3/31/2009

Kecewa Dengan Anwar - B.Kalaivar kempen untuk calon bukan PKR


Ketua Bahagian Parti Keadilan Rakyat (PKR) Jerai, B.Kalaivar (duduk, tiga kiri) bersama sebahagian penyokongnya mengumumkan keluar daripada parti berkenaan ketika sidang akhbar di sini, hari ini. Kalaivanar berkata, tindakan keluar secara beramai-ramai itu adalah kerana mereka telah hilang kepercayaan dengan kepimpinan parti. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Masyarakat India PKR Kedah berkata kesemua anggota yang keluar parti itu akan berkempen untuk calon bukan daripada PKR pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau. INIKAH BUKTI ANWAR BELA NASIB INDIA? Orang India pun sekarang kecewa dengan Anwar.

3/30/2009

PRK Bukit Selambau - PKR Bahagian Jerai dibubarkan, 500 Ahli bahagian keluar parti

PKR bahagian Jerai hari ini dibubarkan ekoran lebih 500 anggotanya termasuk ketuanya B Kalaivanar keluar daripada parti berkenaan, lapor Bernama.

Kalaivanar kecewa tidak terpilih sebagai calon PKR dalam pilihanraya kecil DUN Bukit Selambau yang bermula semalam.

Beliau berkata tindakan keluar secara beramai-ramai itu kerana
mereka telah hilang kepercayaan terhadap penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan Masyarakat India PKR Kedah berkata kesemua anggota yang keluar parti itu akan berkempen menentang calon PKR pada pilihanraya itu.


Pilihanraya kecil pada 7 April itu menyaksikan pertandingan antara calon muka baru PKR S Manikumar, calon BN Datuk S Ganesan bersama 13 calon bebas.

Pada 20 Mac lalu, sewaktu penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan calonnya itu, sekumpulan kecil ahli dari bahagian Merbok menyuarakan bantahannya.

Mereka dipercayai menyokong K Masilamani yang disenaraipendek untuk berdiri atas tiket PKR.

Bagi menenang keadaan, Anwar telah menemui Masilamani dan meminta beliau supaya menasihatkan penyokongnya bertenang.

PRK Bukit Gantang - Nasihat Nik Aziz diketepi,PAS Perak dengar nasihat DAP?



Menteri Besar PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pernah membantah dan tidak bersetuju pencalonan Nizar sebagai wakil PAS untuk bertanding di Bukit Gantang. Namun, nasihat Tok Guru mereka ini tidak diendahkan.

Apakah disebabkan desakan DAP untuk meletakkan Nizar sebagai calon Bukit Gantang antara faktor pendorong?




Apakah selepas ini segala nasihat dan teguran dari De Facto PAS, Nik Aziz akan diendahkan oleh PAS?

Siapakah sebenarnya yang memimpin PAS di Perak? DAP?

DAP sebenarnya khuatir jika PAS meletakkan calon dari kalangan tokoh agama atau golongan Ulamak, kerana DAP tidak mahu sebarang usaha untuk mengislamkan Pakatan Rakyat di Perak.


PAS.... suara mereka untuk melaksanakan dasar Islam di Perak semakin terhad dan terhakis kerana DAP akan memastikan dasar Islam tidak akan dilaksanakan di Perak. Apa-apa bentuk perundangan atau aktiviti yang terlalu mendekati dasar Islamiah akan ditentang DAP.

Sampai begitu sekali.... Sehinggakan peranan Nik Aziz dipinggirkan.. Buktinya :-

  1. Nik Aziz pernah menyarankan agar Mat Sabu diletakkan sebagai calon PAS bagi Parlimen Kuala Terengganu tetapi tidak diendahkan PAS Terengganu pimpinan Mustafa Ali dan Hadi Awang.
  2. Nik Aziz begitu marah dengan cadangan Hadi Awang yang menyarankan agar PAS bekerjasama dan membuat kerajaan campuran bersama BN tetapi Hadi Awang tetap dengan pendiriannya disokong Dewan Pemuda PAS Pusat.
  3. Nik Aziz tidak bersetuju dengan pencalonan Nizar sebagai wakil PAS bagi Parlimen Bukit Gantang kerana beliau telah memegang portfolio DUN, namun PAS tetap berdegil.
PAS seolah-olah tidak lagi mendengar suara dan pandangan Nik Aziz. Di Perak, PAS lebih mendengar nasihat DAP yang memegang majoriti DUN di Perak. DAP yang terang-terangan memperjuangkan pemerintahan sekular namun PAS Perak menganggap kerjasama ini adalah baik untuk kemenangan di Perak.

Nampaknya perjuangan PAS semakin terpesong. Jika kemenangan Bukit Gantang adalah milik PAS, kemenangan ini bukan kemenangan Islam, tetapi sebagai batu loncatan untuk DAP memperkuatkan jentera sekularnya.

BN di bawah pimpinan UMNO telah meletakkan Islam dan Melayu sebagai asas perjuangan di samping tidak meminggirkan agama dan bangsa lain. Ini telah dipersetujui bersama semua parti komponen BN. Kerjasama yang utuh ini terbukti sekian lama. Walaupun terdapat beberapa krisis namun BN dapat menyelesaikannya.

Krisis perjuangan PAS dan DAP sehingga kini tidak selesai. Bagaimana mereka dapat bekerjasama dengan baik? Bagaimana mereka hendak membela rakyat Malaysia melalui konsep dan dasar yang berbeza? Sampai bilakan mereka mampu bertahan? Fikir-fikirkanlah...

Pilih parti yang mampu membela anda dulu, kini dan selamanya.

3/29/2009

Rekod Sejarah PRK - 15 Calon Bertanding Di Bukit Selambau

Pertandingan 15 calon di Bukit Selambau, Kedah dijangka menjadi tumpuan apabila pilihan raya kecil diadakan serentak 7 April depan bagi kerusi negeri itu serta Batang Ai di Sarawak dan kerusi Parlimen Bukit Gantang di Perak.

Di Bukit Selambau, calon Barisan Nasional S.Ganesan bukan sahaja berdepan dengan calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) S.Manikumar tetapi 13 lagi individu yang bertanding sebagai calon Bebas, sekali gus mencatat sejarah sebagai pilihan raya yang melibatkan paling ramai calon.

BN menghadapi pertandingan satu lawan satu dengan PKR di Batang Ai apabila calonnya Malcom Mussem Lamoh berdepan dengan Jawah Gerang, bekas anggota Parlimen Lubok Antu.

Kerusi Parlimen Bukit Gantang pula menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dari PAS, calon BN Ismail Saffian, dan calon Bebas Kamarul Ramizu Idris.

Rekod sebelum ini adalah pada satu pilihan raya di Sabah yang melibatkan lapan calon.

Calon-calon Bebas yang bertanding di Bukit Selambau ialah R. Loganathan, Tan Hock Huat, Mohd Radhi Mat Lazim, Mohd Fadzli Wahab, Abdul Rahim Abu, L. Sarala, A.Jayagopal, S. Moganakumar, Khamis Awang, Husaini Yaacob, Venason Michael, Mejar (B) Anuar Abdul Hamid dan T. Chandrarajan.

Abdul Aziz berkata bilangan calon Bebas yang ramai bertanding mungkin disebabkan calon Bebas yang menang pada pilihan raya umum tahun lepas telah dilantik menjadi anggota Exco negeri.

Kawasan DUN Bukit Selambau mempunyai 35,140 pengundi termasuk 15 pengundi pos dengan majoriti pengundi Melayu (50.2 peratus), India (29.5 peratus), Cina (19.3 peratus) manakala bakinya adalah kaum lain.

Sementara itu, pilihan raya kecil kerusi Parlimen Bukit Gantang dijangka tertumpu kepada Mohammad Nizar, 52, yang menjadi perhatian dalam kemelut politik di Perak selepas BN mengambil alih pentadbiran negeri Februari lepas. Mohammad Nizar adalah anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.

Calon BN, Ismail, 49, adalah seorang anak tempatan yang berasal dari Kampung Kubu. Beliau adalah bekas Ketua Penerangan Umno Bahagian Bukit Gantang, manakala calon Bebas, Kamarul Ramizu, 42, merupakan seorang usahawan.

Kawasan Parlimen Bukit Gantang mempunyai 55,562 pemilih berdaftar, termasuk 136 pengundi pos dengan pecahan 63.5 peratus pengundi Melayu, Cina (27.1 peratus), India (9.1 peratus) manakala yang lain (0.2 peratus).

Bagi pilihan raya kecil negeri Batang Ai, BN meletakkan muka baru Malcom Mussem Lamoh, 49, untuk berdepan dengan Jawah Gerang, 55, bekas anggota Parlimen Lubok Antu bagi lima penggal.

Pengerusi BN Sarawak Tan Sri Abdul Taib Mahmud yang mengetuai perarakan kira 5,000 penyokong BN mengiringi calon BN yakin BN mempunyai peluang cerah untuk mempertahankan kerusi itu.

BN mempamerkan semangat permuafakatannya dengan kehadiran pemimpin-pemimpin seperti Naib Presiden Umno yang baru Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek, Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS) Datuk Seri Panglima Joseph Pairin Kitingan dan bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Salleh Said Keruak.

Calon PKR diiringi kira-kira 3,000 penyokong diketuai Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim.

Jumlah pengundi di Batang Ai ialah seramai 8,006 orang, dengan kira-kira 95 peratus terdiri daripada kaum Iban manakala selebihnya adalah Melayu, Cina dan lain-lain.

Pilihan raya kecil Bukit Gantang dan Batang Air diadakan berikutan kematian penyandang iaitu Roslan Shaharum dari PAS pada 9 Feb lepas dan Datuk Dublin Unting Inkot (BN) pada 24 Feb.

Penamaan Calon Barisan Nasional bagi 3 Pilihanraya Kecil


BERSAMA-SAMA KITA BERKEMPEN BAGI MEMASTIKAN CALON BN
MENJADI PILIHAN PENGUNDI...

3/28/2009

Ya Allah, Tangisan Kami Melihat Perpaduan Ini - Terima Kasih Presiden UMNO, Datuk Seri Najib


Apabila melihat tangisan mereka berpeluk tanda kasih sayang pada pemimpin, mereka sebak tanda keikhlasan dalam perjuangan, mereka meminta maaf antara satu sama lain, tiada ungkapan dikata selain dari tangisan mengiringi semangat perpaduan dalam UMNO.



Keikhlasan ini juga menampakkan perpaduan di kalangan pemimpin UMNO kembali bertaut. Ditambah dengan kehadiran Tun Dr. Mahathir Mohamad terus ke pentas menjunjung semangat permuafakan di dalam UMNO, menambah sebak di kalangan ahli-ahli UMNO.

Apa yang kami dari UMNO Cawangan Gombak Selatan,perpaduan ini akan terus utuh dan diteruskan. Sedih tanda kegembiraan. Ucapan JUTAAN TERIMA KASIH KEPADA PRESIDEN UMNO, DATUK SERI MOHD NAJIB TUN RAZAK kerana menjadi aspirasi pertemuan yang sungguh mengharukan ini. Semoga Allah memelihara perpaduan UMNO ini.


3/27/2009

VOTE EARTH - LINDUNGI BUMI DARI PEMANASAN HABA


SAMA-SAMA KITA LINDUNGI DUNIA DARI PEMANASAN HABA. ANDA HANYA PERLU MENUTUP LAMPU

PADA 28 MAC 2009 PUKUL 8.30-9.30 MALAM.
SAYANGI DUNIA ANDA.

Menangi Hati Rakyat Macam Pikat Bakal Isteri - Ucapan Perwakilan Wilayah, Datuk Shafei Abdullah

Wakil Wilayah Persekutuan mencadangkan Umno menggunakan cara seorang lelaki yang ingin memikat bakal isteri dalam usaha untuk memenangi semula keyakinan rakyat.

Ciri-ciri sentiasa mendampingi, mendekati, mengetahui minat dan mempamerkan sikap penyayang wajar digunakan oleh Umno, kata Datuk Shafei Abdullah.

"Bayangkan bagaimana kita nak memikat isteri kita sebelum kita kahwin dulu, kita tengok apa yang dia minat, kemudian kita akan menunjukkan bahawa kita penyayang, selalu berdamping...mendekati orang yang kita minati ini.


"Ini adalah asas macam mana kita harus mendekati rakyat," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden pada Perhimpunan Agung Umno di sini, Jumaat.

Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju ini juga berkata parti itu mempunyai cabaran yang besar dalam memenangi hati tiga golongan rakyat iaitu pengundi Melayu di bandar, golongan muda dan kaum Cina dan India.

"Ketiga-tiga golongan ini sudah mula kurang kepercayaan kepada kita dan apabila kita lemah kita lihat ramai orang Melayu dah mula bimbang dan kemungkinan besar kalau kita tak bersemangat semula mungkin Melayu dah takkan berani gantung bendera Umno," katanya.



Oleh itu, Shafei berkata pelbagai program yang tertumpu kepada segenap lapisan masyarakat harus diperbanyakkan bagi menangkis pandangan masyarakat kampung bahawa Umno adalah untuk golongan elit sahaja.

"Kita mesti merakyatkan Umno, kita tak boleh macam dulu kalau nak buat program tak peduli langsung rakyat bawahan. Sepatutnya program kita bukan hanya tertumpu kepada ahli cawangan tetapi harus tertumpu kepada seluruh masyarakat dalam cawangan itu.

"Perkara yang paling mudah, kalau di kampung pengaruhnya bermula di surau dan masjid, ajak ahli Umno buat program di surau...kalau tak dapat pergi hari-hari mungkin kita boleh pergi seminggu sekali," katanya.

Hadiah Untuk Isteri - Dr. Zahid Hamidi


Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kemenangan beliau sebagai Naib Presiden Umno merupakan hadiah kepada isterinya sempena ulang tahun perkahwinan ke-31 mereka, yang kebetulan jatuh pada hari pemilihan parti.


"Saya fikir tugas saya ialah untuk memperkuatkan parti, membantu Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri, dan bekerjasama dengan kawan-kawan naib presiden dan juga ahli-ahli Majlis Tertinggi (MT) untuk terus merelevankan parti, menjenamakan semula Umno dan merelevankan Umno ini dengan rakyat Malaysia keseluruhannya khususnya akar umbi di luar bandar," katanya ketika ditemui selepas pengumuman keputusan pemilihan parti, malam tadi.

Selain Ahmad Zahid, yang turut memenangi dua lagi jawatan naib presiden Umno ialah Menteri Pelajaran Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Ketika ditanya mengenai persiapan menghadapi pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang pada 7 April ini, Ahmad Zahid berkata:


"Kebetulan saya timbalan pengerusi perhubungan Umno Perak setakat ini, maka menjadi tanggungjawab saya untuk menentukan pilihan raya kecil di Bukit Gantang akan dimenangi semula oleh Barisan Nasional kerana kami telah meminjamkan kerusi itu kepada Allahyarham (Roslan Shahrom dari PAS) selama 11 bulan dan kini kami mahu mengambil semula kerusi itu," katanya.


Sementara itu, isteri Ahmad Zahid, Datin Seri Hamidah Khamis menyifatkan hadiah ulang tahun perkahwinannya tahun ini sebagai yang paling berharga untuk diri dan keluarga.

"Saya menerima kemenangan suami sebagai pertanggungjawaban Datuk untuk meneruskan kesinambungan Pak Lah (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi) dan meneruskan perjuangan parti demi agama, bangsa dan negara," katanya.

3/26/2009

Keputusan Jawatan Tertinggi - Gandingan Mantap Transformasi UMNO


UCAPAN TAHNIAH DARI
UMNO CAWANGAN GOMBAK SELATAN





TIMBALAN PR
ESIDEN UMNO


Tan Sri Muhyiddin Yassin Muhyiddin
(1575)


NAIB PRESIDEN UMNO


Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (1,592)


Datuk Seri Hishammuddin Hussein (1,515)



Datuk Mohamad Shafie Apdal (1,445)



AHLI MAJLIS TERTINGGI

1. DATUK MUSTAPA MOHAMED (2259 undi)

2. DATUK NOH OMAR (2084 undi)

3. DATUK SERI PANGLIMA MUSA AMAN (2084 undi)

4. DATUK AZIAN OSMAN (2060 undi)

5. DATUK ZAINAL ABIDIN OSMAN (2054 undi)

6. DATUK SERI MOHD ZIN MOHAMED (1854 undi)

7. DATUK SERI ISMAIL SABRI YAAKOB (1838 undi)

8. DATUK SERI PANGLIMA LAJIM UKIN (1804 undi)

9. DATUK SHAZIMAN ABU MANSOR (1705 undi)

10. DR MOHD PUAD ZARKASHI (1700 undi)

11. DATUK TAJUDDIN ABDUL RAHMAN (1685 undi)

12. DATUK HAJI IDRIS HJ HARON (1658 undi)

13. DATUK DR HAJI ABD LATIFF AHMAD (1624 undi)

14. DATUK SERI DR JAMALUDIN JARJIS (1622 undi)

15. DATUK SAIFUDDIN ABDULLAH (1619 undi)

16. DATUK DR NORRAESAH MOHAMAD (1611 undi)

17. DATUK SERI MAHDZIR KHALID (1584 undi)

18. DATUK AHMAD HUSNI MOHD HANADZLAH (1529 undi)

19. DATUK HAMZAH ZAINUDIN (1518 undi)

20. DATUK BUNG MOKTAR RADIN (1517 undi)

21. DATUK DR AWANG ADEK HUSSIN (1481 undi)

22. DATUK SERI ZULHASNAN RAFIQUE (1431 undi)

23. DATUK AHMAD SHABERY CHEEK(1377 undi)

24. DATUK SERI IDRIS JUSOH (1275 undi)

25. DATUK ABDUL AZEEZ ABDUL RAHIM (1265 undi)

Ucapan Perpisahan Pak Lah buat Ahli UMNO - Hati Gajah Sama Dilapah, Hati Kuman Sama Dicecah

Ketika saya memilih menyertai Umno empat puluh lima tahun lalu, saya mempunyai satu niat dan satu tekad, untuk menawarkan perkhidmatan kepada parti yang telah begitu berjasa kepada bangsa dan kepada negara saya.

Saya melihat Umno sebagai sebuah parti yang mendokong perjuangan yang suci serta memiliki idealisme yang murni.


Ketika mendaftar diri menjadi ahli Umno, saya tidak terfikir untuk mendapat faedah kebendaan, tidak juga mengharapkan sebarang imbuhan.

Semangat sedemikian bukan hanya terdapat pada diri saya, malah ia adalah satu norma di kalangan ribuan ahli yang seangkatan dengan saya yang menyertai Umno ketika itu.



Kami semua bertekad untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan bangsa dan berkhidmat untuk negara Malaysia tercinta ini.



Ketika merasmikan perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Umno pada tahun 1999 'Meneruskan Perjuangan, Memartabatkan Bangsa' telah saya jadikan tema ucapan ulung saya itu.


Hari ini generasi seangkatan dengan saya bukan sahaja sudah semakin kecil bilangannya, tetapi yang lebih membimbangkan semangat yang dimiliki oleh generasi seangkatan dengan saya, ketara semakin tipis di kalangan generasi semasa.


Semakin ramai yang menyertai Umno bukan kerana apa yang dapat mereka sumbangkan kepada Umno tetapi lebih mirip kepada apa yang bakal mereka harap untuk memperoleh.


Mereka mengharapkan jawatan, mereka mengharapkan projek, mereka mengharapkan gelaran, mereka mengharapkan kepuasan duniawi. Semangat berkorban, semangat berjuang, semangat berkhidmat untuk bangsa, untuk negara semakin tipis, semakin lemah.


Sedarilah! Di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika Umno, dan jika Barisan Nasional tidak berubah, maka pilihanraya ke-12 pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada Barisan Nasional menubuhkan kerajaan.

Selepas ini, rakyat di luar dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi.

Di peringkat negeri, Barisan Nasional turut menghadapi cabaran yang sama.



Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa "Umno wajib melakukan perubahan". Apa yang saya ingin dengar, adalah suara yang menyatakan "Aku akan berubah" lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri.


Betapa malangnya Umno jika ramai yang gagal memahami bahawa Umno itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, Umno tidak mungkin dapat berubah.


Umno kini berada di persimpangan jalan. Laluan yang kita pilih akan menentukan sama ada kita kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu.

Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan. Mereka mempercayai bahawa Umno akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama, kepada order lama, dengan menyekat kebebasan warga, dengan menghalang warga dari menyuarakan kritikan.



Mereka berpandangan bahawa Umno itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu, dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu.

Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia.


Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang. Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat Umno.

Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti Umno yang kita kasihi ini.

Jika kita terus bertanding begitu hebat, bermati-matian untuk merebut jawatan, tetapi apakah ertinya jawatan tersebut kepada Umno yang telah tinggal rangka yang terbujur di kuburan.

Barang dijauhkan Allah dari Umno menimpa nasib hiba yang sedemikian.



Atas kesedaran tersebut, atas rasa cinta kepada Umno, atas rasa tanggung jawab terhadap Umno dan bangsa Melayu, saya memilih untuk menunjukkan teladan, dengan tidak mempertahankan jawatan presiden parti, bertujuan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda walaupun masih terdapat ramai dari ahli-ahli parti dan rakan-rakan baik di dalam ataupun di luar kerajaan meminta saya untuk terus mempertahankan jawatan.

Saya menghargai keputusan rakan-rakan yang turut memilih langkah yang sama, baik di peringkat bahagian mahupun cawangan, baik di peringkat pemuda, wanita dan puteri - bahawa jawatan dan kedudukan bukannya milik peribadi; sedangkan harta milik peribadi juga tidak akan dapat dibawa sampai ke mati.


Untuk terus relevan, Umno perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang kita telah hilang dengan elemen baru yang harus kita terokai. Kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kita kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti.

Hidupkanlah kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan pamerkanlah integriti yang tinggi lagi dihormati.


Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul, yang merasakan diri kita sahaja yang pandai, jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu, demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita.

Di peringkat kerajaan, saya telah berusaha memperkenalkan beberapa mekanisme dalam hasrat memperkukuhkan instrumen pentadbiran yang lebih telus, cekap, adil dan berintegriti, di samping dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, mengembalikan integriti kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah ditubuhkan, Institut Integriti Nasional diwujudkan, PEMUDAH telah diperkenalkan, dalam usaha berterusan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan modal insan diutamakan dan Islam dibangunkan secara progresif melalui pendekatan Islam Hadhari.

Menyedari sumber baru kekayaan negara perlu diterokai dan agihan peluang ekonomi berkualiti secara lebih seimbang dan saksama dapat dilaksanakan, program pembangunan ekonomi secara wilayah telah diperkenalkan.

Di peringkat Umno, mungkin telah tiba masanya untuk parti diperkukuhkan dengan memperkenalkan peraturan dan tatacara yang membolehkan parti diurus tadbir dengan cara yang lebih berdisiplin dan terkawal.

Mungkin parti memerlukan mekanisme yang lebih memberikan kesaksamaan kepada ahli dan menggugurkan amalan-amalan yang tidak memberikan keadilan kepada majoriti ahli terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai jawatan dan tidak mempunyai kekayaan material.

Mungkin masanya telah sampai untuk Umno juga meletakkan syarat tempoh maksimum memegang jawatan di dalam parti. Mungkin Umno juga wajar memberikan hak memilih ketua terutama bagi jawatan-jawatan utama di dalam parti kepada semua ahli untuk mengatasi amalan politik wang.

Umno tidak harus lari dari tanggung jawab membela nasib bangsa Melayu dan bumiputera. Namun Umno, jangan sekali-kali mengamalkan fahaman ekstremis kaum, ekstremis agama.

Umno jangan sekali-kali mengamalkan diskriminasi hingga dianggap bersifat rasis kepada warga Malaysia yang bukan Melayu. Hak semua warga negara hendaklah senantiasa diberikan jaminan dan dihormati, dilindungi dan dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara.

Ketaatsetiaan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum harus dihargai dalam semangat perkongsian kuasa dan setia kawan, bersetuju menyuburkan semangat yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Berusahalah! Berusahalah! Berusahalah! Mencari titik pertemuan, menyemarakkan nilai persamaan. Jauhkanlah! Jauhkanlah! Jauhkanlah! Daripada mengungkit perbezaan dan membesarkan kelainan.

Saya amat menghargai peranan warga Malaysia membantu menjamin keamanan negara dan berusaha memakmurkan negara. Selama hampir 52 tahun kita merdeka, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan kita cekal bersatu menghadapi setiap cabaran hingga menjadikan negara kita sebagai negara merdeka yang berdaulat dan makmur.

Negara kini sedang menghadapi ancaman ekonomi yang paling menakutkan sejak kita mencapai kemerdekaan. Dunia sedang dilanda kemelut ekonomi yang amat dahsyat dan kerajaan sedang menghadapi tanggung jawab sangat berat untuk meringankan rakyat dari menghadapi kesusahan.

Selama lima tahun setengah menjadi perdana menteri, saya amat yakin akan potensi dan kekuatan yang kita miliki, begitu juga rahmat yang telah dilimpahkan oleh Ilahi kepada negara ini.

Kita mempunyai modal insan muda yang berpotensi besar untuk kita bangunkan menjadi produktif. Kita mempunyai daya tahan, kita memiliki daya kekuatan untuk menghadapi cabaran kegawatan ekonomi dunia yang sedang melanda asalkan kita terus bersatu dan memberi fokus menghadapi ancaman ekonomi ini.

Kita harus mengurangkan berpolitik, kita harus menghapuskan budaya suka bercakaran sesama sendiri; sebaliknya kita perlu tekun bekerja, menjadi lebih produktif dan menggabungkan kekuatan.

Sama-samalah kita insafi bahawa persoalan yang Umno hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti.

Ia amat bergantung kepada sikap setiap ahli dan peranan barisan kepimpinan yang akan terus memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.

Ahli-ahli Umno dan barisan kepimpinan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan sama ada perkembangan di hari muka berupaya terus mencerminkan kebanggaan tradisi kita.

Setiap dari kita sememangnya sedar bahawa pucuk kepimpinan Umno menentukan pucuk kepimpinan tanahair tercinta. Inilah keistimewaan serta beban tanggungjawab parti keramat kita, dengan izin Allah SWT.

Setiap dari kita sememangnya arif tentang ciri-ciri serta sifat-sifat mulia seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah yang wajib dipegangi oleh pemimpin-pemimpin kita.

Ingatlah! Bahawa undi seorang insan yang beriman dan bertakwa tidak boleh dijual-beli. Semoga pemilihan barisan kepimpinan parti pada kali ini berjalan dengan lancar dan mencerminkan aspirasi mereka yang kita wakili.

Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. As-Saff: 2-3.

Tanggungjawab saya sebagai presiden parti akan berakhir pada penghujung perhimpunan ini. Seterusnya tanggungjawab saya sebagai perdana menteri kepada warga dan negara yang saya cintai ini juga akan berakhir.