3/26/2009

Ucapan Perpisahan Pak Lah buat Ahli UMNO - Hati Gajah Sama Dilapah, Hati Kuman Sama Dicecah

Ketika saya memilih menyertai Umno empat puluh lima tahun lalu, saya mempunyai satu niat dan satu tekad, untuk menawarkan perkhidmatan kepada parti yang telah begitu berjasa kepada bangsa dan kepada negara saya.

Saya melihat Umno sebagai sebuah parti yang mendokong perjuangan yang suci serta memiliki idealisme yang murni.


Ketika mendaftar diri menjadi ahli Umno, saya tidak terfikir untuk mendapat faedah kebendaan, tidak juga mengharapkan sebarang imbuhan.

Semangat sedemikian bukan hanya terdapat pada diri saya, malah ia adalah satu norma di kalangan ribuan ahli yang seangkatan dengan saya yang menyertai Umno ketika itu.



Kami semua bertekad untuk meneruskan perjuangan bagi memartabatkan bangsa dan berkhidmat untuk negara Malaysia tercinta ini.



Ketika merasmikan perhimpunan Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Wanita Umno pada tahun 1999 'Meneruskan Perjuangan, Memartabatkan Bangsa' telah saya jadikan tema ucapan ulung saya itu.


Hari ini generasi seangkatan dengan saya bukan sahaja sudah semakin kecil bilangannya, tetapi yang lebih membimbangkan semangat yang dimiliki oleh generasi seangkatan dengan saya, ketara semakin tipis di kalangan generasi semasa.


Semakin ramai yang menyertai Umno bukan kerana apa yang dapat mereka sumbangkan kepada Umno tetapi lebih mirip kepada apa yang bakal mereka harap untuk memperoleh.


Mereka mengharapkan jawatan, mereka mengharapkan projek, mereka mengharapkan gelaran, mereka mengharapkan kepuasan duniawi. Semangat berkorban, semangat berjuang, semangat berkhidmat untuk bangsa, untuk negara semakin tipis, semakin lemah.


Sedarilah! Di luar Dewan Merdeka ini, ramai yang berpandangan bahawa jika Umno, dan jika Barisan Nasional tidak berubah, maka pilihanraya ke-12 pada 8 Mac 2008 merupakan kemenangan terakhir kepada Barisan Nasional menubuhkan kerajaan.

Selepas ini, rakyat di luar dewan ini, tidak akan mengundi kita lagi.

Di peringkat negeri, Barisan Nasional turut menghadapi cabaran yang sama.



Di kalangan kita juga, malah di kalangan yang duduk di atas pentas ini, turut menyuarakan bahawa "Umno wajib melakukan perubahan". Apa yang saya ingin dengar, adalah suara yang menyatakan "Aku akan berubah" lalu disusuli dengan langkah berani melakukan perubahan itu dalam diri sendiri.


Betapa malangnya Umno jika ramai yang gagal memahami bahawa Umno itu adalah kita, selagi kita tidak berubah, Umno tidak mungkin dapat berubah.


Umno kini berada di persimpangan jalan. Laluan yang kita pilih akan menentukan sama ada kita kekal relevan sepanjang masa atau akan hanya menjadi satu sejarah masa lalu.

Ada juga yang masih berpendirian bahawa kita tidak perlu melakukan perubahan. Mereka mempercayai bahawa Umno akan kembali mencapai kemenangan jika kita kembali kepada cara lama, kepada order lama, dengan menyekat kebebasan warga, dengan menghalang warga dari menyuarakan kritikan.



Mereka berpandangan bahawa Umno itu boleh terus berkuasa dan kekal kuat dengan kaedah menjaga kepentingan beberapa individu tertentu, dan memenuhi tuntutan-tuntutan kumpulan tertentu.

Masih terdapat di kalangan kita yang lebih tertarik dengan cerita-cerita yang menyeronokkan hingga kita menjadi leka, lena dalam ulitan mimpi bahagia.


Jika laluan lama itu yang dipilih, saya berpandangan bahawa kita telah memilih laluan yang salah; laluan yang membawa kita ke belakang. Saya bimbang laluan tersebut akan lebih mempercepatkan berakhirnya talian hayat Umno.

Jika kita tidak melakukan perubahan berani, selaras dengan transformasi masyarakat yang begitu dinamik dan perkembangan global yang begitu radikal, kita akan menyaksikan hari-hari berakhirnya parti Umno yang kita kasihi ini.

Jika kita terus bertanding begitu hebat, bermati-matian untuk merebut jawatan, tetapi apakah ertinya jawatan tersebut kepada Umno yang telah tinggal rangka yang terbujur di kuburan.

Barang dijauhkan Allah dari Umno menimpa nasib hiba yang sedemikian.



Atas kesedaran tersebut, atas rasa cinta kepada Umno, atas rasa tanggung jawab terhadap Umno dan bangsa Melayu, saya memilih untuk menunjukkan teladan, dengan tidak mempertahankan jawatan presiden parti, bertujuan memberi laluan kepada pemimpin yang lebih muda walaupun masih terdapat ramai dari ahli-ahli parti dan rakan-rakan baik di dalam ataupun di luar kerajaan meminta saya untuk terus mempertahankan jawatan.

Saya menghargai keputusan rakan-rakan yang turut memilih langkah yang sama, baik di peringkat bahagian mahupun cawangan, baik di peringkat pemuda, wanita dan puteri - bahawa jawatan dan kedudukan bukannya milik peribadi; sedangkan harta milik peribadi juga tidak akan dapat dibawa sampai ke mati.


Untuk terus relevan, Umno perlu berusaha mencantumkan kekuatan lama yang kita telah hilang dengan elemen baru yang harus kita terokai. Kekuatan lama yang telah hilang adalah semangat asal dan komitmen asal kita kepada perjuangan bangsa dan perjuangan parti.

Hidupkanlah kembali semangat berkorban, semangat dedikasi, semangat kesederhanaan, semangat berkhidmat, semangat kemanusiaan dan pamerkanlah integriti yang tinggi lagi dihormati.


Gugurkanlah sifat angkuh yang merasakan diri kita sahaja yang betul, yang merasakan diri kita sahaja yang pandai, jauhilah amalan rasuah, imbangkan perhatian di kalangan warga keseluruhannya baik yang Melayu dan bukan Melayu, demikian juga kepada ahli-ahli parti baik yang menyokong kita atau saingan kita.

Di peringkat kerajaan, saya telah berusaha memperkenalkan beberapa mekanisme dalam hasrat memperkukuhkan instrumen pentadbiran yang lebih telus, cekap, adil dan berintegriti, di samping dapat meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, mengembalikan integriti kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah ditubuhkan, Institut Integriti Nasional diwujudkan, PEMUDAH telah diperkenalkan, dalam usaha berterusan untuk meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan awam, pembangunan modal insan diutamakan dan Islam dibangunkan secara progresif melalui pendekatan Islam Hadhari.

Menyedari sumber baru kekayaan negara perlu diterokai dan agihan peluang ekonomi berkualiti secara lebih seimbang dan saksama dapat dilaksanakan, program pembangunan ekonomi secara wilayah telah diperkenalkan.

Di peringkat Umno, mungkin telah tiba masanya untuk parti diperkukuhkan dengan memperkenalkan peraturan dan tatacara yang membolehkan parti diurus tadbir dengan cara yang lebih berdisiplin dan terkawal.

Mungkin parti memerlukan mekanisme yang lebih memberikan kesaksamaan kepada ahli dan menggugurkan amalan-amalan yang tidak memberikan keadilan kepada majoriti ahli terutama di kalangan mereka yang tidak mempunyai jawatan dan tidak mempunyai kekayaan material.

Mungkin masanya telah sampai untuk Umno juga meletakkan syarat tempoh maksimum memegang jawatan di dalam parti. Mungkin Umno juga wajar memberikan hak memilih ketua terutama bagi jawatan-jawatan utama di dalam parti kepada semua ahli untuk mengatasi amalan politik wang.

Umno tidak harus lari dari tanggung jawab membela nasib bangsa Melayu dan bumiputera. Namun Umno, jangan sekali-kali mengamalkan fahaman ekstremis kaum, ekstremis agama.

Umno jangan sekali-kali mengamalkan diskriminasi hingga dianggap bersifat rasis kepada warga Malaysia yang bukan Melayu. Hak semua warga negara hendaklah senantiasa diberikan jaminan dan dihormati, dilindungi dan dipelihara selaras dengan semangat Perlembagaan dan Rukun Negara.

Ketaatsetiaan setiap warga Malaysia tanpa mengira kaum harus dihargai dalam semangat perkongsian kuasa dan setia kawan, bersetuju menyuburkan semangat yang berat sama dipikul yang ringan sama dijinjing; hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah.

Berusahalah! Berusahalah! Berusahalah! Mencari titik pertemuan, menyemarakkan nilai persamaan. Jauhkanlah! Jauhkanlah! Jauhkanlah! Daripada mengungkit perbezaan dan membesarkan kelainan.

Saya amat menghargai peranan warga Malaysia membantu menjamin keamanan negara dan berusaha memakmurkan negara. Selama hampir 52 tahun kita merdeka, kita telah menghadapi pelbagai cabaran dan kita cekal bersatu menghadapi setiap cabaran hingga menjadikan negara kita sebagai negara merdeka yang berdaulat dan makmur.

Negara kini sedang menghadapi ancaman ekonomi yang paling menakutkan sejak kita mencapai kemerdekaan. Dunia sedang dilanda kemelut ekonomi yang amat dahsyat dan kerajaan sedang menghadapi tanggung jawab sangat berat untuk meringankan rakyat dari menghadapi kesusahan.

Selama lima tahun setengah menjadi perdana menteri, saya amat yakin akan potensi dan kekuatan yang kita miliki, begitu juga rahmat yang telah dilimpahkan oleh Ilahi kepada negara ini.

Kita mempunyai modal insan muda yang berpotensi besar untuk kita bangunkan menjadi produktif. Kita mempunyai daya tahan, kita memiliki daya kekuatan untuk menghadapi cabaran kegawatan ekonomi dunia yang sedang melanda asalkan kita terus bersatu dan memberi fokus menghadapi ancaman ekonomi ini.

Kita harus mengurangkan berpolitik, kita harus menghapuskan budaya suka bercakaran sesama sendiri; sebaliknya kita perlu tekun bekerja, menjadi lebih produktif dan menggabungkan kekuatan.

Sama-samalah kita insafi bahawa persoalan yang Umno hadapi kini ialah persoalan hidup mati, persoalan masa depan dan survival parti.

Ia amat bergantung kepada sikap setiap ahli dan peranan barisan kepimpinan yang akan terus memperjuangkan nasib bangsa, agama dan negara.

Ahli-ahli Umno dan barisan kepimpinan memainkan peranan yang amat penting dalam menentukan sama ada perkembangan di hari muka berupaya terus mencerminkan kebanggaan tradisi kita.

Setiap dari kita sememangnya sedar bahawa pucuk kepimpinan Umno menentukan pucuk kepimpinan tanahair tercinta. Inilah keistimewaan serta beban tanggungjawab parti keramat kita, dengan izin Allah SWT.

Setiap dari kita sememangnya arif tentang ciri-ciri serta sifat-sifat mulia seperti siddiq, amanah, tabligh dan fatanah yang wajib dipegangi oleh pemimpin-pemimpin kita.

Ingatlah! Bahawa undi seorang insan yang beriman dan bertakwa tidak boleh dijual-beli. Semoga pemilihan barisan kepimpinan parti pada kali ini berjalan dengan lancar dan mencerminkan aspirasi mereka yang kita wakili.

Firman Allah SWT: Wahai orang yang beriman, mengapa kamu memperkatakan sesuatu yang tidak kamu melakukannya? Amat besar kebenciannya di sisi Allah bahawa kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. As-Saff: 2-3.

Tanggungjawab saya sebagai presiden parti akan berakhir pada penghujung perhimpunan ini. Seterusnya tanggungjawab saya sebagai perdana menteri kepada warga dan negara yang saya cintai ini juga akan berakhir.

3 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Pak Lah tetap akan dikenang..

Najib, anda seorang yang berani menempelak pembangkang...

Inilah masa untuk anda bertindak segera sebelum Anwar dan kuncu-kuncunya bermaharajalela..

Tanpa Nama berkata...

Pak Lah,anda tetap akan dikenang sebagai Bapa Demokrasi Negara..

Cuma satu yang saya pinta, tlg nasihatkan menantu anda agar tidak melakukan sesuatu yang mencemarkan UMNO.

Kemenangannya sedikit sebanyak akan memberi kesan kepada 3 Pilihanraya Kecil selepas ini..

Allah selamatkan UMNO...

Tanpa Nama berkata...

Transformasi bermula..

Pak Lah tetap dikenang..

Najib,sama2 kita berjuang, menentang pembangkang...

Khairy, janganlah leka dan melakukan kesilapan lagi.. Tlg.. kami rayu..