9/17/2009

16 SEPTEMBER BERLALU LAGI - ANWAR, APA CERITA BARU?

Berbalik soal arena politik kita. Bagi rakyat negara ini yang mengingati sejarah, 16 September adalah tarikh penubuhan Malaysia. Pada tarikh itu dalam tahun 1963, Sabah dan Sarawak mencapai kemerdekaan, kemudian bersama Singapura bergabung dengan Persekutuan Tanah Melayu membentuk Malaysia.

Penubuhan Malaysia menerima tentangan hebat daripada Indonesia di bawah Presiden Sukarno yang melancarkan konfrantasi dengan slogan ‘Ganyang Malaysia’. Perjanjian penubuhan Malaysia ditandatangani di London pada 9 Julai 1963 tetapi disiytihar secara rasmi pada 16 September 1963 oleh Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman.

Namun, bagi rakyat negara ini yang mengingati sejarah politik tanahair, 16 September khususnya pada tahun 2008 akan diingati sebagai tarikh bagaimana Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjanjikan kerajaan baru pimpinannya di Putrajaya.

Semuanya bermula dengan perletakan jawatan isteri beliau, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail sebagai Ahli Parlimen Permatang Pauh bagi memberi laluan kepada Anwar bertanding di kerusi tersebut. Ketika kempen pilihanraya kecil itu, poster-poster membayangkan perjalanan Anwar ke Putrajaya antara menarik perhatian ramai bahkan ianya juga antara faktor membantu kemenangan Anwar pada 26 Ogos 2008.

Malah, Anwar menyifatkan kemenangan beliau adalah kemenangan rakyat yang mahukan perubahan di negara ini. Penasihat PKR itu berkata, ia isyarat jelas rakyat bukan saja di Permatang Pauh malah seluruh negara mahu kerajaan membuat perubahan dengan mengutamakan kepentingan rakyat terutama dalam bidang ekonomi.

Beliau juga memuji Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang berjaya memastikan proses pilihan raya berjalan lancar padahal kebelakangan ini SPR sentiasa jadi bahan kritikan dan bertugas di bawah tekanan pembangkang yang menuduh suruhanjaya itu menyebelahi kerajaan Barisan Nasional (BN).

Dengan nyanyian untuk menawan Putrajaya yang didendangkan ketika kempen pilihanraya kecil itu, irama itu diteruskan dengan cerita kononnya 30 ahli parlimen BN termasuk dari Sabah dan Sarawak akan ‘lompat’ sertai pembangkang bagi menjamin mimpi Anwar jadi nyata. Pasti masih ada yang ingat bagaimanan ahli parlimen BN yang membuat lawatan sambil belajar ke Taiwan sebelum tarikh 16 September diburu oleh beberapa pemimpin pembangkang.

Bagaimanapun, segala usaha memujuk dan ada juga dakwaan untuk membeli wakil rakyat BN tidak berjaya hinggalah tanggal 16 September 2008 berlalu dengan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi masih Perdana Menteri ketika itu.

Bagi menutup kekecewaannya, Anwar mendakwa wakil-wakil rakyat yang dikatakan sudah bersedia menyertai pembangkang diugut supaya tidak menyertai pembangkang. Peliknya sebelum itu, apabila wartawan meminta Anwar memberikan angka dan menamakan siapa ahli parlimen BN yang sudah setuju ‘lompat parti’, Ketua Pembangkang itu hanya membisu.

Sejak itu, pelan 16 September Anwar untuk menawan Putrajaya melalui pintu belakang menjadi bahan lelucon banyak pihak malah kencaman dan tempelak media. Selepas itu Anwar masih menabur janji dengan memberikan tarikh selepas Hari Raya Aidiladha menyebabkan sekali lagi rakyat yang menerima perjuangan bekas penghuni Penjara Sungai Buloh itu ternanti-nanti saat tersebut.

Namun, semua itu tidak juga menjadi kenyataan dan yang jelas rakyat negara ini bahkan seluruh dunia yang mengikuti perkembangan politik Malaysia yang sentiasa bergelora selepas pilihan raya umum ke 12 pada Mac 2008 tertipu lagi.

Malah, rakan-rakan beliau terutama dari PAS sendiri awal-awal lagi tidak yakin cita-cita Anwar itu kesampaian. Setiausaha Agung PAS Datuk Mustapha Ali mungkin tersenyum sendirian sambil terbayang wajah selamba Anwar mengenangkan apa yang pernah dikatanya mengenai gempak 16 September itu tepat sekali.

Kini pada Rabu, 16 Spetember 2009, ramai rakyat negara ini yang menyokong mahupun menentang perjuangan politik Anwar yang ‘semuanya pembangkang betul’ akan memperingati tarikh itu sebagai genap setahun pembohongan Anwar Ibrahim.

Sifat terlalu yakin Anwar mengenai pelan 16 September serta laluan ke Putrajaya nyata memakan diri. Bagaimanapun, bagi manusia yang juga dikenali Pak Sheikh ini, semua sandiwara ini bukan sesuatu yang pelik bagi beliau.

Cuma kini disebalik ulangtahun pertama pembohongan 16 Septembernya itu, ada rakyat negara ini masih tertanya-tanya kenapa beliau tidak berani melakukan sumpah laknat atau sumpah depan al-Quran dalam kes dakwaan beliau meliwat pembantunya, Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Dan disebalik ulangtahun pertama pembohongannya itu juga, ada rakyat negara ini yang masih tertanya-tanya kenapa beliau melalui peguam-peguamnya yang tersohor cuba mengelak kes itu dibicarakan di mahkamah.

Kata orang berani kerana benar... justice delayed is justice denied.

Apapun, selamat ulangtahun pembohongan 16 September. Barangakali Anwar yang dijadualkan berceramah di Kampung Seri Rusa, Batu 4, Jalan Pantai, Port Dickson malam ini tentu ada janji baru hendak ditawarkan kepada rakyat khususnya pengundi pilihanraya kecil Bagan Pinang.


2 ulasan:

YANG GAMBI berkata...

Salam,

Selamat Hari Raya ‘Idil Fitri, maaf zahir batin.

Tanpa Nama berkata...

16 september merupakan target untuk mencapai kejayaan.Tidak salah jika ada target...macam anak kita nak hadapi exam...mesti ada target...soal dapat ke tidak bukan persoalanya....yang penting kita mesti target dan peralihan kuasa mesti melalui demokasi dan bukan rapas kuasa...tak comel dan tidak gentleman.