9/30/2009

ISA MASIH DIPERLUKAN, OLEH ITU JANGAN HAPUSKAN I.S.A - ISA SAMAD

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad diumum sebagi calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan kira-kira 10,000 penyokong dan rakyat di Bagan Pinang, Port Dickson kira-kira jam 5.25 petang Selasa.

Muhyiddin dalam ucapannya menegaskan BN memilih calonnya dengan meletakkan keutamaan terhadap kehendak dan harapan rakyat. Sambil bertanya siapa yang dikehendaki oleh penduduk Bagan Pinang sebagai calon mereka, ribuan yang hadir menjerit "Tan Sri Isa" dan serentak itu Muhyiddin terus mengumumkan nama Isa sebagai calon. Ribuan yang hadir bangun bersorak dan bertepuk tangan dengan pengumuman yang dibuat itu.

Sementara itu Isa dalam ucapan penerimaan pencalonannya secara berseloroh berkata,"nampaknya Isa masih diperlukan, dengan itu jangan hapuskan ISA" merujuk kepada singkatan AKta Keselamatan Dalam Negeri yang sama dengan namanya. Bercakap kepada wartawan selepas pengumuman itu Timbalan Perdana Menteri yakin BN telah membuat keputusan yang tepat apabila meletakkan Isa sebagai calon dan berharap pengundi akan terus memberi peluang kepada BN untuk terus menjadi wakil bagi rakyat di Bagan Pinang.

Katanya pemilihan Isa dibuat berdasarkan kehendak penduduk setempat. Menurut Muhyiddin keputusan itu dibuat selepas pucuk pimpinan membuat tinjauan yang cukup rapi sampai ke peringkat akar umbi di kalangan orang Melayu, Cina dan India di kawasan itu.

Mereka menyatakan sokongan kepada Isa kerana sudah lama mengenali tokoh yang mesra rakyat itu dan sudah tahu jasa yang beliau lontarkan untuk orang-orang di Port Dickson serta Negeri Sembilan, katanya.

"Di atas dasar populariti dan juga atas kehendak orang tempatan, sebab itu saya bertanya mereka sendiri dalam ucapan saya tadi, saya tidak buat keputusan sendiri dan mereka katakan Isa! Isa! Isa!, tiga kali disebut, baru saya umumkan kerana itu adalah kehendak daripada pengundi di sini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan itu telah berpihak kepada pengundi kerana ia merupakan satu pilihan raya kecil dan senarionya tidak sama dengan pilihan raya umum. "Walaupun mungkin dalam sejarah politik beliau (ada masalah), macam saya juga ada sejarah dan masalah, tapi rakyat tempatan, pengundi yang mengenali hati dan nurani beliau yakin beliau mampu," katanya.

Muhyiddin berkata beliau tahu pembangkang akan gunakan pelbagai isu terutama yang berkait rapat dengan isu politik wang Isa dahulu untuk menjatuhkan pemimpin itu.

Beliau melihat pilihan raya kecil itu merupakan peluang untuk kerajaan BN menjelaskan dasar-dasarnya, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia, usaha memulih ekonomi yang sedang berjalan di samping menerangkan keadaan masalah di peringkat tempatan dan nasional.

Najib yang kebetulan menghadiri majlis Hari Raya dengan angkatan tentera di kem Port Dickson pada awal petang telah singgah sebentar menyertai majlis itu sebelum berlepas pulang. Isa, 59, pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004.

Beliau juga merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO. Dilahirkan di Melaka pada 14 Nov, 1949, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Isa menyandang kerusi DUN Linggi sejak 1978 sehinggalah pada tahun 2004 apabila beliau beralih bertanding kerusi Parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang beliau sandang sebelum metelakkan jawatan pada tahun 2005.

Pengalaman beliau dalam parti juga menarik, khususnya dalam cubaan bertanding jawatan-jawatan penting di peringkat pusat. Pada tahun 1993, Isa mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno tetapi tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan pada tahun berikutnya beliau mencuba nasib pula bertanding jawatan naib presiden Umno tetapi tewas juga.

Isa akhirnya memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun jawatan itu tidak dapat bertahan lama apabila keahliannya digantung selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008) setelah beliau didapati bersalah terhadap dakwaan amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004.

Beliau pada asalnya digantung keahlian selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana kesalahan itu tetapi tempoh hukuman itu dikurangkan separuh oleh Majlis Tertinggi UMNO setelah beliau membuat rayuan.

Berikutan itu semua jawatannya dalam parti, termasuk sebagai ketua Umno bahagian Teluk Kemang digantung. Selepas digantung keahlian, Mohd Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Okt 2005.


9/29/2009

ISU SELCAT - SANDIWARA ATAU REALITI?

Macam-macam cerita pasal Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan DUN Selangor (Selcat) yang bukan sahaja dikritik pegawai penjawat awam tetapi Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Hasan Mohamad Ali.

Ada pihak melihatnya sebagai percikan api dalam pakatan pembangkang di Selangor kerana tindakan Pesuruhjaya PAS negeri itu dihentam bertubi-tubi rakan pakatan terutama pemimpin DAP. Lebih menarik, bila beberapa pemimpin PAS turut mengecam Dr Hasan yang sebelum ini menyuarakan bantahan terhadap cara Selcat menyoal siasat pegawai-pegawai Daerah di Selangor berhubung perbelanjaan peruntukan wakil rakyat oleh pemimpin Barisan Nasional sebelum pilihanraya umum Mac tahun lalu.

Kaedah soal siasat yang menampakkan seolah-olah pegawai Daerah bodoh, tidak tahu peraturan kewangan dan sebagainya cukup memanaskan hati penjawat awam itu namun hanya pegawai Daerah Klang, Bakhtiar Hussin yang ‘meletup’.

Rupa-rupanya Dr Hasan juga tidak senang hati kaedah Selcat menyoal siasat yang dalam fikirannnya jika berterusan boleh menyebabkan kepercayaan penjawat awam terhadap kerajaan campuran di Selangor lebur. Teguran Hasan, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Islam, Adat-Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor itu supaya Selcat mengkaji kaedah lebih sesuai menyebabkan ada pemimpin PAS yang selama ini dilihat memang tidak sebulu dengan beliau turut mengecam Adun Gombak Setia itu.

Antaranya Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar, Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad serta Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Zulkifli Ahmad. Nama-nama ini juga sebelum ini dikaitkan dengan kumpulan Erdogan, yang pro Anwar Ibrahim malah ketika pemilihan pimpinan dalam Muktamar PAS awal tahun ini, pertembungan kumpulan ini dengan kumpulan ulama dalan parti itu tidak dapat diselindung.

Ada kalangan pemimpin PAS nampak macam Dr Hasan sudah jadi beban dalam pakatan pembangkang di Selangor ekoran beberapa isu mengaitkan beliau teutama isu penjualan arak di kawasan Melayu di Bandaraya Shah Alam.

Justeru itu tidak hairan ada kalangan pemimpin parti itu mahu Dr Hasan dikenakan tindakan disiplin ekoran pandangannya dalam isu Selcat. Namun, PAS pusat yang akan bermesyuarat Selasa ini tidak mungkin mengambil tindakan disiplin ke atas Dr. Hasan berhubung isu Selcat walaupun ada desakan pemimpin tertentu dalam parti itu.

Sebaliknya, pucuk kepimpinan parti itu hanya akan mendapatkan penjelasan lanjut daripada beliau mengenai pendiriannya dalam itu itu. Mengambilkira kenyataan itu yang dijelaskan Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa pada media hari Ahad, pasti puak-puak yang mahu melihat kejatuhan Dr Hasan di Selangor akan terus berputih mata.

Namun, Nasharuddin menolak andaian bahawa pihak yang mahu Dr Hasan dikenakan tindakan adalah usaha kumpulan tertentu mahu menjatuhkan beliau. Sebaliknya, beliau menyifatkan perkara itu cuma perbezaan pandangan yang wujud di kalangan pemimpin negeri dan pusat.

"Saya tidak melihat kepada keperluan sampai ke peringkat itu kerana bagi saya Datuk Hasan memberikan pandangan beliau tentang perlunya prosedur Selcat diperbaiki. Bagi saya memberikan pandangan sebegitu tidaklah sampai perlu diambil tindakan disiplin. Penjelasan, ya... kami akan minta penjelasan (daripada Hasan) tentang apa sebenarnya perkara yang berlaku," katanya kepada media di Rumah Terbuka Aidilfitri beliau di Bandar Bukit Mahkota, Nilai..

Lagipun katanya, dalam PAS usaha ke arah diambil tindakan disiplin perlu melalui beberapa proses. Sehubungan itu, Nasharudin yang sudah memperoleh maklumat dan penjelasan daripada beberapa pihak termasuk Dr Hasan secara peribadi tidak nampak kenapa pemimpin utama PAS di Selangor itu perlu dihukum.

Beliau juga menolak cakap-cakap isu itu bakal menyaksikan PAS keluar pakatan rakyat di Selangor sebaliknya menegaaskan, parti itu tetap berpegang teguh kepada keputusan muktamar PAS di Ipoh dan di Shah Alam bagi memperkukuhkan Pakatan.

Namun isu ini tidak akan berakhir sekelip mata kerana Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim akan mempengerusikan mesyuarat tiga penjuru bagi membincangkan isu berkenaan. Ianya membabitkan Selcat yang telah ditubuhkan bersama oleh parti campuran pembangkang di Selangor, kerajaan negeri dan penjawat awam.

Isu Selcat ini juga bakal mengundang pertembungan berteruan Pengerusinya, Teng Cham Khim dengan Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang mahu Selcat mengambil tindakan terhadap Dr Hasan serta seorang lagi Exco dari PAS, Iskandar Abdul Samad yang turut mengkritik Selcat.

Bekas menteri besar itu mencabar Teng menggenakan tindakan sama terhadap Dr Hasan kerana Speakar itu sebelum ini menggantung kehadiran Dr Mohamad Khir serta empat lagi wakil rakyat BN daripada sidang DUN kerana dikatakan menghina Selcat.

Jika Teng gagal menyahut cabaran Dr Mohamad Khir, jelaslah beliau seorang yang ‘double standard’ dalam tugasnya sebagai Speaker. Selcat dianggotai Haniza Mohd. Talha (PKR-Taman Medan), Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa), Shaari Sungib (PAS-Hulu Klang), Edward Lee Poh Lin (DAP-Bukit Gasing), Sulaiman Abdul Razak (BN-Permatang) dan Ismail Sani (BN-Dusun Tua) selain Teng yang juga Speaker DUN Selangor.

Sulaiman dan Ismail, baru-baru ini membayangkan untuk menarik diri daripada menganggotai Selcat. Perlu diketahui, Selcat ditubuhkan tanpa persetujuan Sultan Selangor selepas dicadangkan di DUN Selangor tetapi secara automatif sah selepas tempoh 30 hari walaupun tanpa perkenan Baginda.

Itulah akibatnya apabila terlalu bongkak dan bangga dengan Kerajaan Negeri sekarang. Dihina dicaci kerajaan BN Selangor terdahulu seolah-olah kami ini kerajaan Firaun. Sekarang? Tepuk dada, tanya hati. Jangan lepas ini kes entah ke mana, Dr. Hasan Ali cium molot balik dengan Teng macam kes Arak di Selangor dulu.

Lupa pula, esok insyaallah kami akan ceritakan sedikit mengenai isu ternakan lembu dan kambing yang kecoh di Selangor.. Inilah 'Kerajaan Rakyat'...


9/20/2009

SALAM IDULFITRI - MAAF ZAHIR BATIN KHAS BUAT RAKAN UMNO MAHUPUN PEMBANGKANG

Syawal kini menjelang tiba. Kami dari UMNO Cawangan Gombak Selatan pimpinan En. Abd. Razak Muhamad ingin mengucapkan Salam Idulfitri khas buat rakan-rakan semua.

Buat rakan-rakan seperjuangan dari UMNO, kami ingin memohon ampun dan maaf jika ada melakukan sebarang kesalahan yang mengguris hati sahabat-sahabat sekalian. Insyaallah, perjuangan membela Agama, Bangsa dan Negara akan lebih utuh dengan keakraban kita bersama.

Khas buat rakan-rakan dari PAS dan PKR, kami juga ingin memohon ampun dan maaf jika artikel-artikel kami menaikkan sifat dendam dan rasa tidak puas hati di kalangan anda. Percayalah, artikel-artikel yang kami siarkan adalah demi menyatakan kebenaran dari pihak kami.

Semoga semangat ukhuwah dan kekeluargaan di kalangan kita akan lebih utuh di bulan Syawal ini. Tidak kira dari rakan-rakan UMNO mahupun Pembangkang. Inilah wajah sebenar umat Islam. Tidak kita ideologi politik, kita bersama-sama menyambut Hari Lebaran.

Selamat Hari Raya....

9/18/2009

ISU GAMBAR MAHATHIR DIKALUNG SELIPAR - SEDIH JIKA UMNO SENDIRI HINA SAYA

Tun Dr Mahathir Mohamad berkata beliau tidak sedih atau marah dengan cadangan seorang anggota MIC agar gambar beliau dikalung selipar. Bekas Perdana Menteri itu berkata beliau tidak merasakan apa-apa dengan kecaman tersebut kerana "bukan saya jadi apa-apa".

Ini kerana kecaman itu datang daripada anggota MIC, katanya kepada Bernama di Putrajaya.. Sebaliknya, Dr Mahathir berkata, beliau amat sedih dan marah sekiranya kecaman datang daripada anggota UMNO sendiri seperti yang pernah berlaku.

Cadangan kalungan selipar itu dibuat oleh Timbalan Ketua MIC bahagian Paya Besar, Pahang, M. Sukumaran pada perhimpunan agung MIC Ahad lepas di ibu negara kerana mendakwa Dr Mahathir mencampuri urusan parti itu melalui kenyataan-kenyataan yang dibuatnya.

Ekoran itu, Sukumaran dikecam hebat dan dianggap sebagai biadab. Beliau kemudian memohon maaf dengan memberi alasan beliau telah terlepas cakap. Malah, anggota MIC itu ingin menemui Dr Mahathir untuk meminta maaf secara peribadi.

Mengulas lanjut isu itu, Dr Mahathir berkata : "Tiba-tiba saya jadi popular. Orang semua pertahankan saya. Seperti yang saya katakan, dulu saya kena kecam, kena kata...suruh buang daripada UMNO. Tapi orang tak react (beri reaksi). Pasal apa dulu tak react, kali ini react.

"Dulu bila saya kena kecam, tak ada sesiapa pertahankan saya. Taklah secara terbuka. Orang senyap-senyap beranilah tapi orang kenamaan dan orang terkenal tak beranilah pertahan saya," katanya.

Dr Mahathir berkata beliau sedih apabila orang partinya sendiri dan orang yang duduk dalam kabinetnya sendiri mengecamnya. Katanya beliau lebih marah terhadap kecaman yang dilontarkan oleh anggota UMNO dan bekas anggota kabinetnya daripada kecaman yang dibuat oleh anggota MIC. "Saya duduk dalam UMNO dari mula parti itu ditubuhkan. Yang tegur saya ini belum beranak pun lagi," katanya.

Mengenai hasrat Sukumaran ingin menemuinya untuk memohon maaf, Dr Mahathir berkata: "Minta maaf tak apa, tak minta maaf pun tak apa. Bagi saya tak ada apa-apa. Saya yang sedih bila orang parti saya sendiri, orang yang duduk dalam kabinet saya sendiri kecam saya," Dr Mahathir berkata Sukumaran kini menjadi mangsa percakapannya sendiri.

Selasa lepas, Presiden MIC Datuk Seri Samy Vellu mengumumkan penggantungan serta-merta keanggotaan Sukumaran ekoran kecamannya itu.


9/17/2009

16 SEPTEMBER BERLALU LAGI - ANWAR, APA CERITA BARU?

Berbalik soal arena politik kita. Bagi rakyat negara ini yang mengingati sejarah, 16 September adalah tarikh penubuhan Malaysia. Pada tarikh itu dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan, kemudian bersama Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia.

Penubuhan Malaysia menerima tentangan hebat daripada Indonesia di bawah Presiden Sukarno yang melancarkan konfrantasi dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Perjanjian penubuhan Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 tetapi disiytihar secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Namun, bagi rakyat negara ini yang mengingati sejarah politik tanahair, 16 September khususnya pada tahun 2008 akan diingati sebagai tarikh bagaimana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan kerajaan baru pimpinannya di Putrajaya.

Semuanya bermula dengan perletakan jawatan isteri beliau, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi tersebut. Ketika kempen pilihanraya kecil itu, poster-poster membayangkan perjalanan Anwar ke Putrajaya antara menarik perhatian ramai bahkan ianya juga antara faktor membantu kemenangan Anwar pada 26 Ogos 2008.

Malah, Anwar menyifatkan kemenangan beliau adalah kemenangan rakyat yang mahukan perubahan di negara ini. Penasihat PKR itu berkata, ia isyarat jelas rakyat bukan saja di Permatang Pauh malah seluruh negara mahu kerajaan membuat perubahan dengan mengutamakan kepentingan rakyat terutama dalam bidang ekonomi.

Beliau juga memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berjaya memastikan proses pilihan raya berjalan lancar padahal kebelakangan ini SPR sentiasa jadi bahan kritikan dan bertugas di bawah tekanan pembangkang yang menuduh suruhanjaya itu menyebelahi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dengan nyanyian untuk menawan Putrajaya yang didendangkan ketika kempen pilihanraya kecil itu, irama itu diteruskan dengan cerita kononnya 30 ahli parlimen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak akan ‘lompat’ sertai pembangkang bagi menjamin mimpi Anwar jadi nyata. Pasti masih ada yang ingat bagaimanan ahli parlimen BN yang membuat lawatan sambil belajar ke Taiwan sebelum tarikh 16 September diburu oleh beberapa pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, segala usaha memujuk dan ada juga dakwaan untuk membeli wakil rakyat BN tidak berjaya hinggalah tanggal 16 September 2008 berlalu dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih Perdana Menteri ketika itu.

Bagi menutup kekecewaannya, Anwar mendakwa wakil-wakil rakyat yang dikatakan sudah bersedia menyertai pembangkang diugut supaya tidak menyertai pembangkang. Peliknya sebelum itu, apabila wartawan meminta Anwar memberikan angka dan menamakan siapa ahli parlimen BN yang sudah setuju ‘lompat parti’, Ketua Pembangkang itu hanya membisu.

Sejak itu, pelan 16 September Anwar untuk menawan Putrajaya melalui pintu belakang menjadi bahan lelucon banyak pihak malah kencaman dan tempelak media. Selepas itu Anwar masih menabur janji dengan memberikan tarikh selepas Hari Raya Aidiladha menyebabkan sekali lagi rakyat yang menerima perjuangan bekas penghuni Penjara Sungai Buloh itu ternanti-nanti saat tersebut.

Namun, semua itu tidak juga menjadi kenyataan dan yang jelas rakyat negara ini bahkan seluruh dunia yang mengikuti perkembangan politik Malaysia yang sentiasa bergelora selepas pilihan raya umum ke 12 pada Mac 2008 tertipu lagi.

Malah, rakan-rakan beliau terutama dari PAS sendiri awal-awal lagi tidak yakin cita-cita Anwar itu kesampaian. Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali mungkin tersenyum sendirian sambil terbayang wajah selamba Anwar mengenangkan apa yang pernah dikatanya mengenai gempak 16 September itu tepat sekali.

Kini pada Rabu, 16 Spetember 2009, ramai rakyat negara ini yang menyokong mahupun menentang perjuangan politik Anwar yang ‘semuanya pembangkang betul’ akan memperingati tarikh itu sebagai genap setahun pembohongan Anwar Ibrahim.

Sifat terlalu yakin Anwar mengenai pelan 16 September serta laluan ke Putrajaya nyata memakan diri. Bagaimanapun, bagi manusia yang juga dikenali Pak Sheikh ini, semua sandiwara ini bukan sesuatu yang pelik bagi beliau.

Cuma kini disebalik ulangtahun pertama pembohongan 16 Septembernya itu, ada rakyat negara ini masih tertanya-tanya kenapa beliau tidak berani melakukan sumpah laknat atau sumpah depan al-Quran dalam kes dakwaan beliau meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dan disebalik ulangtahun pertama pembohongannya itu juga, ada rakyat negara ini yang masih tertanya-tanya kenapa beliau melalui peguam-peguamnya yang tersohor cuba mengelak kes itu dibicarakan di mahkamah.

Kata orang berani kerana benar... justice delayed is justice denied.

Apapun, selamat ulangtahun pembohongan 16 September. Barangakali Anwar yang dijadualkan berceramah di Kampung Seri Rusa, Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson malam ini tentu ada janji baru hendak ditawarkan kepada rakyat khususnya pengundi pilihanraya kecil Bagan Pinang.


9/12/2009

PEMILIHAN UMNO - SISTEM KUOTA HAPUS SERTA MERTA

Sistem kuota pertandingan jawatan UMNO yang sering menjadi polemik setiap kali menjelang pemilihan parti itu kerana dianggap tidak demokratik dan galak politik wang akan berkubur tidak lama lagi.Serentak dengan itu sudah pasti jumlah perwakilan UMNO yang berkuasa menentukan siapa yang dipilih akan lebih dari 2,500 orang seperti sebelum ini.

Ini dua perkara utama yang dipersetujui dalam mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO yang dipengerusikan oleh Datuk Seri Najib Tun Razak di ibupejabat parti itu di PWTC petang Jumaat.

Sistem kuota diperkenalkan semasa zaman Tun Dr Mahathir Mohamad selepas pemilihan parti yang hangat tahun 1987 dimana beliau berentap dengan Tengku Razaleigh Hamzah.Dibawah sistem itu calon jawatan Presiden perlu dapat 30 peratus pencalonan dari 191 bahagian UMNO manakala Timbalan 20 peratus dan Naib Presiden 10 peratus.

Sistem ini juga melibatkan pemilihan jawatan sayap parti Pemuda,Wanita dan Puteri.Sebelum ini kisah kejar mengejar untuk mendapatkan jumlah pencalonan yang mencukupi kuota menjadi perhatian menjelang pemilihan parti.


9/09/2009

HADI AWANG DI AWANG-AWANGAN, TAKUT UNDI POS !!!

Sebelum memulakan artikel ini kami dari pihak UMNO Cawangan Gombak Selatan memohon maaf kerana telah sekian lama tidak mengemaskini blog kami ini. Kesibukan dengan pelbagai undangan dan aktiviti di bulan Ramadhan ini amat membataskan kami.

Kami juga ingin memberi ucapan Takziah buat keluarga ADUN Bagan Pinang, Negeri Sembilan Azman Mohd Nor. Semoga roh beliau dicucuri Allah.

Nampaknya Pembangkang kini semakin bongkak dengan pelbagai fitnah dari mereka. Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) belum pun bermesyuarat bagi memutuskan tarikh pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang tetapi PAS sudah memulakan perang psikologi untuk berdepan pilihan raya tersebut.

Jika sebelum ini, pembangkang mengaitkan pengundi hantu jika mereka kalah tetapi bagi pilihan raya kecil di DUN dalam parlimen Teluk Kemang itu, PAS bersiap sedia dengan alasan tidak mempercayai undian pos pula.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sendiri sudah membangkitkan perkara itu dengan alasan mereka meragui undi pos kerana menganggap undi pos oleh askar dan polis tidak diberikan kebebasan dalam mengundi. "Inilah sebabnya kenapa undi pos sentiasa dianggap undi yang kotor," katanya seperti dilaporkan portal rasmi parti itu.

Pada pilihan raya umum lalu, calon PAS, Ramli Ismail kalah kepada Azman Mohd Nor dengan 2,333 undi.Faktor utama kemenangan calon BN adalah kehadiran kira-kira 5,000 pengundi pos Tentera Darat di kawasan yang mempunyai kira-kira 14,000 pengundi itu.

Mereka adalah dari Pusasda Kem Si Rusa (1,903 undi), 2 KAD Kem Sunggala (1,130 undi), IJED Kem Kg Sawah (847 undi), IPDA Port Dickson (407 undi), 1 Kompeni KPD Kem Si Rusa (265 undi), 1 WKSP Bgd Kem Sg Sawah (165 undi), Sekolah Pertukangan Perintis (105 undi) dan ILMI Port Dickson (103 undi).

Dalam pilihan raya 2008, Bagan Pinang mempunyai 14,192 pengundi berdaftar. Sebanyak 66 peratus darinya Melayu, 10.5 peratus Cina, 19.9 India dan 3.5 peratus bangsa-bangsa lain.

Tuduhan PAS kononnya undi pos memihak kepada BN tidak logik sama sekali. Lihatlah keputusan pilihan raya umum lalu apabila pembangkang menang mengejut di beberapa kawasan termasuk menawan Selangor, Perak, Pulau Pinang dan Kedah.

Di negeri-negeri tersebut juga terdapat undi pos oleh polis serta tentera yang telah membantu kemenangan calon PKR, DAP dan PAS. Di Bagan Pinang, walaupun PAS kalah disebabkan undi pos tetapi calon mereka masih memperolehi 1,189 undi pos daripada 5, 191 kertas undi yang dikeluarkan. Calon BN mendapat 3,080 undi.

Hadi tidak boleh semberono dengan pemikiran bahawa undi pos adalah undi yang kotor sebaliknya harus percaya kebebasan setiap pengundi sama ada polis mahupun tentera membuang undi. Jelaslah, soal undi pos ini sengaja dibangkitkan PAS sebagai persediaan ‘bertarung’ di Bagan Pinang.

Itupun jika pakatan pembangkang bersekutu menyerahkan kerusi itu kepada PAS kerana Ketua Angkatan Muda PKR Telok Kemang dalam kenyataannya sudah menuntut agar kerusi itu ditandingi oleh PKR.

Isu undi pos ini pasti akan dijaja pembangkang sebagai modal kempen jika BN dapat menampilkan calon yang bersih daripada sebarang skandal atau terbabit kesalahan undang-undang. Jika ini ada, mereka pasti akan mengambil kesempatan menyerang peribadi calon sama seperti dilakukan terhadap calon BN di Permatang Pasir, Rohaizat Othman.

Dalam erti kata lain, BN harus sedar perangkap yang sudah dipasang pembangkang sebelum kempen sebenar bermula. Selain dua perangkap ini, BN pasti akan lebih bersedia di Bagan Pinang dengan mengambil iktibar punca kekalahan dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini.

Lagipun, Bagan Pinang ada kawasan yang dimenangi BN dengan majoriti besar dan kejayaan itu harus dikekalkan. Bagan Pinang mempunyai sembilan daerah mengundi iaitu empat majoriti India, empat kawasan Melayu dan campuran Cina serta undi pos.

Dalam pilihan raya lalu, PAS hanya menang di tiga daerah mengundi iaitu Ladang Atherton, Pekan Siliau dan Sua Betong. Ketiga-tiga kawasan itu adalah majoriti pengundi India. Bagi pilihan raya kecil ekoran kematian Azman pada Jumaat lalu. SPR dijangka bermesyuarat sebelum Aidilfitri bagi menetapkan tarikh pilihan raya kecil Bagan Pinang.

Kemungkinan besar penamaan calon pada 1 Oktober manakala tarikh pengundian pada 10 Oktober. Ini bagi mengelak pertembungan tarikh Perhimpunan Agung UMNO dan sidang sesi Parlimen dan dijadualkan bermula 19 Oktober. Sesi kali ini dijangka panjang termasuk pembentangan Bajet 2010.

9/02/2009

SIDANG HARAM DUN PERAK - DULU BAWAH POKOK, SEKARANG DEKAT HOTEL.. FUYOO!!!

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Pembangkang Perak yang sengaja hendak buat kecoh ekoran mahu mengadakan sidang DUN haram, setelah gagal memasuki Bangunan Perak Darul Ridzuan, beralih ke Hotel Heritage Ipoh bagi meneruskan hasrat mereka.

Mereka yang mula berhimpun di ibu pejabat DAP Perak kemudiannya berarak ke Bangunan Perak Darul Ridzuan yang terletak di seberang jalan walaupun sedar pihak polis telah membuat sekatan.

Malah pagi Rabu, Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Datuk Dr Abdul Rahman Hashim telah mendapatkan perintah mahkamah menghalang pembangkang untuk mengadakan perhimpunan dalam jarak 30 meter daripada bangunan kerajaan negeri itu.

Namun disebabkan memang niat hendak buat kecoh, ADUN pembangkang tetap meneruskan perarakan dan ia telah menyebabkan berlakunya kekecohan.

Dalam usaha mengawal keadaan polis telah menahan tiga ADUN pakatan pembangkang iaitu Pengerusi DAP Perak yang juga ADUN Sitiawan, Datuk Ngeh Koo Ham, ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh kerana merempuh sekatan polis.

Ekoran kegagalan memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan, pakatan pembangkang beralih kepada ‘pelan B’ mereka iaitu bersidang di Hotel Heritage yang telah pun ditempah awal lagi bagi mengadakan sidang DUN haram mereka.

Berikut adalah rentetan peristiwa yang berlaku:

10.45 pagi: Gagal memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan untuk adakan sidang DUN haram, ADUN pembangkang mengumumkan akan adakan sidang haram mereka di Hotel Heritage Ipoh jam 11.30. Dalam pada itu polis turut menahan 2 orang awam dan seorang jurugambar dalam kekecohan yang berlaku.

10.25 pagi: Polis menahan tiga ADUN pembangkang iaitu Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham. ADUN Simpang Pulai, Chan Ming Kai dan ADUN Malim Nawar, Keshvinder Singh kerana cuba rempuh sekatan polis untuk pergi ke bangunan Perak Darul Ridzuan

10.00 pagi: Polis turut berkawal sekitar pokok tempat bekas speaker S.Sivakumar adakan sidang DUN sebelum ini. Difahamkan, pembangkang sedang cuba dapatkan perintah mahkamah batalkan perintah halangan diperolehi Setiausaha Kerajaan Negeri awal pagi ini.

9.45 pagi: Setiausaha Kerajaan Negeri Perak Datuk Dr Abd.Rahman Hashim pagi ini berjaya dapatkan perintah mahkamah halang pembangkang adakan perhimpunan jarak 30 meter dari bangunan Perak darul Ridzuan. Kira-kira 100 anggota polis termasuk FRU sedang berkawal

9.00 pagi: Kira-kira 200 penyokong termasuk ADUN Pembangkang sedang berkumpul di Wisma DAP di seberang jalan pintu masuk bangunan Perak Darul Ridzuan. Pembangkang cadang adakan Sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.

9/01/2009

HANTU SIVAKUMAR KEMBALI DI PERAK

Jangan terkejut jika sidang Dewan Undangan Negeri Perak ‘ bawah pokok’ berulang balik.Tunggu saja Rabu 2 September ini tengok apa jadi gara-gara Ahli Dewan Undangan Negeri DAP kawasan Tronoh V Sivakumar ‘ buat gila’ panggil sidang DUN hari itu.

Gelagatnya itu dikatakan sengaja untuk bikin kecoh sekalipun beliau bukan lagi Speaker DUN itu selepas siding DUN sah dirasmikan oleh Raja Nazrin Shah pada 7 Mei lalu dimana jawatanya sudah dilucutkan.

Speaker DUN Perak yang sah Datuk R. Ganesan mengadakan sidang akhbar Sabtu untuk memberitahu semua ADUN Perak tidak perlu menghadiri persidangan dewan yang dipanggil pada pada Rabu ini kerana arahan yang dikeluarkan adalah daripada sumber tidak sah.

Beliau berkata tindakan Sivakumar memanggil persidangan itu adalah pelik kerana beliau bukan lagi Speaker. Katanya Sivakumar masih mahu “menyamar” dan bertindak sebagai YDP dengan memanggil sidang sedangkan DUN tidak pun bercadang untuk mengadakan persidangan pada tarikh berkenaan.

“Saya juga ingin memaklumkan kepada semua ADUN supaya mengenepikan sebarang arahan atau dakwaan yang dibuat oleh ADUN Tronoh... ini berdasarkan kepada ketetapan dewan yang bersidang pada 7 Mei lalu antara lainnya, dengan suara majoriti telah melucutkan jawatan ADUN Tronoh daripada jawatan Yang Dipertua dan selanjutnya melantik saya sebagai YDP yang baru,” katanya.

Jumaat Ganesan membuat laporan polis meminta siasatan dan tindakan sewajarnya diambil terhadap Sivakumar berhubung perkara berkenaan.

Beliau berkata ADUN Tronoh itu tidak mempunyai kuasa untuk memanggil sidang DUN dan usaha yang dibuatnya itu adalah tindakan yang bertujuan mahu mewujudkan keadaan tidak stabil dalam pentadbiran kerajaan negeri Perak.

ADUN pembangkang daripada PAS, DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) pernah mencuba mengadakan persidangan Dewan pada Mac lalu tetapi tidak dibenarkan masuk ke dewan dan akhirnya 28 ADUN terbabit mengadakan persidangan di kawasan lapang berhampiran dan episod itu dikenali sebagai “Sidang DUN bawah pokok”.

Ganesan menjelaskan bahawa mengikut peruntukan Artikel 36 (1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak menyebut kuasa memanggil sidang DUN adalah kuasa mutlak Sultan Perak.

“Sidang DUN perlu mendapat pengisytiharan Sultan Perak yang mana baginda sendiri akan menentukan tarikh, masa dan tempat persidangan seterusnya akan diwartakan mengikut Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak. Ini amalan yang diikut sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata tindakan Sivakumar memanggil sidang DUN tanpa mendapat perkenan Sultan Perak boleh dianggap sebagai sebagai “rampasan kuasa” dan merupakan penghinaan serta penderhakaan kepada institusi diraja Perak.

Ganesan berkata beliau tidak akan teragak-agak mengambil tindakan mengikut peruntukan Perintah-Perintah Tetap Dewan Perhimpunan Undangan Negeri Perak terhadap Sivakumar atau pihak terbabit dalam “sidang DUN” pada Rabu ini.