaan terhadap Khalid yang juga Pengerusi Perhubungan PKR Selangor.

Situasi ini bermakna Khalid hilang jawatan Ketua Bahagian sehingga pemilihan baru diadakan yang dijangka pada Mac ini. Peletakan jawatan beramai-ramai AJK serta kemungkinan banyak ahli yang keluar parti itu sudah mula didengar Agendadaily sejak November lalu.

Cakap-cakap itu jadi kenyataan akhirnya dan Khalid yang cuba menutup malu menyatakan akan ada pemilihan baru di bahagian Kuala Selangor, maka sebab itu ahli jawatankuasa terbabit meletak jawatan kerana mungkin tidak terpilih semula.

Namun disebalik itu semua, ada cerita lagi panas kononnya terdapat pihak tertentu dalam PKR yang mahu menjatuhkan Khalid dan menggantikan Menteri Besar baru.

Ianya dikatakan bermula sejak Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mula dilantik penasihat ekonomi negeri Selangor. Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo turut membuat dakwaan serupa mengenai usaha menggulingkan kepimpinan Khalid.

Menurut beliau, PKR di negeri itu berdepan krisis dalaman yang cukup ketara terutamanya bagi merebut jawatan di peringkat negeri dan pimpinan tertinggi. "Sesama mereka sendiri ada masalah dalaman, perkara ini tak dapat nak selindung lagi kerana ia jadi semakin besar.

"Perkembangan terkini menunjukkan memang ada usaha untuk jatuhkan Tan Sri Khalid, ada kumpulan tertentu dalam partinya sendiri mahu rampas kedudukan beliau," katanya yang turut menamakan Naib Presiden PKR yang juga ADUN Bukit Antarabangsa, Azmin Ali sebagai pemimpinpin PKR yang akan mendapat lama daripada semua ini.

Cuma pesan mantan Menteri Besar Selangor itu, jangan Khalid tuduh UMNO atau jadikan UMNO kambing hitam malang yang bakal menimpa dirinya.




1/22/2010

KES LIWAT - ANWAR LETAK JAWATAN? UNCLE LIM K.PEMBANGKANG? SANDIWARA..

Nampaknya desas-desus mengenai perletakan jawatan Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim Al Juburi semakin menjadi perhatian anak-anak buahnya. Beliau dikatakan terpaksa melepaskan jawatan beliau kesan dari kes liwatnya yang asyik ditangguh sahaja.

Bila dengar Anwar Ibrahim nak letak jawatan, PAS dan DAP apa lagi. Menggelupur kepanasan nak pegang jawatan Ketua Pembangkang. Tapi jika dikira majoriti Parlimen, PAS memang kecundanglah. Namun Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir menjelaskan, Setiausaha DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sedia menerajui jawatan tersebut jika Anwar Ibrahim Al Juburi melepaskan jawatan beliau. Eh? Belum apa-apa sudah buat statement. Nampak sangat tak sabar-sabar nak take over Ketua Pembangkang.

Persoalannya, siapa yang akan menggantikan De Facto PKR ni? Ada yang kata Lim Guan Eng. Emm... PAS kecundang lagi la jawabnya.

Apapun, kita tengoklah nanti sejauh mana mereka boleh 'bersatu'... Jangan-jangan semua ini sandiwara mereka...