6/29/2009

PRK Manik Urai - TUAN AZIZ OBOR PERPADUAN

Ketua Pemuda UMNO Bahagian Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat,39 akan menjadi calon Barisan Nasional untuk berentap dengan calon PAS Mohd Fauzi Abdullah dalam pilihanraya kecil DUN Manek Urai.

Nama beliau diumumkan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam majlis di Kampung Sok Luar Manek Urai petang Ahad.

Timbalan Perdana Menteri memberitahu pemilihan Tuan Aziz direstui dan mendapat sokongan padu pimpinan parti termasuk Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak dan juga semua peringkat UMNO selain diterima baik anggota akar umbi.

"Kita beri peluang semua untuk kemuka pandangan. Susahnya kita di Manek Urai ini (untuk pilih calon), kerana ada ramai tokoh yang layak. Bagaimanapun, kita timbang secara halus, kita letakkan calon yang diterima pengundi," katanya.

Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.

Turut hadir, Setiausaha Agung parti Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan yang juga Pengarah Pilihan Raya Kecil Manek Urai Datuk Mustapa Mohamed, Ketua Wanita Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil, Ketua Puteri Datuk Rosnah Rashid Shirlin, pimpinan Umno dan parti komponen tempatan.

Muhyiddin berkata seluruh pimpinan parti yakin Tuan Aziz dan jentera pilihan raya yang diketuai Mustapa, dapat menebus kekalahan BN di kerusi itu pada pilihan raya Umum 8 Mac tahun lalu.

"Calon kita nak bela umat Islam dan bawa obor perpaduan. Beliau seorang yang berpengalaman, ada rekod kerja yang baik di sini."

"Penting untuk pilih calon yang berilmu kerana dialah yang nak bimbing masyarakat di sini, tak ada ilmu bahaya kerana mungkin dia terseleweng," katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata mungkin ramai yang memandang sinis jika BN menang di Manek Urai kerana wakil rakyat BN hanyalah pembangkang dalam DUN Kelantan malahan ia langsung tidak akan menjejaskan struktur kerajaan negeri yang dipimpin PAS.

Namun, tegas beliau, wakil rakyat BN di Kelantan disokong oleh kerajaan Pusat." Dia calon BN. Saya sendiri akan bantu jadikan Manek Urai simbol kebangkitan semula UMNO dan BN. Dalam masa yang sama, kita akan lihat bagaimana kawasan ini boleh dimajukan," katanya.

Katanya sejak dari awal penubuhannya, BN yang ditunjangi UMNO terbukti mampu membela nasib rakyat seluruh negara dan tradisi itu akan tetap diteruskan.

"Kita akan teruskan perjuangan pemimpin terdahulu, untuk bangunkan negara dengan dasar yang jelas, iaitu setiap lapisan masyarakat mendapat pembelaan adil dan saksama.

Bercakap kepada para wartawan kemudian Muhyiddin menafikan dakwaan yang disebarkan oleh PAS kononnya berlaku "cah keting" atau cantas mencantas dalam proses pemilihan calon BN.

"Itu anggapan PAS sahaja berlakunya cah keting dan ia tidak pernah berlaku dalam pemilihan sebaliknya calon ini mendapat sokongan semua pihak.

"Tuan Aziz ini bukan sahaja mampu menarik sokongan golongan muda tetapi berdasarkan sokongan yang diterima, kita yakin semua golongan akan menerimanya dengan baik," katanya. Tuan Aziz pula ketika ditemui berjanji akan membantu membangunkan Manek Urai jika dipilih pengundi untuk mewakili kawasan itu.

Anak kelahiran Kuala Krai dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Teknologi daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata beliau yang dibesarkan di Kuala Krai memahami kehendak penduduk di situ yang mahu sesuatu dilakukan bagi membangun kawasan tersebut.

Beliau yang bertugas sebagai Pengurus Pemantauan dan Penyelarasan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) itu mahu memanfaatkan pengalamannya yang pernah bekerja di sektor swasta dan kerajaan untuk tujuan tersebut.

"Saya sudah biasa dengan permasalahan rakyat di sini dan amanah untuk mewakili BN akan dilakukan dengan bersungguh-sungguh," katanya.

Tiada ulasan: