6/25/2010

PKR SELANGOR MAKIN CELARU - AZMIN KATA LAWAN TETAP LAWAN??

Pekung kegagalan Tan Sri Khalid Ibrahim di Selangor semakin terdedah dengan pertukaran Setiausaha Politiknya Nik Nazmi Nik Ahmad serta peletakan jawatan Naib Presiden PKR Azmin Ali sebagai pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS). Sebelum inipun, sudah macam-macam cerita pasal perang antara Khalid dan Azmin.

Malah pada Konvensyen PKR di Kelantan baru-baru ini, timbul juga cerita kononnya keretakkan hubungan kedua-dua mereka amat serius hingga ada perwakilan mendakwa mereka tidak boleh bertentang mata.

Mungkin ramai tidak tahu, Azmin yang juga Adun Bukit Antarabangsa dilihat lebih sesuai sebagai Menteri Besar tetapi kerana Datuk Seri Anwar Ibrahim yakin merancang menawan Putrajaya berpendapat Azmin lebih diperlukan dalam kabinetnya.

Bagaimanapun, selepas pembohongan Ketua Pembangkang itu terbongkar dan pelan 16 September tinggal mimpi kosong, timbul semula cerita Azmin perlu menerajui kerajaan Selangor tambahan pula Khalid dianggap gagal mentadbir negeri itu.

Isu pengagihan lembu korban ke Parlimen Bandar Tun Razak dan penyelenggaraan kereta Lexus milik peribadi menggunakan peruntukkan kerajaan negeri dan anak syarikatnya antara yang mencalarkan imej Khalid. Barangkali sedar kedudukannya tergugat, Anwar kemudian dilantik penasihat ekonomi Selangor sekaligus Khalid berasa selamat di bawah dagu Ketua Umum PKR itu.

Terkini, dengan tindakan Khalid melantik Setpol baru, Faekah Husin yang juga Setpol kepada Datuk Seri Wan Azizah Ismail, ada kalangan pemimpin dan ahli PKR menganggap tindakan itu memberi kesan mendalam kepada Azmin.

Ini kerana Nik Nazmi yang juga Adun Seri Setia dikatakan amat rapat dengan Azmin malah Nik Nazmi pernah bertugas sebagai pegawai khas Anwar sebelum bertanding pada PRU 12.

Justru itu, pasti satu percaturan menarik ekoran pelantikan Faekah yang masih Setpol Wan Azizah kerana di kalangan pemimpin yang rapat dengan keluarga Anwar, mereka tahu pergeseran bekas ahli parlimen Permatang Pauh itu dengan Azmin dipercayai ada kaitan dengan Shamsidar Taharin.

Sekaligus, apabila Nik Nazmi keluar daripada pejabat Menteri Besar Selangor, Azmin mungkin putus maklumat mengenai tindak tanduk serta perancangan Khalid. Sebab itu, Azmin barangkali meletak jawatan daripada PKNS sebagai tanda protes terhadap pimpinan Khalid.

Azmin yang juga ahli parlimen Gombak ketika ditanya Agendadaily, punca melepaskan jawatan itu menafikan ianya ada kaitan dengan Nik Nazmi ataupun pemilihan pucuk pimpinan PKR tidak lama lagi.

Apapun, keputusan Azmin menghantar surat memaklumkan meletak jawatan itu dibuat empat hari menjelang parti itu dijadual mengadakan sesi pemukiman serta Mesyuarat Pimpinan Pusat (MPP) pada Ahad ini.

Dalam pada itu, ada juga pihak melihat tindakan Azmin ini antara strategi awal beliau merebut jawatan Timbalan Presiden PKR yang kini disandang Syed Hussin Ali.

Pelantikan Nik Nazmi sebagai Pengarah Komunikasi PKR sudah pasti akan banyak membantu kempen Azmin jika beliau memutuskan bertanding menentang Syed Hussin kelak.

Namun disebaliknya semua percaturan politik itu, jelaslah rumah tangga PKR khususnya di Selangor sedang bergolak dan Azmin tidak menolak kemungkinan berlaku rombakan dalam struktur parti yang akan diumumkan selepas MPP Ahad ini.

Lagipun jika benar ada kumpulan 15 Ahli Parlimen yang turut mempertikai kepimpinan Khalid, dan menyokong Azmin bermakna Ahli Parlimen Gombak itu bukan lagi harimau yang menyembunyikan kukunya.


6/24/2010

WEE CHOO KEONG BONGKAR LAGI - ANWAR DUA ALAM?? PULAK!!!

Inilah jadinya bila terlalu asyik hendak mewujudkan persepsi supaya orang benci kerajaan. Adakalanya kita lupa siapa diri kita semalam,kelmarin,tahun lalu atau 10 tahun lalu. Apa lagi ia bukannya satu rahsia tetapi sesuatu yang semua orang tahu. Bijak dan hebatnya ialah cuma cara lakonan supaya orang percaya kononnya diri kita suci.

Makanya Ahli Parlimen Bebas Wangsa Maju, Wee Choo Keong turut terpanggil menghentam apa yang didakwanya sikap berpura-pura Datuk Seri Anwar Ibrahim dan pemimpin PAS menentang lesen judi dan arak. Baginya ini politik ‘dua alam’.


Bekas ahli parlimen PKR itu mengingatkan Anwar bahawa tidak siapa yang lupa beliaulah yang menghalalkan judi di Sabah semasa menjadi Menteri Kewangan walaupun ditentang keras Ketua Menteri yang bukan Islam waktu itu.
“Dialah rakan baik Datuk S.Nallakaruppan, pengarah eksekutif Magnum, judi empat nombor ekor. Inilah politik cakap tak serupa bikin. Kini beliau (Anwar) mahu menjadi suci dalam debu...lebih putih dari klorok,” kata Wee ketika membahas usul RMK 10 di Dewan Rakyat, Isnin.

Anehnya kata Wee, bagaimana seorang manusia boleh bertukar menjadi raksasa pelbagai wajah, menjadi sesumpah hipokrit dan semuanya atas angan-angan untuk jadi Perdana Menteri ‘at all cost’.

Beliau kemudian menyindir ahli-ahli parlimen PAS supaya mereka mengambil pengajaran dan ikhtibar daripada Mursyidul Am Tok Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang pernah memfatwakan bahawa hasil haram termasuk penjualan arak dan alkohol boleh digunakan untuk pembangunan Kelantan.

“Kalau Mursyidul Am PAS boleh benarkan, mengapa ada beberapa kerat ahli parlimen PAS menentang perlesenan pertaruhan sukan oleh kerajaan Persekutuan? Lagipun ianya tidak babitkan orang Islam, mengapa membantah. Mengapa bersikap talam dua muka,” persoalnya.

Kenyataan pedas Wee mengundang rasa kurang senang beberapa ahli parlimen PAS terutama Dr Lo Lo Ghazali (Titiwangsa) dan Khalid Samad (Shah Alam) yang bangun membantah pendapat ahli parlimen Bebas itu.

Mereka terus cuba menganggu Wee meneruskan ucapan membahas usul tersebut.

Bagaimanapun, tanpa memperdulikan gangguan itu, Wee terus mempersoal tindak tanduk pemimpin PAS, dengan bertanya, apakah mereka tidak bersetuju dengan fatwa Mursyidul Am PAS?

“Atau apakah mereka lebih menjadikan Ketua Umum PKR sebagai kiblat mereka dan presiden pimpinan mereka?,” katanya.

Dewan terus panas apabila Dr Lo Lo bangun menggunakan peraturan membantah kenyataan Wee yang membacakan fatwa Tok Guru antara lain berbunyi “ bagi penjualan arak, ia hanya dbenar jua oleh orang bukan Islam kepada golongan itu sahaja kerana jika ianya haram sudah tentu menyulitkan orang bukan Islam menikmatinya,”.

Menurut Dr Lolo dan kemudian disokong Khalid, Wee tidak faham perbezaan kenyataan Nik Aziz apabila menganggap apa dikatakan Menteri Besar Kelantan itu sebagai fatwa.

Wee yang dibenarkan timbalan speaker Datuk Ronald Kiandee meneruskan perbahasan menyatakan, Kelantan menggunakan hasil cukai arak, lesen anjing dan sebagainya bagi menampung kos membuat jalan dan projek pembangunan.

“Arak itu sendiri diminum bukan Islam, jadi bila diminum mereka, maka untuk menjaga keselamatan, kerajaan ambil duit dari mana,” katanya.

Beliau kemudian meminta pemimpin PAS tidak perlu hipokrrit sebaliknya berlaku jujur dan mengikuti nasihat Tok Guru serta beri sokongan kepada usaha kerajaan persekutuan melesenkan pertaruhan sukan.

Katanya, adalah tidak masuk akal untuk kerajaan menghapuskan subsidi tetapi di waktu sama membenarkan sindiket haram judi sukan mengaut keuntungan yang banyak.

Inilah akibatnya apabila bekerja dengan orang seperti Anwar. Akhirnya, menyesal. Wee Choo Keong pun sebenarnya sama juga. Tapi mungkin sudah menyesal juga. Tapi,kami masih menanti pendirian beliau terhadap tuduhan terhadap Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Dato' Dr. Mohd Shafei Abdullah. Tak nak minta maaf ke??


6/15/2010

AL FATIHAH BUAT HASSAN SHUKRI.

Berita pemergian bekas Timbalan Presiden PAS, Hassan Shukri telah mengejutkan pemimpin-pemimpin politik tanah air. Beliau dikatakan sakit dada ketika perjalanan pulang dari Kota Bharu setelah selesai Mukmamar PAS ke 56.

Inilah asam garam kehidupan. Allahyarham dikatakan antara individu yang mencipta logo dan bendera PAS. Walaupun berbeza fahaman politik, namun beliau tetap sahabat saudara seIslam kami. UMNO Cawangan Gombak Selatan merakamkan ucapan takziah buat keluarga Allahyarham.

6/03/2010

UNDURLAH SAMY VELLU - MASA SUDAH SAMPAI !!!



Mengambil kira pelantikan Timbalan Presiden MIC, Datuk G.Palanivel ke dalam Kabinet seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, pada Selasa, Datuk Seri S.Samy Vellu sepatutnya sudah boleh memikirkan untuk memenuhi desakan memintanya melepaskan kerusi presiden MIC.

Walaupun hanya dilantik sebagai Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, harapan Samy Vellu melihat bakal penggantinya berada dalam Kabinet dengan alasan dapat menguatkan parti sudah tercapai.

Palanivel bernasib baik berbanding presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang tidak mahu menerima apa-apa jawatan kerajaan selepas memenangi kerusi itu menewaskan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Najib sudah banyak berlembut dengan Samy Vellu dan bekas menteri Kerja Raya itu wajar membalas kebaikan itu dengan merungkai permasalahan parti apabila ramai pemimpin dan ahli-ahli memintanya berundur lebih awal bukannya September tahun depan.

Samy Vellu harus ingat bagaimana Najib selaku Pengerusi BN mengembalikan kerusi parlimen Hulu Selangor kepada MIC walaupun timbul desakan kuat kalangan pemimpin dan ahli UMNO menuntut semula kerusi itu ketika pilihanraya kecil kawasan itu, akhir bulan April.

Bukan sahaja dapat kerusi malah Najib juga bersetuju dengan permintaan Samy Vellu supaya memilih P.Kamalanathan sebagai calon walaupun nama bekas timbalan Ketua Pemuda MIC, V.Mugilan dikatakan lebih menarik perhatian BN.

Perdana Menteri sekali lagi akur dengan presiden MIC itu apabila melantik Palanivel sebagai Senator dan terbaru sebagai timbalan menteri dalam rombakan semalam.

Mengambil kira semua ini, semu impian Samy Vellu sudah tercapai tetapi apakah beliau masih tidak berpuashati lagi dan mahu kekal sebagai presiden parti sedangkan desakan mintanya berundur lebih awal begitu kuat termasuk dari mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

Beliau harus ingat, Gerakan Anti Samy Velu (GAS) yang digerakkan Mugilan belum terhenti sebaliknya akan mengumpul 500,000 tandatangan mendesak Samy Vellu berundur.

Percayalah sehingga September tahun depan, macam-macam perkara dalaman MIC akan terus jadi bebanan kepada BN dan Najib jika Samy Vellu masih kekal.

Samy Vellu juga harus tahu, menjelang tempoh pilihanraya umum ke 13, parti komponen BN perlu memperkukuhkan parti dan jentera parti bagi memastikan BN menang selesa selepas hilang majoriti dua pertiga pada pilihanraya umum lalu.

Jika Samy Vellu tetap berundur mengikut cadangannya, apakah Palanivel yang akan memangku jawatan Presiden mempunyai masa yang cukup untuk mempunyai pengaruh yang cukup kuat dikalangan pemimpin dan anggota parti?

Sebenarnya, inilah masa terbaik Samy Vellu berundur supaya Palavinel dapat menguruskan MIC mengikut acuannya.

Palanivel juga boleh merapatkan kembali kepimpinan dalam MIC dengan menerima semula pemimpin dan ahli yang dipecat oleh Samy Vellu.

Lainlah kalau Samy Vellu mahu kekal sehingga September tahun depan kerana beliau tidak percaya kemampuan Palanivel menerajui MIC atau mahu menentukan calon-calon MIC pada pilihanraya umum kelak atau pemilihan parti itu.

Samy Vellu harus ingat, jangan kerana nila setitik habis susu sebelanga.


6/02/2010

ISRAEL TERUS ZALIM - 12 SUKARELAWAN MALAYSIA TERSELAMAT.





Semua 12 rakyat Malaysia dari Kapal Mavi Marmara yang ditahan Israel sudah dibebaskan pagi Rabu waktu Malaysia. Mereka dibawa menaiki bas melintasi Jambatan Allenby di Tebing Barat masuk ke sempadan Jordan.

Duta Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Aziz menyambut ketibaan mereka di situ. Wartawan Astro Awani,Ashwad Ismail telah membuat laporan lintas langsung menceritakan pembebasannya dari lokasi itu menerusi Awani Global pada jam 12.15 tengahari.

Antara lain kata Ashwad semasa serangan Israel keatas Mavi Marmara dua anggota misi rakyat Turki dekatnya telah terkena tembakan dan dia sempat menyelamatkan diri. Mereka kemudiannya di bawa melalui jalan darat ke ibunegara Jordan, Amman.

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.

Katanya kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu di luar perairan Israel pada pukul 4.20 pagi. "Tentera Israel mengepung kami dari semua pelosok... mereka menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter," katanya.

Menurut beliau, tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata, seperti air dari pili bomba.

"Kami diserang bertubi bertubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Samsul (jurukamera) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu," katanya.

"Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah...ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian... kami hanya orang awam," tambah beliau.

Ditanya keadaan Samsulkamal Abdul Latip, Ashwad berkata beliau selamat tetapi kedua-dua mereka terpisah selepas mereka ditahan dan digari oleh tentera Israel, dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan.

Sementara itu Bernama melaporkan Abdul Malek berkata Kementerian Luar Malaysia dan pihak kedutaan akan menyediakan semua persiapan bagi memudahkan sukarelawan itu pulang ke Malaysia.

Salah seorang daripada mereka, Noor Azman Muhamad Samsuddin, memberitahu Bernama melalui telefon, serangan yang dilakukan pada awal pagi oleh tentera komando Israel adalah pengalaman yang mengerikan.

Katanya sebahagian besar penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, yang telah disekat Israel sepanjang tiga tahun yang lepas, tidak menyangka akan menerima tentangan dari tentera Israel sewaktu insiden maut tersebut.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam serangan itu, menyebabkan Israel dikutuk di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Menurut Noor Azman, dua sukarelawan Indonesia juga tercedera dalam serangan tersebut. Sementara itu di Alor Star ,Ibu Ashwad , Wan Marfuzah Wan Ismail, 53, berkata beliau sekeluarga bersyukur dengan perkembangan terkini anak tunggalnya itu dan berharap Ashwad dapat pulang dengan selamat.

"Kira-kira pukul 11.30 pagi, Ashwad menelefon saya sebanyak dua kali untuk memberitahu dia selamat dan dia turut bertanya khabar keadaan keluarga di sini. Sukar digambarkan perasaan saya selepas mendengar suara Ashwad yang memberitahu dia selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya Rabu.

Katanya beliau mengetahui tentang pembebasan anaknya itu kira-kira pukul 11 pagi ini melalui saluran berita Al-Jazeera.

Wan Marfuzah berkata beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya sekeluarga selepas mengetahui Ashwad selamat dan hanya doa sahaja mengiringi anaknya untuk kembali ke Malaysia.

"Walaupun Ashwad selamat, tetapi saya sekeluarga tetap tidak akan putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya dipermudahkan perjalanan pulang ke tanah air. Selagi saya tidak melihat sendiri wajah anak saya di depan mata, selagi itu hati saya tidak tenang," katanya.

Sementara itu, bapa Ashwad, Ismail Yaakob, 55, berkata beliau tidak akan menghalang anaknya meneruskan kerjaya sebagai wartawan berikutan pengalaman yang menakutkan itu kerana itu adalah minat Ashwad sejak dari kecil.

"Kami sekeluarga akan sentiasa menyokong cita-citanya dan berharap dia akan berjaya," katanya.