7/31/2009

AL FATIHAH - WALAUPUN BERLAINAN PARTI, DATUK HAMDAN TETAP SAUDARA SEISLAM KAMI.

ADUN Permatang Pasir, Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) di Kuala Lumpur pagi ini. ADUN PAS itu meninggal dunia akibat sakit jantung pada kira-kira jam 6.30 pagi tadi.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) perlu mengadakan pilihanraya kecil bagi DUN Permatang Pasir dalam tempoh 60 hari. Permatang Pasir - salah satu kerusi dalam parlimen Permatang Pauh yang diwakili ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim - adalah kerusi DUN tunggal PAS di Pulau Pinang.

Dalam pilihanraya umum lalu, Mohd Hamdan memperolehi 11,004 undi untuk menewaskan calon BN dari Umno, Ahmad Sahar Shuib dengan majoriti 5,433 undi. Ahmad Sahar mendapat 5,571 undi. Dua bulan lalu, pilihanraya kecil diadakan bagi DUN Penanti - juga dalam parlimen Permatang Pauh - ekoran peletakan jawatan penyandangnya Mohamad Fairus Khairuddin.

Pilihanraya kecil itu dimenangi calon PKR Dr Mansor Othman dalam pilihanraya yang mencatatkan sejarah apabila jumlah pemilih yang keluar mengundi paling rendah ekoran Umno tidak meletakkan calonnya bertanding di situ.

Mohd Hamdan baru sahaja menerima anugerah Darjah Setia Pangkuan Negeri yang membawa gelaran Datuk pada 11 Julai lalu daripada kerajaan Pulau Pinang. Allahyarham, pesuruhjaya PAS negeri hingga 2003, bertapak di Permatang Pasir selama tiga penggal sejak 1999. Sebelum menceburi politik sepenuh masa, beliau berkhidmat sebagai guru di Maktab Sultan Abdul Hamid, Kedah pada 1965 hingga 1966, kemudian sebagai pegawai pentadbir kerajaan Kedah mulai tahun 1966 ehingga 1977.

Jawatan terakhirnya dalam kerajaan adalah sebagai pegawai pentadbir di Jabatan Kastam dan Eksais Diraja Malaysia antara 1977 hingga 1983. Allahyarham meninggalkan seorang balu dan enam anak. Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Permatang Pasir di sini, selepas Asar.

UMNO Cawangan Gombak Selatan mengucapkan Takziah kepada keluarga Allahyarham. Sungguhpun beliau seorang ADUN PAS, beliau tetap saudara seIslam kita. Semoga Allah melindungi roh beliau. Amin.


7/30/2009

ISU KONGSI GELAP MELIBATKAN EXCO SELANGOR - DAKWAAN MP WANGSA MAJU TIDAK DIJAWAB DENGAN JELAS

Jika tidak kerana kematian misteri Teoh Beng Hock,mungkin isu dakwaan yang mengaitkan ‘orang dalam’ pentabiran negeri Selangor dengan kongsi gelap kini menguasai pentas. Makanya hingga sekarang gema dakwaan Ahli Parlimen PKR Wangsa Maju,Wee Choo Keong adanya pejabat Exco Kerajaan Negeri dijadikan tempat pertemuan orang yang ada kaitan dengan perniagaan ‘bawah tanah’ masih belum terjawab.

Wee yang sudahpun memberi keterangan kepada polis mengenai dakwaan itu tetap tidak berganjak sekalipun Exco Kerajaan Negeri DAP Ronnie Liu melenting minta beliau namakan siapa yang dimaksudkanya itu.Itu kisah pembangkang vs pembangkang lanjutan dari desakan Ahli Dewan Undangan Negeri PKR Azmin Ali agar jawatan Exco Kerajaan Negeri Selangor dirombak.Apakah ini semua ada kaitan dengan dakwaan terbaru Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo terhadap kerajaan negeri Selangor.

Bekas Menteri Besar Selangor Rabu membangkitkan dakwaan serius yang perlu dijawab oleh Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.Hal seperti ini tidak pernah terdengar semasa Selangor di bawah pentabiran Barisan Nasional dulu.Dr Khir mendakwa kebanyakan kegiatan mencuri pasir, perjudian, spa dan pelacuran di Selangor didalangi "gerakan bawah tanah" atau kongsi gelap.

7/29/2009

HANTU SIVAKUMAR KEMBALI GANGGU DUN PERAK...

Polemik politik Perak sepatutnya telah terhenti sekiranya semua pihak tahu menghormati keputusan yang telah dibuat. Ikut amalan, setelah sesuatu Dewan Undangan Negeri dirasmikan dengan titah Diraja, sidang berkenaan sah. Dalam konteks negeri Perak, titah Diraja telah disampaikan dan Speaker yang mengendalikan majlis perasmian ialah Datuk Ganesan yang baru dilantik menggantikan V. Sivakumar.

Namun, Sivakumar atau lebih tepat pembangkang tetap pembangkang. Terbaru, Sivakumar hendak membawa Ganesan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan kerana mendakwa dirinya masih Speaker dan sidang DUN yang berlangsung Mei lalu tidak sah.

Hendak mendakwa Ganesan boleh dibaca sebagai tindakan politik tetapi untuk menyatakan sidang tidak sah setelah Pemangku Sultan Perak, Raja Dr Nazrin Shah menunggu hampir lima jam untuk menyampaikan titah ucapan, ia dilihat sudah melampau. Malah tindakan Sivakumar masih menggunakan kepala surat Yang Dipertua Dewan Negeri Perak dalam urusan surat menyuratnya disifatkan satu perbuatan jenayah.

Untuk itu Kelab Penyokong BN (BBC) DUN Perak yang diwakili oleh empat ADUN Barisan Nasional (BN) hari Selasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah Ipoh terhadap tindakan Sivakumar tersebut.

Pengerusinya Datuk Nadzri Ismail, berkata tindakan Sivakumar melakukan perbuatan itu adalah kesalahan yang serius dan berunsur jenayah.

"Kami menggesa pihak berkuasa menyiasat dan seterusnya mengambil tindakan segera bagi membendung salah laku seperti ini...seperti biasa Sivakumar dan gerombolan daripada pakatan pembangkang bertindak mengikut 'undang-undang rimba'.

"Mereka telah mengenepikan proses bertamadun dan tindakannya itu adalah satu tindakan "penyamaran" yang juga pelakuan jenayah," katanya. Turut bersama membuat laporan polis itu adalah ADUN Air Kuning, Datuk Shamsudin Abu Hassan; Sham Mat Sahat (Alor Pongsu) dan Datuk Nasarudin Hashim (Bota).

Ini bukan kali pertama Sivakumar bertindak menggunakan kedudukannya untuk membuat tindakan melalui Jawatankuasa Hak dan Kebebasan. Semasa masih menjawat jawatan Speaker, beliau telah menggantung Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan enam Exco yang dilantik oleh Sultan Perak daripada menghadiri sidang DUN.

Walaupun Mahkamah Persekutuan telah membuat keputusan penggantungan berkenaan tidak sah tetapi semasa mengendalikan sidang DUN Mei lalu, Sivakumar yang telah diberikan keputusan Mahkamah berkenaan tetap ‘buat gila’ dan tidak peduli dengan keputusan mahkamah. Setelah itu ada laporan polis dibuat dan sehingga kini tiada pun tindakan menghina mahkamah dikenakan terhadap Sivakumar.

Menjelang tempoh enam bulan selepas sidang DUN terakhir 7 Mei lalu di mana DUN perlu bersidang sekali lagi, sudah tentu banyak lagi pertunjukkan politik akan dipentaskan oleh Sivakumar. Apatah lagi pembentangan Bajet Negeri akan juga dibuat di DUN, maka sudah tentu tindakan ‘memanas badan’ perlu dibuat dari sekarang.


Kematian Setpol Exco Selangor - KELUARGA TEOH BENG HOCK BERTEMU NAJIB

Sesuai dengan janji yang dibuat, Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak meluangkan masa kira-kira 30 minit petang Isnin menemui keluarga mendiang Teoh Beng Hock.

Pertemuan yang bermula sekitar 7.30 malam itu adalah atas undangan Najib dan pada pertemuan berkenaan, Perdana Menteri memberi jaminan kepada keluarga mendiang bahawa siasatan yang meyeluruh akan dilakukan.

"Apa saja yang perlu akan dilakukan untuk mengenal pasti punca kejadian, dan jika ada sebarang salah laku, tindakan pasti akan diambil," katanya.

Pada pertemuan itu, Najib sekali lagi menyampaikan takziah dan simpati kerajaan kepada bapa mendiang, Teoh Leong Hwee, emaknya, Teng Shuw Hor, abangnya, Beng Kee, adik perempuannya, Lee Lan, dan juga tunangnya, Soh Cher Wei.

Turut hadir bekas Setiausaha Agung DAP dan bekas Ahli Parlimen Kota Melaka, Kerk Kim Hock yang mempunyai talian persaudaraan dengan Teoh.

Najib turut mengulangi kepada keluarga berkenaan bahawa semua anggota kabinet memandang berat kejadian yang menimpa Teoh.

Selain itu beliau juga menjelaskan keputusan kerajaan menubuhkan suruhanjaya siasatan diraja bagi meneliti prosedur siasatan SPRM dan inkues bagi mengenalpasti punca kematian Teoh dan menjelaskan ia adalah pendekatan serentak.

Jelasnya, pendekatan itu akan dapat memastikan sama ada mana-mana aspek atau tindakan yang diambil, mungkin ada kaitan atau menyebabkan kejadian itu.

Berhubung dengan permintaan keluarga Teoh agar anak yang dikandung tunangnya kini diberikan kebenaran menggunakan nama keluar Teoh selepas dilharikan, Najib berkata, Peguam Negara dan jabatan yang berkaitan akan mengkaji dan mencari jalan penyelesaiannya.


7/28/2009

PERGI JAHANAM DENGAN UMNO - NIK AZIZ, KENAPA DENGAN KAMU?

Kenyataan Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz yang membuat kenyataan "Pergi Jahanam dengan UMNO" amat mengecewakan ramai pihak. Sikap kurang sopan ini akan memberi kesan kepada perpaduan Negara terutamanya melibatkan perpaduan Islam dan Melayu.

Penjelasan Nik Aziz juga agak mengarut apabila beliau menyatakan pendirian bahawa kerjasama ini hanya melibatkan Kerajaan Negeri Kelantan dan Kerajaan Pusat. Bukankah Kerajaan Pusat diwakili BN? Bukankah Perdana Menteri Malaysia adalah Presiden UMNO? Apa bezanya? Anda menawarkan kerjasama, kemudian dikata kita Jahanam pula. Apa semua ini?

Jangan begitu angkuh, bongkak dengan kata-kata kesat kamu wahai Datuk Nik Aziz. Kenyataan beliau seolah-olah beliau tidak berfikir sebelum membuat sebarang keputusan. Atau beliau juga gentar kerana DAP sudah mempersoalkan kerjasama yang dimaksudkan beliau.

Inilah realiti PAS. Tidak pernah bersyukur dan bangga dengan kerjasama kamu dengan parti yang menyumpah Kerajaan Islam, DAP. Kepada pembaca, tepuk dada, tanya hati...


7/27/2009

LUPAKAN SENGKETA - NIK AZIZ PERLU TELUS

Perubahan sikap Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mahu melupakan sengketa antara kerajaan negeri Kelantan dan kerajaan Persekutuan memperlihatkan sikap positif UMNO menyambutnya.

Walaupun sebelum ini UMNO yang secara terbuka menyahut saranan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengenai cadangan kerajaan perpaduan dituduh cuba memperalatkan PAS, tetapi kenyataan terbaru Nik Aziz tetap disambut baik oleh UMNO.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini berada di Uganda, Afrika ketika ditanya oleh wartawan Malaysia mengenai kenyataan terbaru Nik Aziz itu dilaporkan oleh Bernama sebagai berkata, langkah awal yang akan diambil untuk mengadakan pertemuan serius dengan pemimpin PAS ke arah merapatkan hubungan kedua-dua parti itu akan dibincangkan pada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO pada Jumaat ini.

Beliau yang menyambut baik kesediaan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS itu dengan kerajaan pusat berkata, senario itu akan membuka satu lembaran baru dalam hubungan antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri Kelantan dan parti PAS.

"Saya bersyukur kerana ini adalah satu kenyataan yang positif daripada Nik Aziz yang menunjukkan satu sikap Muslim yang baik. Oleh kerana ada keputusan seperti itu, langkah-langkah susulan kita boleh ambil dan terbaik dalam mesyuarat Majlis Tertinggi Umno pada penghujung bulan ini iaitu 31 Julai," katanya.
Muhyiddin berkata demikian ketika diminta mengulas kesediaan Nik Abdul Aziz yang juga Mursyidul Am PAS untuk berbaik-baik dan melupakan sengketa politik kerajaan negeri PAS dengan kerajaan pusat demi menjaga kepentingan rakyat dan perpaduan Islam.

Pada pandangan kami, perpaduan adalah salah satu kunci kejayaan sesebuah Agama, Bangsa dan Negara. Namun, pihak MT UMNO perlu berbincang perkara ini secara terperinci kerana PAS seringkali mengubah pendirian mereka. Kita taknak ianya menjadi satu mainan politik yang tidak sihat yang akan mengganggu kerja kita.


7/25/2009

Isu Kematian Teoh Beng Hock - KEMUNCULAN BLOG MISTERI JAWAB ISU KEMATIAN SETPOL EXCO SELANGOR

Tiba-tiba hangat di internet mengenai kemunculan sebuah blog misteri yang yang mendakwa kematian mengejut pembantu Exco Selangor,Teoh Beng Hock mungkin ada kaitan dengan kegiatan songlap peruntukkan kerajaan negeri oleh kalangan ADUN DAP.

Pengendali blog itu tidak diketahui. Nama blog itu - Truth for Teoh Beng Hock mengunakan alamat http://t4tbh.blogspot.com Blog yang mendakwa kebenaran akan didedahkan itu kata ia bertujuan untuk membersihkan nama Teoh.

Apa yang menarik blog itu mendakwa ia hendak membongkar bagaimana mendiang Teoh telah membuat salinan dokumen yang boleh mendedahkan kegiatan ‘merompak’ dan ‘melenyapkan’ peruntukan kerajaan oleh kalangan ADUN DAP di Selangor. Membaca tulisan yang baru tiga siri itu, budak sekolah rendah pun boleh hidu penulis cuba beri gambaran yang boleh menimbulkan syak wasangka kemungkinan kematian Teoh tidak boleh ditolak ada kaitan dengan kegiatan itu.Ramai orang akan terlopong membaca pendedahan yang dibuat.

Ini kerana DAP yang selama ini mendakwa ia cukup benci dengan amalan salah guna kuasa dan penyelewengan, dalam tempoh satu tahun berkuasa mempunyai modus operandi ‘songlap’ duit kerajaan secara teratur.

Apapun, kami dari UMNO Cawangan Gombak Selatan menyerahkan kebijaksanaan pihak Suruhanjaya Bebas untuk menyiasat perkara ini.



7/23/2009

NIK AZIZ BERDOLAK DALIK ISU NIZAR 'PEGANG' LILIN - INILAH AKIBAT MENGHINA UMNO PARTI AJARAN SESAT

PAS menyerahkan kepada Dewan Ulama untuk mengeluarkan fatwa atau hukuman terhadap tindakan Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Datuk Seri Dr Mohd Nizar Jamaluddin yang menyertai majlis nyalaan lilin di Ipon bagi memperingati kematian Teoh Beng Hock, setiausaha politik kepada seorang anggota Exco Selangor.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Kelantan dan Timbalan Menteri Besar Datuk Ahmad Yaacob berkata pihaknya tidak mahu terburu-buru mengeluarkan sebarang kenyataan dan membiarkan Dewan Ulama PAS untuk kemukakan sebarang pandangan.

"Kita serah sahaja kepada Dewan Ulama PAS untuk tentukan," katanya kepada pemberita selepas merasmikan majlis pecah tanah projek fasa kedua di Rantau Panjang Rabu.

Bernama melaporkan beliau mengulas kenyataan Zambry yang mahukan ulama PAS memberikan pandangan agama terhadap tindakan Nizar yang menyalakan lilin untuk memperingati kematian Teoh.

Di KOTA BHARU, Mursyidul Am Pas Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat enggan mengulas tindakan Nizar itu. Ketika ditanya, Menteri Besar Kelantan itu sebaliknya mempersoalkan aspek politik mengenai Barisan Nasional (BN) mengambil alih kerajaan negeri Perak.

Nik Abdul Aziz mempersoalkan kesahihan tindakan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambri Abdul Kadir kerana ianya dianggap bertentangan dengan amalan demokrasi. "Usahkan fatwa Islam, fatwa demokrasipun dia (Zambri) tak pakai....Itulah jawapan saya, saya dah jawablah tu", katanya kepada pemberita di pejabatnya di Kota Darul Naim.

Datuk Nik Aziz masih nak berdolak dalik walaupun terang-terang Nizar melakukan kesalahan dari segi agama. Jika kamu hendak mendekati pengundi Cina sekalipun, janganlah sehingga mencemar dan melanggar batasan Agama.

Bukan untuk menghina kematian Teoh Beng Hock. Kami dari BN juga amat sedih dan mengucapkan Salam Takziah kepada keluarga mendiang. Kami juga menggalakkan masyarakat Cina berdoa agar rohnya sejahtera. Tetapi pada masa yang sama, kita mestilah menjaga batasan Agama kita.

Barisan Nasional juga sentiasa mendekati rakyat berbangsa Cina dan India. Setiap Majlis Perayaan Tahun Baru Cina dan Deepavali, kita sambut dengan niat persahabatan dan perpaduan Negara tetapi menjaga batasan Agama dan Adat. Itupun dulu PAS juga yang kata BN sesat kerana menyambut Tahun Baru Cina dan Deepavali. Sekarang? Siapa yang sesat? Tepuk dada, tanya hati...


7/22/2009

DATUK ZAID IBRAHIM LUPA DIRI, LUPA DARATAN..........

Ahli terbaru Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Zaid Ibrahim yang ditonjolkan sebagai pemimpin masa depan parti itu memang terkenal dengan pelbagai kontroversi. Selain daripada kenyataan-kenyataan yang kadang kala mencetuskan polemik beliau sering dikaitkan sebagai golongan ‘Melayu baru’.

Malah tatkala PAS pada satu ketika menjadikan hudud sebagai agenda perjuangannya yang kini sudah diketepikan atas desakan komponen parti pembangkang, Zaidlah orangnya yang membawa isu hudud ke mahkamah untuk menghalang PAS melaksanakan hudud.

Kini setelah begitu aktif bergerak dalam PKR Zaid terus menyerang UMNO sebagai parti perkauman dan menariknya menjemput Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah untuk meninggalkan UMNO dan menyertai parti barunya itu.

Ekoran kenyataan tersebut, Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, Datuk Seri Rais Yatim mengingatkan Zaid agar tidak lupa diri setelah mengecap kejayaan semasa berada dalam UMNO dan menolak dakwaan UMNO bersifat perkauman kerana sebagai parti komponen terbesar dalam Barisan Nasional (BN), UMNO sama-sama memperjuangkan nasib semua kaum selama ini.

''Tindakan Zaid membuat dakwaan (dalam blognya) itu dilihat seperti orang yang lupa diri selepas mendapat faedah dan kejayaan menerusi UMNO ketika berada dalam parti. Beliau perlu ingat bahawa kejayaan firma beliau juga berlandaskan dasar yang ditetapkan oleh kerajaan," katanya kepada pemberita hari Selasa.

Zaid mempunyai firma guaman yang besar iaitu Zaid and Co (ZICO) dan ada yang menyebut bahawa majoriti urusan guamannya melibatkan kontrak-kontrak kerajaan. Menurut Rais, kenyataan Zaid dalam blognya yang menuduh UMNO perkuaman dan menjemput Tengku Razaleigh menyertai PKR disifatkan sebagai kenyataan orang yang masih mentah dan tidak memahami ‘asam garam’ politik.

Sementara itu, Timbalan Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula menyifatkan kenyataan Zaid itu sebenarnya merendahkan kewibawaan politik Tengku Razaleigh sebagai seorang pejuang UMNO dan pengasas parti itu sejak dahulu lagi.

Justerus tidak sepatutnya kewibawaan Tengku Razaleigh dipersoalkan kata beliau sambil menambah “ lagipun, kenapa dia jemput seorang sahaja, tidak jemput semua, walaupun (Tengku Razaleigh) tidak berjawatan, tetapi beliau masih aktif dan cergas. Sewaktu kita menjalankan kempen pada pilihan raya kecil di Manek Urai, Kelantan baru-baru lalu, Tengku Razaleigh banyak membantu dan kita hampir menang kerana kehadiran beliau di situ," ujarnya.


7/21/2009

Kes Kematian Setpol Exco Selangor - SALAH BN JUGA? SPRM KAN BADAN BEBAS..

Kami dari UMNO Cawangan Gombak Selatan amat kecewa dengan artikel-artikel yang disiarkan di media-media milik pembangkang yang menyalahkan Kerajaan BN seolah-olah menjadi punca kematian Setpol Exco Kerajaan Selangor, Teo Beng Hock.

Biar kami jelaskan disini. SPRM merupakan sebuah badan bebas yang tidak terikat dengan mana-mana parti politik. SPRM juga tidak bersikap berat sebelah kerana beberapa pemimpin UMNO dan BN juga pernah disiasat oleh badan ini. Jelas?

Sekarang siasatan sedang dilakukan dari pihak polis sendiri mengenai perkara ini. Kami juga amat kecewa dengan insiden sebegini berlaku. Tetapi, kenapa pembangkang menyerang BN membabi buta seolah-olah kami terlibat dalam urusan SPRM?

Jangan tuduh sebarang orang. Biarlah polis menyiasat perkara ini. Tapi pemimpin pembangkang memang akan mencari helah dan menggunakan kes ini sebagai platform untuk menjatuhkan BN. Mereka lupa bahawa mereka juga sedang dituduh dari Ahli Parlimen Wangsa Maju yang mendakwa seorang Exco Kerajaan Selangor terlibat dengan kongsi gelap.

Tak mengapalah, buat semua pemimpin dan penyokong BN, bersabarlah. Tuhan Maha Kaya. Apa yang lebih penting sekarang, teruskan usaha ke arah kemajuan rakyat. Sama-sama berjuang untuk membentuk sebuah pasukan yang lebih mantap. Biarlah polis menyiasat kes tersebut.

Buat keluarga Mendiang, sekali lagi kami dari UMNO Cawangan Gombak Selatan mengucapkan Salam Takziah.


7/20/2009

YB WANGSA MAJU DAKWA EXCO SELANGOR TERLIBAT KONGSI GELAP - APA KAITAN DENGAN KEMATIAN TEO BENG HOCK?

Jika anda masih ingat sebelum kes kematian SETPOL Exco Selangor, Teo Beng Hock, Ahli Parlimen Wangsa Maju Wee Chee Keong mendakwa terdapat seorang Exco Selangor yang terlibat dengan kongsi gelap.

Siapa Exco terbabit?

Apa kaitan kematian saksi utama kes SPRM yang melibatkan Exco Selangor, Teo Beng Hock dengan penglibatan kongsi gelap seperti yang didakwa Ahli Parlimen Wangsa Maju ini? Wow, lagi dahsyat kes Selangor sekarang.

Apakah beliau Exco yang sedang berdepan kes mahkamah kerana didakwa menghalang pengkuatkuasa Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) menjalankan operasi ke atas pusat hiburan di Puchong dua tahun lalu?

Punggung Khalid pasti bertambah panas apabila Teresa mengakui tujuh ADUN dalam Daerah Petaling sedang menyiasat mereka berhubung perbelanjaan peruntukkan kawasan masing-masing.

Lebih mengejutkan Teresa cuba memainkan sentimen perkauman dengan mempersoal apakah siasatan itu kerana kesemua wakil rakyat pembangkang itu adalah Cina. "Saya mahu bertanya apakah jenayah yang kita lakukan. Sebagai wakil rakyat, kita perlu menyediakan dana kepada mereka yang kita rasa memerlukan pertolongan. Mengapa kita hendak diganggu?

"Mengapa hanya tujuh orang kita sahaja? Adalah kerana kita semua Cina?" soalnya dalam sidang media di Shah Alam, Isnin. Ketujuh mereka termasuk Teresa), Hannah Yeoh (Subang), Elizabeth Wong (Bukit Lanjan), Ean Yong Hian Wah (Sri Kembangan), Dr Cheah Wing Yin (Damansara Utama), Edward Lee (Bukit Gasing) dan Lau Weng San (Kampung Tunku).

Kesemua wakil rakyat berkenaan diperuntukkan RM500,000 setiap tahun, yang boleh digunakan untuk melaksanakan projek kemasyarakatan, kebajikan, infrastruktur dan perkara-perkara lain. Katanya, fail-fail berkaitan peruntukan kerajaan negeri kepada setiap wakil rakyat berkenaan, telah diambil oleh SPRM dari Pejabat Tanah dan Galian dua minggu lalu.

Inilah natijah apabila Khalid sering melaung-laungkan pentadbirannya lebih baik daripada pimpinan Kerajaan Barisan Nasional (BN) terdahulu. Beliau lupa, bangkai gajah tidak boleh ditutup dengan selimut.

Sebelum ini sudah panas isu gambar separuh bogel ADUN Bukit Lanjan, Elizabeth Wong yang juga anggota Exco kerajaan Negeri. Banyak lagi yang perlu beliau jawab soal-soal lain termasuk isu pengeluaran pasir oleh syarikat yang ada kaitan dengan kroni.

Rakyat Selangor pasti melihat perkembangan ini dengan teliti kerana mereka memberi peluang kepada PKR,DAP dan PAS menang di negeri itu dengan harap mendapat pembelaan lebih baik. Namun, pemberian air percuma belum tentu dapat menyejukkan jiwa rakyat Selangor yang kini mula didedahkan satu persatu kepincangan pimpinan Pakatan Rakyat di negeri itu.

Mengambil kira desakan Azmin yang juga Ketua Backbenchers DUN Selangor serta kedudukan pentingnya dalam PKR, tindakan itu juga jelas menempelak Khalid. Apatah lagi Azmin berkata, beliau bukan ‘yes man’ dan desakan itu mengambil kira rungutan rakyat yang dikatakan sukar berjumpa wakil-wakil rakyat mengadu masalah.

JIka ini wayang politik seperti isu Elizabeth yang sudah hantar surat letak jawatan tetapi diterima semula sebagai Adun dan Exco, rakyat boleh agak kesudahan wayang cerita terbaru ini.

7/19/2009

Penyertaan Datuk Chua Jui Meng dalam PKR - MCA... JANGAN PATAH SEMANGAT!!!!

Seperti yang diduga Bekas Naib Presiden MCA Datuk Chua Jui Meng secara rasmi umum sertai PKR dalam satu forum anjuran PKR di Hotel Sunway,Petaling Jaya petang Sabtu.

Hadir sama di forum itu Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Khamis malam lalu bekas Menteri Kesihatan itu umum melepaskan jawatan sebagai Ketua MCA Bahagian Bakri,Johor yang disandangnya sejak tahun 1988.

Waktu itu beliau kata masih nak kekal dalam MCA lagi dan hanya lepas jawatan untuk beri laluan kepada orang lebih muda. Langkah politiknya ini tidaklah mengejutkan.Ini kerana beliau dua kali kalah dalam cubaannya bertanding jawatan Presiden MCA yakni tahun 2005 dan 2008.

Karier politiknya lebih malap dan ‘ sudah sampai ke dinding’ bila tidak dipilih bertanding mempertahankan kerusi parlimen Bakri dalam pilihanraya umum lalu.

Namun setelah menikmati peluang jadi menteri dan sebagainya selama dalam Barisan Nasional. Ketika menjawab soalan wartawan dalam sidang akhbar selepas majlis itu Chua mendakwa keputusan ini kerana mendapati visi dan agenda politik PKR selari dengan perjuangannya.

Mengenai laporan kebanyakan media beliau menafikan nak sertai PKR semasa sidang akhbar umum letak jawatan Ketua MCA Bahagian Bakri, Chua mendakwa media salah tafsir kata-katanya. Katanya apa yang dinyatakannya beliau akan memberitahu pada masa yang sesuai.

Sebelum ini desas desus mengatakan Bekas Menteri Kesihatan Datuk Chua Jui Meng nak meletak jawatan sebagai Pengerusi MCA bahagian Bakri nyata betul. Khamis malam beliau buat pengumuman itu dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat MCA bahagian Bakri,Johor.

Namun yang lebih hangat menjadi spekulasi ialah apakah bekas Naib Presiden MCA ini nak sertai PKR. Ini yang membuatkan sidang akhbar berkenaan yang diadakan selepas pertemuan tertutup dengan penyokong-penyokongnya selama sejam di dewan bangunan pejabat MCA itu menarik perhatian ramai.

Dari nada cakapnya semasa menjawab soalan wartawan mengenai hal itu,Chua memberi indikasi beliau akan tetap kekal dalam MCA. Katanya desas desus kononya beliau menyertai pembangkang bukan kali pertama. "Dalam pilihan raya umum lalu saya ditawarkan bertanding sebagai calon parti pembangkang, tetapi saya menolaknya,"ujarnya.

Kata Chua beliau tetap berpegang kepada matlamat perjuangannya yang terkandung dalam manifesto semasa bertanding untuk jawatan Presiden MCA pada tahun 2005 dan 2008 lalu akan terus diperjuangkan sekalipun tidak lagi memegang jawatan dalam parti. Beliau menyerahkan tugas memimpin bahagian itu yang disdandangnya sejak tahun n1988 kepada Timbalan Pengerusi bahagian, Sia Ka Tuan.

"Sudah sampai masanya saya memberi laluan kepada orang yang lebih muda dari saya," katanya.


7/17/2009

Kematian Teoh Beng Hock - DATUK SERI NAJIB UCAP TAKZIAH


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga Teoh Beng Hock dan bakal isterinya, Soh Cher Wei, di atas kematian mendiang Teoh semalam.

"Saya rasa amat sedih dan simpati kepada keluarga Teoh dan bakal isterinya apabila dimaklumkan mengenai kejadian tersebut," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di Madinah hari ini.

Beliau berkata, polis akan menyiasat kematian tersebut dengan menyeluruh dan secara profesional agar semua pihak dapat kepastian apa yang berlaku sebenarnya,lapor Bernama. Najib turut meminta agar semua pihak tidak membuat kenyataan atau tuduhan yang boleh mengelirukan masyarakat umum sepanjang proses siasatan dijalankan. "Kerajaan harap semua pihak akan bertenang dan bersabar sehingga selesai siasatan dibuat," katanya.

Justify FullSemalam, Teoh, 30, ditemui mati, dipercayai jatuh dari bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (PRSM), semalam, selepas disoalsiasat berhubung dakwaan salahguna peruntukan untuk DUN di Selangor.

Teoh, setiausaha politik kepada exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - merupakan seorang saksi yang dipanggil untuk membantu siasatan tersebut. Ean adalah antara tujuh wakil rakyat Pakatan Rakyat Selangor yang sedang disiasat SPRM berhubung cara peruntukan negeri itu dibelanjakan.


Kematian Setpol Exco Selangor - HENTIKAN SPEKULASI, BERI RUANG POLIS SIASAT!!


Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar meminta semua pihak menghentikan sebarang spekulasi dan memberi ruang kepada pihak polis untuk menyiasat perkara ini. Beliau berkata sewajarnya mereka menunggu laporan dari pihak polis sebelum membuat sebarang andaian yang akan memalukan keluarga mangsa.

UMNO Cawangan Gombak Selatan bersetuju dengan pandangan Timbalan Ketua Polis Negara. Biarlah polis menyiasat terlebih dahulu perkara ini. Jangan kita membuat andaian yang kita sendiri belum ketahui kebenarannya. Insyaallah, setelah laporan penyiasatan selesai, pihak polis akan memaklumkan kepada media punca kematian Teo Beng Hock.

Janganlah kita berdemonstrasi tak tentu pasal walhal kejadian ini baru sahaja berlaku semalam. Bagi ruang pada pihak polis untuk siasat. Jika kamu mengganggu kerja polis, bagaimana siasatan ini hendak berjalan dengan lancar.

Kami juga mengambil kesempatan untuk mengucapkan Salam Takziah buat keluarga Teo Beng Hock. Walaupun kita berlainan ideologi politik, namun kami di sini juga amat bersimpati dengan kematian beliau.


7/16/2009

SETPOL EXCO SELANGOR MATI TERJUN BANGUNAN

Setiausaha politik exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah, meninggal duni selepas dipercayai jatuh bangunan pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di Shah Alam.

Mayat Teo Beng Hock, 30, ditemui di atas bumbung bangunan bersebelahan pejabat suruhanjaya tersebut. Semalam Teo telah dibawa ke pejabat tersebut untuk disoal siasat berhubung dakwaan salah guna wang peruntukan DUN membabitkan beberapa ADUN Pakatan Rakyat negeri itu.

(foto: Teo, kanan, bersama Ean Yong berbual dengan pegawai siasatan di pejabat exco itu)

Dalam sidang media di pejabat SPRM negeri itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Shukri Abdull berkata mayat ditemui jam 1.30 tengah hari ini. Apabila ditanya bagaimana mendiang ditemui, beliau berkata seorang pegawai suruhanjaya ke tempat kejadian selepas mendengar jeritan seseorang tentang mayat itu. Menurutnya lagi, siasatan terhadap Teo - sebagai saksi kes - selesai kira-kira 3.45 pagi tadi tetapi dilihat masih berada di bangunan tersebut sekitar jam 6 pagi. SPRM tidak jelas sama ada beliau mati akibat terjatuh atau terjun dari bangunan tersebut.

Sementara itu, SPRM mengesahkan sedang menyiasat empat ADUN Selangor berhubung dakwaan salah guna peruntukan wakil rakyat. Shukri mengesahkan suruhanjaya itu semalam menyerbu empat pejabat ADUN berkenaan dan meneliti beberapa dokumen bagi membantu siasatan, lapor laman web Utusan Malaysia.

"(Siasatan) itu prosedur biasa. Kalau kita terima apa-apa aduan, memang kita akan ke pejabat atau rumah mereka," katanya kepada pemberita di Akademi SPRM hari ini.

Adakah kematian beliau akibat tekanan terhadap tuduhan bos beliau? Di harap siasatan lanjut dapat dijalankan.

(Sumber dari Malaysiakini)


CHUA JUI MENG AKAN SERTAI PKR? - TOLONG NYATAKAN PENDIRIAN

Beberapa rakan dari MCA telah memberitahu kepada kami bahawa ada ura-ura Bekas Naib Presiden MCA, Datuk Chua Jui Meng akan keluar dari MCA dan menyertai PKR. Benarkah seperti mana yang diperkatakan?

Datuk, anda sewajarnya menyatakan pendirian anda dalam perjuangan parti. Sila jawab spekulasi ini. Jangan berdiam diri jika benar anda seorang ahli politik yang jujur dan telus. Kami dari UMNO juga perlu mengambil kira segala spekulasi yang timbul kepada MCA yang juga merupakan rakan parti komponen BN kami.

Apapun, kita tunggu dan lihat apa yang akan berlaku selepas ini...

Berita susulan akan menyusul....

7/15/2009

PRK Manek Urai - BN, BANGKIT TINGKATKAN LAGI PRESTASI!

Alhamdulillah, akhirnya tamat sudah PRK Manek Urai. Keputusan telahpun diketahui malam tadi. Kemenangan tetap di tangan PAS walaupun nyawa-nyawa ikan (merujuk kenyataan Malaysiakini). Buat semua jentera BN di Manek Urai, syabas dan jutaan terima kasih.

Namun, kita tidak boleh lagi tidur lena dengan keputusan semalam. Banyak lagi perkara yang perlu perhalusi. Jadikan keputusan PRK Manek Urai semalam sebagai perintis dan semangan baru untuk kita terus pertingkatkan prestasi kita.

Keputusan semalam disebabkan 2 faktor utama. Pertama, masyarakat Manek Urai telah memberi harapan baru kepada pucuk pimpinan baru Kerajaan untuk terus memberi keberkesanan dalam mengadili pembangunan Negara. Oleh itu, kita perlu terus meyakinkan masyarakat bahawa perjuangan kita tidak pernah luntur dan kita juga perlu meneruskan usaha bagi mengembalikan keyakinan rakyat di masa akan datang.

Keduanya, masyarakat Manek Urai semakin keliru dengan perjuangan dan agenda PAS. Mereka merasakan bahawa PAS semakin lemah di bawah gabungan Pakatan Pembangkang. Penolakan Kerajaan Perpaduan dengan sikap yang angkuh juga menjadi faktor pendorong kekalahan ini. Maka,kita perlu perkuatkan jentera BN, calon BN yang tewas perlu terus berkhidmat dan membantu masyarakat Manek Urai kerana kita tewas hanya majoriti 65 undi.

Tiada apa yang perlu diungkap. Hanya ucapan Alhamdulillah. Namun, ini bukan kemenangan kita. Ini adalah semangat baru, kekuatan baru dan inspirasi baru kita ke arah kestabilan politik. BN mampu melakukan yang terbaik selepas ini. Apa yang perlu hanya tingkatkan lagi prestasi kita. Ke arah 1Malaysia.


7/14/2009

PRK Manek Urai : ALHAMDULILLAH - KITA TIDAK TEWAS SEBENARNYA!


Alhamdulillah, walaupun Barisan Nasional tewas di DUN Manek Urai, namun kita berjaya mengurangkan majoriti dengan perbezaan yang mendadak jika dibandingkan dengan PRU 12 tahun lalu.

Buat semua yang berkhidmat di Manek Urai, Jutaan Terima Kasih ikhlas dari UMNO Cawangan Gombak Selatan. Kita tidak tewas sebenarnya. Kita berjaya menarik lebih ramai pengundi. Mungkin Allah tidak memberi kemenangan pada kita kali ini. Kerana Allah mahu kita bekerja lebih keras. Tetapi Allah telah membuka lebih ramai pengundi di Manek Urai untuk mengundi BN sehinggakan kita tewas hanya majoriti 65 undi.

Jutaan Terima Kasih kepada jentera PRK Manek Urai. Jutaan Terima Kasih. Pendekatan 1Malaysia berjaya. Jadikan kekalahan bermaruah ini sebagai semangat baru untuk kita terus berjuang demi Agama, Bangsa dan Negara.


PRK Manek Urai - Setakat Ini......

PRK Manek Urai : AHLI PUTERI UMNO PERAK DIBALING BATU - NIK AZIZ, APA SEMUA INI?

Kempen di Manek Urai yang disifatkan paling aman sebelum ini akhirnya tercemar dengan tindakan ganas para penyokong parti pembangkang.

Dalam insiden tengahari tadi, dua ahli Puteri UMNO Perak telah dikejarkan di kejarkan ke hospital Kuala Krai setelah dibaling dengan batu dan botol oleh penyokong pembangkang. Insiden berkenaan berlaku di pusat mengundi Sekolah Kebangsaan Peria.

Jika benar kamu fanatik menyokong PAS, kenapa perlu bertindak ganas sebegini. UMNO Cawangan Gombak Selatan amat kesal dengan apa yang berlaku. Apa semua ini? Inikah Islam yang diajar kepada kalian semua? Membaling batu sesama saudara seIslam tanpa rasa bersalah?

Datuk Nik Aziz, kamu perlu jawab soalan ini. Kenapa begitu agresif penyokong kamu sehingga mencederakan orang kami ini?

Berita Susulan Selepas ini.........


PRK Manek Urai : BN ATAU PAS? KUASA DI TANGAN PENGUNDI

Hari ini pengundi Manek Urai akan menjalankan tanggungjawab mereka untuk keluar mengundi memilih wakil rakyat di kawasan mereka. Setakat pukul 1 petang tadi, lebih dari 70% pengundi telah keluar mengundi.

Malam ini juga kita akan dapat saksikan siapakah calon yang akan memenangi PRK Manek Urai. Bagi UMNO Cawangan Gombak Selatan, siapa sahaja yang akan menang pada PRK kali ini, di harap dapat menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dengan penuh tawadduk dan bertanggungjawab.

Sememangnya kami mengharapkan kemenangan BN di Manek Urai. Namun, kuasa di tangan pengundi. Mereka yang akan memilih calon yang sesuai di DUN mereka. Bagi yang mengundi BN mungkin merasakan bahawa perubahan besar wajar dilaksanakan di DUN tersebut terutamanya dari aspek kegiatan ekonomi di kawasan tersebut. Mereka mahukan transformasi ekonomi pertanian yang rancak dapat dilaksanakan seperti yang dijanjikan BN.

Tentunya yang mengundi PAS bukanlah kerana faktor calon. Tetapi mereka merupakan penyokong fanatik Datuk Nik Abdul Aziz yang mereka amat hormati dan dianggap sebagai nadi kekuatan PAS din Kelantan. Mereka menganggap Datuk Nik Aziz adalah ulama' dan wali yang akan terus sinar di hati mereka.

Apapun keputusan pada malam ini, kita terima dan sentiasa mendoakan kesejahteraan Manek Urai. Jika BN menang, kita bersyukur ke hadrat Ilahi. Jika BN tewas, jadikannya sebagai pembakar semangat untuk kita terus berusaha memperjuang Agama, Bangsa dan Negara.

HIDUP BN...!


7/13/2009

PRK Manek Urai : PEMBANGUNAN - BILA PEMBANGKANG JANJI DIKATA AMAL JARIAH, BILA BN JANJI DIKATA RASUAH. HUH?

Semalam Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menuduh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melakukan rasuah ke atas penduduk Manek Urai kerana menjanjikan pembinaan jambatan baru jika BN menang di kawasan tersebut. Rasuah Anwar Ibrahim?

Nak bagi pembangunan pun dikatanya rasuah? Tak bagi pembangunan kata kita pilih kasih. Bila tawar pembangunan, dikata pula kita rasuah. Sebelum ini, PAS memberi sejumlah wang kepada anak-anak yatim, itu tak pula dikata Anwar sebagai rasuah? Amal Jariah....Cuba jika BN yang beri wang tersebut, dituduh kita merasuah rakyat Manek Urai.

Sememangnya Pembangkang tidak senang duduk dengan apa yang kita janjikan di Manek Urai. Suka sangat menghina BN. Tak pernah hendak bersikap positif dalam usaha kerajaan memajukan mana-mana tempat seperti di Manek Urai.

Sudah la tu Anwar Ibrahim. Janji kamu pada penyokong kamu pun tak jadi-jadi lagi. Berangan nak jadi PM. Nak rampas kuasa Kerajaan Persekutuan. Bila Perak jatuh ke tangan BN, dikata kita ini perompak. Bayar rasuah dekat 3 ADUN Perak yang jadi ADUN Bebas. Jika berlakunya 16 September, dikata pula inilah suara keramat rakyat. Walhal kamu yang beria-ria gila talak nak jadi PM.

Terpulanglah pada pengundi-pengundi di Manek Urai. Jika anda mahu melihat masa depan Manek Urai terpelihara dengan pembangunan pertanian yang seimbang dan rancak, undilah BN. Kamu beruntung walaupun Kelantan di bawah Kerajaan PAS, BN masih memberi inisiatif untuk membangunkan Manek Urai jika BN menang.

Kami dari UMNO Cawangan Gombak Selatan sentiasa mendoakan kejayaan BN di Manek Urai esok. Berusahalah rakan-rakan di Manek Urai. Menang kalah bukan persoalannya. Yang lebih penting, kerja keras.


7/12/2009

Najib Umum 11 Berita Gembira - APA POINT BARU ANWAR NAK HENTAM NAJIB?

Majlis sambutan 100 hari Najib bersama rakyat yang diadakan di Pusat Konvensyen,KLCC pagi Sabtu berlangsung dalam suasana lebih merakyat.Tiada kompang dan bunga manggar manakala para menteri kabinet duduk dicelah-celah para hadirin yang penuh sesak dalam dewan.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam ucapannya membuat 11 pengumuman yang mengembirakan rakyat berbagai lapisan kaum.Beliau juga istihar zaman kerajaan serba tahu segalanya sudah berakhir.Katanya kini kerajaan akan mendapatkan pandangan rakyat dalam segala keputusan yang hendak dibuat.

Antara 11 pengumuman berkenaan ialah kerajaan akan mengambil langkah drastik untuk memerangi rasuah dan jenayah.Pengumuman terperinci mengenai langkah-langkah berkenaan akan dibuat hujung bulan ini.

Bagi penguna lebuh raya ,Najib umum mulai 1 September ini mereka yang bayar tol lebih 80 kali sebulan akan dapat diskaun 20 peratus.Ini katanya adalah langkah sementara kerana kajian kadar tol ambil masa untuk siap.

Satu tabung saham amanah baru dikenali sebagai Amanah Saham 1 Malaysia akan dilancarkan tidak lama lagi.Ia memperuntukkan 10 billion unit saham. Berita gembira bagi anak muda.Najib umum kadar yuran belajar lesen memandu motosikal ‘ kapcai’ B2 iaitu 250cc kebawah akan dikurangkan dari RM500 hingga RM70 sekarang kepada RM211 sahaja.

Untuk kemudahan pemilikan rumah,beliau umum sebanyak 44,000 unit rumah perumahan rakyat DBKL akan dibuka untuk dibeli kepada para penyewanya sekarang.

Bagi penjaja dan peniaga kecil di Wilayah Persekutuan,kadar lesen mereka akan dikurangkan 50 peratus berkuatkuasa sertamerta.Perdana Menteri harap negeri-negeri lain akan ikut langkah Wilayah Persekutuan.

Lain-lain ialah kerajaan menambah 3,000 lagi permit teksi yang permohonannya diluluskan dalam masa tiga bulan akan datang.Permohonan pendaftaran kelahiran dipermudahkan di Sabah dan Sarawak.Pembinaan jalan ditambah di Sabah dan Sarawak.

Bekalan air dan elektrik ditingkatkan di Sabah dan Sarawak. Peruntukan untuk Tekun ditambah RM150 juta dan RM15 juta disediakan untuk usahawan muda kaum India.

Jutaan Terima Kasih buat Presiden UMNO ini ikhlas dari UMNO Cawangan Gombak Selatan. Kini kami hanya menanti apa point pembangkang mengenai perkara ini. Pembangkang terutamanya Anwar Ibrahim akan sentiasa mencari idea untuk menghentam Datuk Seri Najib walaupun ianya mendatangkan manfaat kepada rakyat. Kita tunggu dan lihat. Apa yang hendak diperkatakan Anwar Ibrahim...