3/15/2009

Kerajaan Campuran BN dan PR - Sejauh mana keikhlasan mereka

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mencadangkan agar diwujudkan sebuah kerajaan campuran antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat. Namun cadangan ini telah ditentang oleh De Facto PAS yang juga Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat manakala Setiausaha Agung DAP meminta penjelasan terperinci mengenai bentuk kerajaan campuran seperti yang dinyatakan oleh bekas Menteri Besar Terengganu itu.



Yang menjadi persoalan, sejauh mana keikhlasan mereka dalam menyatakan hasrat bekerjasama dengan kita? Adakah PR telah mengadakan mesyuarat khas mengenai perkara ini? Adakah DAP dan PKR bersetuju? Kami tidak rasa Anwar Ibrahim akan bersetuju dengan cadangan tersebut. Kami bagi pihak UMNO juga tidak mempercayai lagi sang manusia bernama Anwar Ibrahim.


Sebenarnya, PAS boleh lagi dibawa berbincang untuk merealisasikan cadangan Presiden parti tersebut. Cuma perlu ada satu keputusan mutlak dari semua peringkat parti sebelum ia menjadi satu kenyataan. Tapi satu perkara yang menghairankan kami, kenapa baru sekarang Presiden PAS menyatakan hasrat tersebut? Bukan sekadar kerjasama malah kerajaan campuran. Apa sebenarnya yang berlaku sehinggakan beliau sanggup mengeluarkan kenyataan tersebut tanpa berbincang dengan pimpinan Pakatan Rakyat?

Adakah Ustaz Hadi kecewa kerana PAS seolah-olah dianaktirikan oleh PR dan perjuangan PAS untuk merealisasikan slogan 'Islam' mereka semakin pupus sejak bersama PR?


Bagi kami dari UMNO Cawangan Gombak Selatan,kita tiada sebarang masalah untuk bekerjasama dengan Pakatan Rakyat (PR). Malah pemimpin-pemimpin kita boleh duduk semeja dengan mereka berbincang dan bermusyawarah mengenai hal-hal berkaitan masa depan Malaysia. Tetapi, biarlah perkara ini dapat dilaksanakan dengan hati yang penuh ikhlas. Jangan ia sekadar slogan untuk meraih populariti parti anda. Jangan pula ia sekadar menjadi slogan seperti slogan anda untuk melaksanakan hudud tetapi tak juga berjaya.


UMNO SUDAH HILANG KEYAKINAN TERHADAP
SANG MANUSIA BERNAMA ANWAR IBRAHIM


Bukan untuk menyakitkan hati penyokong PR. Perkara ini perlu dibincangkan secara lebih serius. Kita tidak mahu ditipu dengan muslihat PR. Anwar Ibrahim misalnya secara terang-terangan mempunyai agenda tersendiri untuk mencapai cita-cita beliau menjadi Perdana Menteri, dengan cara apa sekalipun. Beliaulah yang menyalakan api semarak sehinggakan penyokong-penyokong beliau bertindak di luar kawalan dan mengancam keselamatan negara. Dendam beliau terhadap UMNO tidak pernah padam. Kita kenal Anwar Ibrahim kerana beliau pernah bersama UMNO. Oleh itu, bagaimana kerjasama ini hendak direalisasikan?

Ustaz Hadi, jika benar anda ikhlas, nyatakanlah pendirian anda dan tunjukkan keikhlasan anda.


2 ulasan:

Jeffry berkata...

ASSALAMUALAIKUM UCGS

MEMANDANGKAN PELBAGAI PERISTIWA PERGOLAKAN POLITIK YG BERLAKU SEJAK AKHIR2 INI, KITA DI KEJUTKAN DGN PELAWAAN HJ HADI YG MAHUKAN UMNO DAN PAS DISATUKAN. SEBELUM INI UMNO JUGA PERNAH MENYUARAKAN SARANAN YG SAMA KPD PAS. TP MEREKA MENETAPKAN PELBAGAI SYARAT SEBELUM MEREKA BOLEH BERGABUNG.

DIWAKTU SEGETIR INI PUN MEREKA MASIH MENGUTAMAKAN KEPENTINGAN DIRI DARI PERJUANGAN PARTI YG SEBENARNYA. PERLUKAH MEREKA MELETAKKAN PELBAGAI SYARAT JIKALAU MEREKA BENAR2 IKHLAS DEMI PERPADUAN ORG2 MELAYU? SEJAK AWAL PENUBUHAN UMNO DAN PAS SAMA2 BERJUANG DILANDASAN YG SAMA IAITU MENEGAKKAN SYIAR ISLAM DAN KETUANAN ORG2 MELAYU. TIDAK KAH MEREKA BOLEH KEMBALI KPD PERJUANGAN ASAL? MEREKA TAK PERLU TUNDUK KEPADA TEKANAN DARI DAP MAHUPUN PKR JIKA MEREKA BENAR2 IKHLAS. MEREKA MEMPUNYAI HAK UTK BERSUARA DAN MELAKUKAN APA YG MEREKA RASA BETUL.

ADA SUARA SENYAP DLM PAS ITU SENDIRI YG TIDAK BERPUAS HATI APABILA PAS MULA BERSEKUTU DGN DAP. MAKA SUDAH TENTU HALATUJU PERJUANGAN ASAL MEREKA TELAH JAUH MENYIMPANG GARA2 DESAKAN DARI DAP SERTA PUAK2 ERDOGAN DI DLM PAS ITU SENDIRI. HJ HADI SEOLAH2 TELAH DI IKAT KE SATU PENJURU DAN TOK GURU NIK AZIZ PULA DI TUTUP MULUTNYA.

PAS JUGA SEOLAH2 TELAH DI"PROGRAM"KAN SEMULA MENJADI SATU PARTI "PAK TURUT". DISINI PERANAN ORG KUAT PAS NO. 2 IAITU SDR NASAHARUDDIN HARUS MELAKUKAN SESUATU SEBELUM PAS MENJADI PARTI YG TIDAK RELEVAN LG.

torashah berkata...

Salam UCGS...tapi jangan lupa..

Sudah lebih setengah abad PAS memusuhi UMNO!

Dalam menuju alaf baru ini, banyak perkara yang patut diambil kira oleh masyarakat Malaysia. Di samping berusaha berusaha menjadi sebuah negara yang serba membangun dalam bidang ekonomi, teknologi maklumat, sains dan teknologi, soal-soal dasar survival negara patut menjadi suatu hal penting dalam agenda kita.

Dalam hal ini, orang Melayu perlu berbuat sesuatu untuk menguatkan perpaduan mereka, walaupun dalam masa yang sama perbezaan pendapat politik di antara mereka tetap ada. Perpecahan mutlak di antara mereka akan membawa kehancuran kepada kedudukan dan kuasa politik yang dimiliki. Perpecahan di antara golongan kanan dan kiri Melayu antara 1946-1948 dan perpecahan ulama UMNO daripada badan induknya untuk membentuk Parti Islam Se-Malaya pada 1951, patut menjadi teladan.

Soal mementingkan pendapat sendiri ataupun menegakkan kepentingan sekumpulan kecil pemimpin Melayu sehingga perpecahan politik Melayu menjadi begitu ketara, patut dielakkan.Tanpa parti yang mengutamakan kepentingan Melayu sebagai modus operandinya, seperti di Singapura, nasib orang Melayu pada masa depan akan terancam. Tanpa ada parti yang kuat untuk menjadi wakil orang Melayu dalam setiap pilihanraya kebangsaan,kuasa politik yang tinggal sedikit ini akan musnah. Atas kesedaran ini UMNO dapat terus bertapak selama 62 tahun dalam politik negara ini.

Pergelutan politik Melayu secara tegas bermula dengan perebutan kuasa sebagai wakil politik Melayu kepada British, apabila Malayan Union diperkenalkan pada Januari 1946. Golongan kiri dan kanan cuba sedaya upaya bekerjasama dengan British supaya penjajah itu menerima mereka sebagai wakil orang Melayu. Malah, ada pihak telah bekerjasama dengan Parti Komunis Malaya demi untuk mengalahkan lawannya walaupun kepentingan bangsa Melayu menjadi taruhannya.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang ditubuhkan pada Oktober 1945 di Ipoh , Perak atas anjuran Parti Komunis Malaya, cuba menyatukan orang Melayu dalam politik. Dalam dasar Malayan United Front, Parti Komunis Malaya cuba menyatukan semua bangsa di Tanah Melayu untuk menyokong ideologi komunisme sebagai satu alternatif kepada sistem politik beraja yang dimiliki oleh masyarakat dan kerajaan negeri-negeri Melayu.

British pula cuba memperkenalkan sistem kerajaan republik dan unitary state kepada Tanah Melayu melalui Malayan Union. Segala sistem politik Melayu yang diterima oleh British sebelum Perang Dunia Kedua dihapuskan dengan meletakkan seorang Gabenor yang bertanggungjawab terus kepada Raja England.Tekanan dua kuasa besar ini menyedarkan orang Melayu dan Raja-Raja Melayu terhadap perlunya mereka bersatu tenaga dalam sebuah gerakan politik yang bersifat kebangsaan.

Soal parokialisme atau kenegerian yang menguasai politik orang Melayu selama ini cuba dilupakan. Seruan untuk bersatu itu mengatasi sempadan politik yang menguasai orang Melayu Semenanjung sejak awal kurun ke 20. Kongres Melayu 1946 di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru pada 1-4 Mac 1946 di bawah pimpinan Datuk Onn Jaafar, menjadi benteng perpaduan Melayu yang memeranjatkan British dan pemerhati politik masa itu.

Perhimpunan bangsa Melayu yang paling bersejarah itu bersetuju menubuhkan UMNO, yang dirasmikan di Istana Besar Johor Bahru pada 11 Mei 1946. UMNO dengan itu menjadi suara padu orang Melayu menentang Malayan Union. Parti radikal Melayu iaitu PKMM turut sama hadir untuk menubuhkan UMNO di Johor Bahru. Dr. Burhanuddin Al-Helmy, Presiden PKMM sama-sama menandatangani Piagam UMNO 1946, Perlembagaan UMNO yang pertama. Inilah perpaduan yang pertama dan terakhir bangsa Melayu yang pernah dicatat oleh sejarah.

Namun , perpaduan ini tidak disenanagi oleh Parti Komunis Malaya. Berbagai-bagai helah dilakukan untuk memecahkan perikatan UMNO-PKMM ini. Melalui beberapa pemimpin kedua PKMM, Parti Komunis Malaya menjalankan jarumnya untuk menjadikan PKMM sebuah parti yang sentiasa tidak puas hati dengan pucuk pimpinan UMNO.

Hal pertama yang dibangkitkan ialah soal pendekatan politik UMNO. Pendekatan politik UMNO yang sederhana dan suka berunding itu dianggapnya kolot. Keduanya, UMNO dibidas kerana tidak menuntut kemerdekaan penuh daripada British; matlamat UMNO yang hanya mahu status quo tradisional Melayu ( kedudukan peribumi dan pengembalian takhta Raja-Raja Melayu ) dihidupkan semula sebelum menuntut kemerdekaan, dianggap terlalu remeh.

PKMM lebih suka sebuah republik dan kerakyatan sama rata kepada semua penduduk Tanah Melayu. UMNO dituduh tidak progresif. PKMM juga membangkitkan soal ketidakadilan UMNO dalam memberi undi/suara kepada parti besar dalam pengundian UMNO, ini tercetus dalam dalam soal pemilihan bendera UMNO. PKMM juga mempersoalkan kepimpinan UMNO yang terus dikuasai oleh golongan feudalis dan bukan rakyat biasa. Kesemua sungutan PKMM disebarkan dalam akhbar rasminya Pelita Malaya, yang berpusat di Kuala Lumpur. Musuh utamanya ialah Majlis yang menjadi jurucakap UMNO.

Parti Komunis Malaya secara terbuka menyokong PKMM dengan menuduh UMNO memanjangkan penjajahan British, tidak progresif dan feudalistic. Melalui desakannya, PKMM menarik diri dari UMNO pada Jun 1946, setelah hanya tiga bulan bekerjasama. Selepas penarikan itu, kerjasama di antara keduanya dipertingkatkan. UMNO dibidas bukan sahaja oleh Pelita Malaya, tetapi juga oleh Malaya Tribune yang memang bersimpati dengan gerakan radikal dan komunisme.

Pengaruh Parti Komunis Malaya terus mencengkam PKMM apabila kepimpinan Dr. Burhanuddin yang sederhana tidak disenanginya. Melalui dua kumpulan berbeza, iaitu kumpulan komunis PKMM dan golongan radikal Melayu PKMM, Parti Komunis Malaya berjaya meletakkan Ishak Mohamad sebagai Presiden PKMM manakala Dr. Burhanuddin hanya menjadi penasihat. Dengan kepimpinan lebih radikal, PKMM lebih cergas menentang UMNO.

Keupayaan UMNO bersama Raja-Raja Melayu meminta British membubarkan Malayan Union dan menggantikannya dengan Persekutuan Tanah Melayu merancakkan permusuhan PKMM dengan UMNO. Dengan sokongan AMCJA ( All Council of Joint Action ) yang berpusat di Singapura yang diketuai oleh Tan Cheng Lock dan Parti Komunis Malaya, PKMM mengubah nama kepada PUTERA. Dengan nama dan kerjasama itu, golongan anti UMNO menegakkan prinsip demokrasi dan kerajaan republik serta membidas Perjanjian Persekutuan tidak demokratik dan progresif.

Kerakyatan jus soli kepada orang Melayu dianggap satu diskriminasi kepada bangsa lain. Kedudukan istimewa Melayu dipersoalkan. Pemulangan takhta dan negeri kepada Raja-Raja Melayu juga dibantah. Perjanjian Persekutuan 1948 dianggap pro-Melayu. Ia juga dianggap tidak progresif kerana kerana suara rakyat dan pilihanraya tidak diperkenalkan.

Konsep Malayan Malaya menjadi pegangan PUTERA dan sekutunya. Mereka mengemukakan perlembagaan 10 perkara untuk menentang UMNO, Raja-Raja Melayu dan British yang dinamakan Perlembagaan Rakyat. Ternyata prinsip utama sistem politik Melayu sebagai dasar politik Tanah Melayu ditolak oleh PUTERA-AMCJA-Parti Komunis Malaya, dan mendesak sistem politik sama rata diwujudkan. Kegagalan mendapatkan kedudukan politik sama rata itu telah menyebabkan pemulauan perniagaan diadakan diseluruh Tanah Melayu dan Singapura. Bagaimanapun, ini gagal mengubah pendirian British, Raja-Raja Melayu dan UMNO.

Perjanjian Persekutuan 1948 yang ditandatangani oleh Raja-Raja Melayu pada 21 Januari 1948 itu mengesahkan kejayaan UMNO dan mengetepikan PKMM/PUTERA sebagai wakil politik orang Melayu dalam kerajaan British. Parti Komunis Malaya yang gagal mendapatkan kuasa melalui cara perlembagaan, mengadakan pemberontakan bersenjata. British dan orang Melayu menentangnya sehingga 1960. Kekuatan perpaduan orang Melayu sederhana secara langsung mengalahkan golongan radikal kiri.

Parti Komunis Malaya juga menggunakan ulama yang bekerjasama dengan PKMM untuk menentang kekuatan perpaduan orang Melayu dalam UMNO. Berpusat di Gunung Semanggol, Padang Rengas, Perak, kumpulan radikal agama dan PKMM menubuhkan beberapa organisasi ekonomi, pelajaran dan agama untuk memberi alternatif kepada UMNO. Kepada golongan ulama radikal ini, UMNO hanya memperjuangkan kepentingan pembesar dan Raja-Raja Melayu tanpa membela nasib rakyat bawahan yang masih miskin, kurang pendidikan dan terbiar.

Walaupun ini tidaklah begitu tepat kerana UMNO juga mempunyai program-program untuk membaiki pendidikan, ekonomi, perniagaan dan soal kebajikan yang lain, tetapi bagi golongan radikal ini adalah pentas politik alternatif untuk menentang UMNO. Penubuhan Hizbul Muslimin sebagai sebuah parti politik Islam pada Mac 1948, memang merupakan tandingan terbuka kepada UMNO. Perpecahan Melayu kepada fahaman kanan, kiri/ radikal serta ulama menguntungkan Parti Komunis Malaya. Dengan begitu yakin ia melancarkan pemberontakan kerana kelemahan perpaduan orang Melayu.

Pengharaman parti-parti radikal Melayu dan Parti Komunis Malaya pada Julai 1948 dibawah Undang-Undang Darurat, telah meninggalkan parti UMNO sebagai parti tunggal dan penting untuk orang Melayu. UMNO cuba menyatukan semula orang Melayu dengan membuka pintunya kepada bekas-bekas ahli API, PKMM, AWAS, BATAS, sebagai ahli UMNO. Kemasukan mereka menyebabkan slogan Hidup Melayu ditukar kepada Merdeka pada awal 1951 sebagai tanda perubahan matlamat perjuangan UMNO.

Keduanya, UMNO menubuhkan Perikatan Pemuda UMNO pada 1949 dengan tujuan menyatukan semua tenaga pemuda Melayu ke dalam UMNO. Ini juga melahirkan satu arena politik baru bagi bekas-bekas penyokong golongan radikal/kiri.Ketiganya, menyerap semua tenaga ulama, terutama yang beraliran radikal ke dalam UMNO. Persidangan ulama pertama dan kedua diadakan di kuala Lumpur dan Muar pada tahun 1950 dan 1951. Dalam persidangan di Kuala Lumpur, Persatuan Ulama Malaya ditubuhkan bagi memberi cadangan untuk kemajuan masyarakat Melayu.

Ini termasuklah soal penyelarasan pentadbiran Islam, penubuhan Universiti Islam dan lain-lain lagi.UMNO dengan itu telah menjadi parti yang sempurna sebagai tonggak politik Melayu. Namun, perbezaan idea dan permainan politik British, bukan Melayu dan rebutan kuasa pemimpin memecahkan UMNO kepada tiga parti besar. Datuk Onn meninggalkan UMNO untuk menubuhkan IMP. Persatuan Ulama Malaya pimpinan Ahmad Fuad membawa diri sebagai sebuah organisasi politik ulama dan dalam Mesyuarat September 1951 di Seberang Perai, persatuan itu menjadi Parti Islam Se-Malaya (Pas).

IMP kemudian menjadi Parti Negara, yang menjadi lemah dengan kematian Dato Onn pada 1962. Namun, Pas kekal sebagai parti saingan UMNO hingga kini.Perpecahan memang tidak akan menguntungkan survival bangsa Melayu terutama dalam masyarakat majmuk yang menggunakan sistem demokrasi dan Parlimen sebagai alat pentadbiran dan politiknya.

Keterbukaan yang tidak bertempat, perebutan kuasa dan kelalaian kepada perjuangan utama, tanpa mengambil kira kehidupan generasi Melayu akan datang dan perpecahan yang berlarutan akan menjadi senjata makan tuan kepada orang Melayu. Semangat bulan Mac 1946 patut menjadi indeks politik masyarakat Melayu Malaysia. Asas falsafah kehidupan bangsa Melayu mengatakan bahawa “ hidup bersendi adat, adat itu bersendikan syarak, dan syarak pula bersendikan Kitabullah.”

Salam perjuangan...