3/25/2009

Pemilihan Kali Ini Adalah Pertaruhkan Survival UMNO – Najib


Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak mengingatkan para perwakilan ketiga-tiga sayap parti itu bahawa tugas mereka tahun ini adalah "yang paling berat dalam sejarah" UMNO.

Dalam ucapannya ketika merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO di Dewan Merdeka di sini, Selasa malam beliau berkata yang dipertaruhkan sebenarnya ialah survival UMNO itu sendiri.

"Keputusan yang bakal kita ambil sepanjang persidangan ini akan menentukan masa depan parti sama ada akan terus mencipta dan melakar sejarah ataupun menjadi sebahagian daripada lipatan sejarah", katanya.

Tetapi, menurut beliau, UMNO masih disayangi oleh orang-orang Melayu dan sebab itulah mereka mengundi untuk mengekalkan UMNO sebagai parti terbesar dengan kerusi terbanyak di Dewan Rakyat walaupun dinafikan majoriti dua pertiga.

"Oleh sebab itu, Umno wajib mengambil iktibar yang betul dari mesej yang disampaikan oleh orang Melayu. Jika tidak, perasaan sayang tapi marah ini akan bertukar menjadi benci dan terus tidak peduli", ujarnya.

Menyingkap sejarah perjuangan UMNO, beliau berkata UMNO ternyata mampu mengubah kesengsaraan menjadi harapan.

Katanya, telah terbukti juga UMNO adalah parti yang berupaya membina satu bangsa bermaruah dan dihormati di seantero dunia.

"Parti inilah yang telah berjasa mengangkat rakyat Malaysia daripada kekangan kemiskinan kepada kelas hidup menengah dalam satu generasi sahaja.

"Hakikatnya, UMNO parti keramat ini telah sentiasa menjadi Nakhoda Zaman," katanya.

Beliau juga mengingatkan anggota UMNO supaya berpijak di bumi nyata kerana lanskap politik negara telah berubah sama sekali.

"Kita tidak boleh terus bernostalgia dengan kejayaan lampau tanpa mencipta kejayaan-kejayaan baru. Sebagai parti siasah yang ingin kekal relevan selari dengan tuntutan zaman. kita tidak boleh hidup dengan hanya bertunjangkan jasa-jasa semalam.

"UMNO juga tidak boleh dilihat sebagai parti yang anti idea baru, anti cerdik pandai atau parti yang tidak mesra dengan orang muda, kerana parti itu bertanggungjawab meningkatkan akses pendidikan, terutamanya pendidikan tinggi kepada mereka", ujarnya.

Beliau berkata pada masa ini 38 peratus kumpulan umur 17 hingga 23 tahun berpeluang mendapat pendidikan tinggi dan ia dijangka meningkat kepada 40 peratus menjelang tahun 2010 dan 50 peratus pada 2020.

"Janganlah kita biarkan hasil semaian UMNO ini terlepas ke tangan pihak lain. Sebolehnya kita perlu menawan imaginasi golongan ini dengan memastikan arah tuju parti seiring dan sejalan dengan aspirasi mereka", katanya.

Beliau turut meminta para perwakilan yang akan terlibat dalam pemilihan kepimpinan parti pada Khamis ini supaya memilih satu pasukan pimpinan yang ampuh dan padu.

"Bariskanlah kepada saya satu pasukan yang setia, berintegriti, berkebolehan dan berdedikasi," katanya.

Beliau berkata UMNO memerlukan barisan pimpinan yang berupaya lagi mengupayakan; pemimpin yang berani berubah dan sanggup menerima perubahan; yang berani menegur dan terbuka pula menerima teguran.

UMNO, kata Najib, harus berhenti daripada dikaitkan dengan politik wang dan sebarang amalan siasah yang tidak sihat.

"UMNO dan mana-mana juga parti atau organisasi akan hancur jika pemimpin dan ahlinya dibelenggu politik wang.

"Pemimpin berkualiti tetapi tidak memberi rasuah akan terpinggir. Parti akan diterajui pula oleh golongan yang akan terus mengamalkan budaya itu dalam kepimpinan," katanya.

1 ulasan:

PemudaBukitBintang berkata...

Assalamualaikum..

Tahniah diucapkan kepada blogger UMNO Cawangan Gombak Selatan.

Buat Ketua Cawangan, anda seorg pemimpin yang telus dan bertanggungjwab. Kami sentiasa menyokong anda.

Dan buat Ketua Penerangan UMNO Cawangan, anda beruntung bekerja di bwh En. Razak. Teruskan usaha anda. Syabas....

Sampaikan salam saya juga kepada Ketua Pemuda, Wanita dan Puteri cwgn anda.

HIDUP UMNO...