
Reaksi pertama…wow banyaknya duit PAS. Isu besar di sini bukan peruntukan itu tetapi dari langit mana wang itu melimpah turun. Bagi sebuah parti yang mahu mempamerkan dirinya lebih Islam dari orang lain - jika betul - bab duit peruntukan politik begini bukan senang untuk dijawab.
Makanya, tidak hairanlah apabila awal-awal lagi Setiausaha Akhbar Menteri Besar Kelantan Ahmad Fadhli Shaari cuba merobek kredibiliti Syed Azidi dengan menuduhnya sebagai orang yang kecewa – satu langkah biasa dalam politik untuk menghilangkan keyakinan orangramai pada dakwaannya.
Sebaliknya, tugas hariannya bukan sangat dengan PMBK. Beliau lapor diri pada Datuk Husam Musa, Exco Kerajaan Negeri Kelantan. Ringkas cakap gajinya dibayar PMBK tetapi bekerja dengan Husam.
Syed Azidi yang sebelumnya ahli Blogger United dan menetap di Kuala Lumpur telah berpindah ke Kota Bharu selepas diambil bekerja oleh Husam. Bukanlah rumit untuk selidik bab ini. Cuba singkap balik arkib tulisan di laman blog Kickdefella sebelum dan sesudah pilihanraya umum Mac 2008 yang banyak mengenai Husam.
Juga dulunya di mana ada Husam di situ ada Syed Azidi .Untuk rekod sehari selepas rasmi dipecat dari PMBK Syed Azidi masih kelihatan bersama Husam yang datang ke bangunan Parlimen di Kuala Lumpur.
Malah, Syed Azidi sendiri pernah secara terbuka memberitahu beliau memang ditugaskan dengan Husam walaupun rasminya bertugas di PMBK.Pendedahan ini dibuatnya semasa kehangatan isu dia dipecat dari PMBK.

Syed Azidi telah bertukar menjadi senjata makan tuan apabila dia mula mempertikaikan corak pengurusan Ariffahmi sebelum dipecat.
Dari seorang sebelum itu pengkagum Nik Aziz ,isu Ariffahmi telah membuatkan keyakinannya pada kehebatan Tok Guru itu terus luntur. Cubaan Ahmad Fadhli Shaari untuk memperlekeh dan menafikan sumbangan Syed Azidi memang kerja cari nahas.
Sebagai orang yang duduk dalam pengurusan PMBK dan ke hulu ke hilir bersama Husam yang diketahui jeneral politik kesayangan Nik Aziz – siapa yang boleh nafi Syed Azidi tahu banyak perkara?
Bukankah kejatuhan Ariffahmi sebagai CEO PMBK,sekalipun cuba dipertahankan habis-habisan oleh Nik Aziz hasil buah tangan pendedahan demi pendedahan mengenai pengurusan yang mencurigakan dalam PMBK yang dibuatnya dalam laman Kickdefella.
Nik Aziz akhirnya terpaksa tunduk meminta menantunya melepaskan jawatan ‘ atas nasihat’ rombongan pimpinan PAS Pusat diketuai oleh Datuk Seri Haji Awang yang menemui Menteri Besar Kelantan itu di pejabatnya.
Setelah melalui fiasco itu, Musyridul Am PAS itu masih tidak mahu mengaku kelemahannya. Beliau mengambil jalan mudah apabila baru-baru ini mendakwa Syed Azidi terlalu obses untuk menjatuhkannya. Ini sebagai reaksi setelah laman Kickdefella membuat dakwaan mengenai pemberian banyak konsesi balak kepada seorang yang didakwa rapat dengan Nik Aziz.
Laman itu juga menyiarkan sebilangan dokumen untuk menunjukkan bagaimana ia kemudiannya di ‘ alibabakan’. Kini semua orang sedang menanti bila Syed Azidi akan meletupkan bom dengan mendedahkan dari mana sumber wang RM4 juta itu muncul.

Dari bunyi cakap Syed Azidi andaian awal boleh dibuat pasti ada orang yang sedang kepanasan pada kemungkinan dia buka mulut. Sanggupkah pimpinan PAS Kelantan mahupun Pusat tampil ke depan untuk cover Ahmad Fadhli Shaari lebih-lebih lagi pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia sudah mula ambil keterangan mengenai dakwaan itu.
Setakat ini bekas bos politik Syed Azidi yakni Husam baru tampil bersuara menerusi laman blognya.Beliau mendakwa PAS atau mana-mana individu tidak perlu mengeluarkan peruntukan sampai RM4 juta bagi menjatuhkan bekas Perdana Menteri itu.
Apapun isu di depan mata sekarang dakwaan itu sudah dibuat secara terbuka. Begitu juga halnya dengan cabaran Ahmad Fadhil Shaari dan cakap Husam macam peruntukan itu tidak pernah wujud.
Samada RM1 apalagi RM4 juta – jumlahnya tidak penting tetapi jika betul ia terbukti datang dari sumber yang ‘mencurigakan’ baik Ahmad Fadhil Shaari mahupun Husam kena perah otak segera bagaimana nak cover Nik Aziz yang dakwa Syed Azidi ‘ sudah mabuk dan cakap mengarut’.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan