12/06/2009

TIADA ROMBAKAN KABINET - PERUBAHAN HANYA PADA JAWATAN TIMBALAN2 MENTERI

Khabar angin mengatakan kononnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan rombakan kabinet buat kali kedua pada akhir tahun ini bukan cerita baru. Ia sudah berlegar hampir dua bulan lalu.

Malah ada yang membawa mulut dengan nada cukup meyakinkan kata menteri itu dan menteri ini akan gugur dan si polan itu dan si polan ini bakal dilantik. Ia dikaitkan dengan KPI prestasi para menteri dan berbagai faktor politik lain.

Mungkin ada yang merasa tidak sedap badan bila nama mereka dikaitkan dengan desas desus itu khususnya yang dikatakan nak digugurkan boleh menarik nafas lega mendengar kata-kata Perdana Menteri Sabtu.

Menjawab soalan wartawan mengenainya selepas menyampaikan hadiah pada Kejohanan Badminton sempena Program Tahunan Isteri Wakil-wakil Rakyat Barisan Nasional (BN) di Seremban,Najib menafikan bahawa beliau akan buat rombakan kabinet.

Katanya, kabinet yang ada kini masih baru dan hanya berusia tujuh bulan sejak beliau dilantik menjadi Perdana Menteri. "Kalau kita buat rombakan terlalu kerap ia akan menjejaskan kemampuan menteri-menteri untuk menjalankan kerja sebab pertukaran yang melibatkan tempoh masa yang pendek ini boleh mengganggu kelicinan pentadbiran kerajaan," katanya.Menurut Perdana Menteri beliau belum fikir lagi tentang rombakan kabinet. “Rombakan kabinet boleh dilakukan pada bila-bila masa tetapi pada masa sekarang tidak perlu kerana kabinet sekarang ini baru sahaja dibentuk," katanya.

Najib bagaimanapun memberi gambaran bahawa akan berlaku sedikit perubahan di kalangan Timbalan-timbalan menteri dalam kabinetnya. "Dalam pada itu ada juga beberapa perkara di peringkat timbalan menteri yang saya perlu lihat secara detail lagi," katanya.

Beliau tidak mengulas lebih lanjut mengenai perkara itu tetapi Datuk Seri Sulaiman Abdul Rahman Abdul Taib dilaporkan telah menyatakan hasrat beliau kepada Perdana Menteri untuk meletakkan jawatan sebagai Timbalan Menteri Pelancongan.

Najib berkata walaupun rombakan kabinet merupakan kuasa mutlak seorang Perdana Menteri tetapi ia bukan boleh dibuat sesuka hati. Sebarang rombakan yang dibuat adalah untuk kebaikan dan penambahbaikan kepada pentadbiran sesebuah kerajaan, kata beliau.

Jika ada pun, adalah tidak elok untuk beliau memberi tempoh masa atau sebarang petanda mengenai sebarang rombakan tetapi ia tidak mungkin berlaku dalam tempoh terdekat ini.


Tiada ulasan: