9/30/2009

ISA MASIH DIPERLUKAN, OLEH ITU JANGAN HAPUSKAN I.S.A - ISA SAMAD

Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad diumum sebagi calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang. Pengumuman dibuat oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin di hadapan kira-kira 10,000 penyokong dan rakyat di Bagan Pinang, Port Dickson kira-kira jam 5.25 petang Selasa.

Muhyiddin dalam ucapannya menegaskan BN memilih calonnya dengan meletakkan keutamaan terhadap kehendak dan harapan rakyat. Sambil bertanya siapa yang dikehendaki oleh penduduk Bagan Pinang sebagai calon mereka, ribuan yang hadir menjerit "Tan Sri Isa" dan serentak itu Muhyiddin terus mengumumkan nama Isa sebagai calon. Ribuan yang hadir bangun bersorak dan bertepuk tangan dengan pengumuman yang dibuat itu.

Sementara itu Isa dalam ucapan penerimaan pencalonannya secara berseloroh berkata,"nampaknya Isa masih diperlukan, dengan itu jangan hapuskan ISA" merujuk kepada singkatan AKta Keselamatan Dalam Negeri yang sama dengan namanya. Bercakap kepada wartawan selepas pengumuman itu Timbalan Perdana Menteri yakin BN telah membuat keputusan yang tepat apabila meletakkan Isa sebagai calon dan berharap pengundi akan terus memberi peluang kepada BN untuk terus menjadi wakil bagi rakyat di Bagan Pinang.

Katanya pemilihan Isa dibuat berdasarkan kehendak penduduk setempat. Menurut Muhyiddin keputusan itu dibuat selepas pucuk pimpinan membuat tinjauan yang cukup rapi sampai ke peringkat akar umbi di kalangan orang Melayu, Cina dan India di kawasan itu.

Mereka menyatakan sokongan kepada Isa kerana sudah lama mengenali tokoh yang mesra rakyat itu dan sudah tahu jasa yang beliau lontarkan untuk orang-orang di Port Dickson serta Negeri Sembilan, katanya.

"Di atas dasar populariti dan juga atas kehendak orang tempatan, sebab itu saya bertanya mereka sendiri dalam ucapan saya tadi, saya tidak buat keputusan sendiri dan mereka katakan Isa! Isa! Isa!, tiga kali disebut, baru saya umumkan kerana itu adalah kehendak daripada pengundi di sini," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata keputusan itu telah berpihak kepada pengundi kerana ia merupakan satu pilihan raya kecil dan senarionya tidak sama dengan pilihan raya umum. "Walaupun mungkin dalam sejarah politik beliau (ada masalah), macam saya juga ada sejarah dan masalah, tapi rakyat tempatan, pengundi yang mengenali hati dan nurani beliau yakin beliau mampu," katanya.

Muhyiddin berkata beliau tahu pembangkang akan gunakan pelbagai isu terutama yang berkait rapat dengan isu politik wang Isa dahulu untuk menjatuhkan pemimpin itu.

Beliau melihat pilihan raya kecil itu merupakan peluang untuk kerajaan BN menjelaskan dasar-dasarnya, kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, gagasan 1Malaysia, usaha memulih ekonomi yang sedang berjalan di samping menerangkan keadaan masalah di peringkat tempatan dan nasional.

Najib yang kebetulan menghadiri majlis Hari Raya dengan angkatan tentera di kem Port Dickson pada awal petang telah singgah sebentar menyertai majlis itu sebelum berlepas pulang. Isa, 59, pernah berkhidmat sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan selama 22 tahun dari April 1982 hingga Mac 2004.

Beliau juga merupakan bekas Menteri Wilayah Persekutuan dan bekas Naib Presiden UMNO. Dilahirkan di Melaka pada 14 Nov, 1949, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Bagan Pinang, Port Dickson sebelum melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Alam Shah, Kuala Lumpur.

Isa menyandang kerusi DUN Linggi sejak 1978 sehinggalah pada tahun 2004 apabila beliau beralih bertanding kerusi Parlimen Jempol dan kemudiannya dilantik sebagai Menteri Wilayah Persekutuan, jawatan kerajaan terakhir yang beliau sandang sebelum metelakkan jawatan pada tahun 2005.

Pengalaman beliau dalam parti juga menarik, khususnya dalam cubaan bertanding jawatan-jawatan penting di peringkat pusat. Pada tahun 1993, Isa mencuba nasib bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno tetapi tewas kepada Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan pada tahun berikutnya beliau mencuba nasib pula bertanding jawatan naib presiden Umno tetapi tewas juga.

Isa akhirnya memenangi jawatan Naib Presiden Umno bagi penggal 2004-2007 dengan memperoleh 1,507 undi, iaitu undi tertinggi mengatasi Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1,329 undi) dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri ketika itu Tan Sri Muhyiddin Yassin (1,234 undi).

Bagaimanapun jawatan itu tidak dapat bertahan lama apabila keahliannya digantung selama tiga tahun (24 Jun 2005 hingga 23 Jun 2008) setelah beliau didapati bersalah terhadap dakwaan amalan politik wang dalam Perhimpunan Agung UMNO 2004.

Beliau pada asalnya digantung keahlian selama enam tahun oleh Lembaga Disiplin Umno kerana kesalahan itu tetapi tempoh hukuman itu dikurangkan separuh oleh Majlis Tertinggi UMNO setelah beliau membuat rayuan.

Berikutan itu semua jawatannya dalam parti, termasuk sebagai ketua Umno bahagian Teluk Kemang digantung. Selepas digantung keahlian, Mohd Isa telah meletakkan jawatan sebagai Menteri Wilayah Persekutuan pada 17 Okt 2005.


1 ulasan:

Jumayatara berkata...

UMNO dulu, kini dan selama-lamanya.

Aku setuju dengan Jeffry budak bingai ni...

Rasuah bukan jadi isu bagi pengundi Bagan Pinang. Jasa Isa di Teluk Kemang menjadi faktor kemenangan Isa. Isu rasuah hanya kecoh bagi orang luar bukan penduduk tempatan.

Dengan pengalaman rasuah Isa dan 5000 undi pos, ISa akan menang bergaya.

Tanpa rasuah UMNO dah lama jadi sejarah.