6/02/2010

ISRAEL TERUS ZALIM - 12 SUKARELAWAN MALAYSIA TERSELAMAT.





Semua 12 rakyat Malaysia dari Kapal Mavi Marmara yang ditahan Israel sudah dibebaskan pagi Rabu waktu Malaysia. Mereka dibawa menaiki bas melintasi Jambatan Allenby di Tebing Barat masuk ke sempadan Jordan.

Duta Malaysia ke Jordan Datuk Abdul Malek Aziz menyambut ketibaan mereka di situ. Wartawan Astro Awani,Ashwad Ismail telah membuat laporan lintas langsung menceritakan pembebasannya dari lokasi itu menerusi Awani Global pada jam 12.15 tengahari.

Antara lain kata Ashwad semasa serangan Israel keatas Mavi Marmara dua anggota misi rakyat Turki dekatnya telah terkena tembakan dan dia sempat menyelamatkan diri. Mereka kemudiannya di bawa melalui jalan darat ke ibunegara Jordan, Amman.

Ketika ditanya pengalaman sepanjang insiden itu, Ashwad berkata layanan yang diterima dalam tempoh 28 jam itu mengambarkan konflik enam dekad yang dialami oleh rakyat Palestin yang tertindas.

Katanya kejadian itu bermula apabila tentera Israel mengepung kapal mereka ketika ia berada kira-kira 68 batu di luar perairan Israel pada pukul 4.20 pagi. "Tentera Israel mengepung kami dari semua pelosok... mereka menggunakan 19 bot, lapan kapal laut dan tiga helikopter," katanya.

Menurut beliau, tentera Israel menggunakan peluru hidup ketika menyerang kapal itu dan berdepan dengan sukarelawan yang hanya menggunakan peralatan bukan senjata, seperti air dari pili bomba.

"Kami diserang bertubi bertubi oleh komando yang naik ke atas kapal. Saya dan Samsul (jurukamera) terselamat tetapi dua sukarelawan yang berada di tepi kami terkena tembakan di tangan dan bahu," katanya.

"Kami kemudian lari ke kawasan lebih selamat... kami lihat ada sukarelawan yang berlumuran darah...ini pengalaman memeritkan yang berjaya membuka mata dunia apa yang berlaku. Tak sangka Israel bertindak demikian... kami hanya orang awam," tambah beliau.

Ditanya keadaan Samsulkamal Abdul Latip, Ashwad berkata beliau selamat tetapi kedua-dua mereka terpisah selepas mereka ditahan dan digari oleh tentera Israel, dan hanya ditemukan selepas dibebaskan di sempadan Israel-Jordan.

Sementara itu Bernama melaporkan Abdul Malek berkata Kementerian Luar Malaysia dan pihak kedutaan akan menyediakan semua persiapan bagi memudahkan sukarelawan itu pulang ke Malaysia.

Salah seorang daripada mereka, Noor Azman Muhamad Samsuddin, memberitahu Bernama melalui telefon, serangan yang dilakukan pada awal pagi oleh tentera komando Israel adalah pengalaman yang mengerikan.

Katanya sebahagian besar penumpang kapal yang membawa bantuan kemanusiaan untuk penduduk Gaza, yang telah disekat Israel sepanjang tiga tahun yang lepas, tidak menyangka akan menerima tentangan dari tentera Israel sewaktu insiden maut tersebut.

Dilaporkan sekurang-kurangnya 10 orang maut dalam serangan itu, menyebabkan Israel dikutuk di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

Menurut Noor Azman, dua sukarelawan Indonesia juga tercedera dalam serangan tersebut. Sementara itu di Alor Star ,Ibu Ashwad , Wan Marfuzah Wan Ismail, 53, berkata beliau sekeluarga bersyukur dengan perkembangan terkini anak tunggalnya itu dan berharap Ashwad dapat pulang dengan selamat.

"Kira-kira pukul 11.30 pagi, Ashwad menelefon saya sebanyak dua kali untuk memberitahu dia selamat dan dia turut bertanya khabar keadaan keluarga di sini. Sukar digambarkan perasaan saya selepas mendengar suara Ashwad yang memberitahu dia selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya Rabu.

Katanya beliau mengetahui tentang pembebasan anaknya itu kira-kira pukul 11 pagi ini melalui saluran berita Al-Jazeera.

Wan Marfuzah berkata beliau tidak dapat menggambarkan perasaannya sekeluarga selepas mengetahui Ashwad selamat dan hanya doa sahaja mengiringi anaknya untuk kembali ke Malaysia.

"Walaupun Ashwad selamat, tetapi saya sekeluarga tetap tidak akan putus berdoa dan melakukan solat hajat supaya dipermudahkan perjalanan pulang ke tanah air. Selagi saya tidak melihat sendiri wajah anak saya di depan mata, selagi itu hati saya tidak tenang," katanya.

Sementara itu, bapa Ashwad, Ismail Yaakob, 55, berkata beliau tidak akan menghalang anaknya meneruskan kerjaya sebagai wartawan berikutan pengalaman yang menakutkan itu kerana itu adalah minat Ashwad sejak dari kecil.

"Kami sekeluarga akan sentiasa menyokong cita-citanya dan berharap dia akan berjaya," katanya.


Tiada ulasan: