Secara kebetulan, kebakaran sebuah rumah yang juga kedai menjual makanan ringan di Jalan Sekolah Menengah Kebangsaan Laloh, pagi Khamis mempertemukan tiga insan yang ada kaitan dengan pilihan raya kecil DUN Manek Urai.
Mereka adalah calon BN, Tuan Aziz Tuan Mat, calon PAS, Mohd Fauzi Abdullah serta Khairi, anak allahyarham Ismail Yaacob, bekas wakil rakyat PAS kawasan itu yang meninggal dunia 22 Mei lalu.
Sebelum kebakaran kedai yang disewa Nor Aziah Ismail, kedua-dua calon sedang berdepan rutin harian berkempen meraih bekal untuk menang pada 14 Julai apabila dikejutkan dengan kebakaran kedai wanita tersebut. Masing-masing bergegas ke tempat kebakaran dan Tuan Aziz tiba kira-kira jam 11.20 pagi diikuti Mohd Fauzi, lima minit kemudian.
Ketika mereka tiba, anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat sedang memadam kebakaran. Tuan Aziz berjumpa Nor Aziah,37, ibu kepada tujuh anak untuk mententeramkan wanita tersebut serta menghulurkan sumbangan bagi membolehkan keluarga mangsa meneruskan kehidupan seperti biasa.
Kebakaran itu menyebabkan wanita berugiaan kira-kira RM5,000 tidak termasuk harga rumah atau kedai yang disewanya. Bagaimanapun, tiada kecederaan kerana keluarga itu tinggal di Pecah Pulai dan hanya berniaga di situ. Di ketika sama, Mohd Fauzi bertemu Zawawi Deraman di sebuah rumah tidak jauh daripada tempat kebakaran. Zawawi, 43, adalah suami kepada Noar Aziah dan baru sampai ke tempat itu selepas mendapat tahu kebakaran tersebut.
Tuan Aziz kemudian ke rumah calon PAS dan Zawawi bertemu, memberi salam dan terus berbual bertanya khabar kepada Zawawi dan Mohd Fauzi. Selepas penamaan calon Isnin, inilah kali pertama mereka bertembung. Mereka menghabiskan masa kira-kira 10 minit berbual dan melayan karenah jurugambar untuk merakam saat yang tidak dirancang itu.
Ketika ingin beredar, Tuan Aziz bersalaman dengan penduduk di situ dan singgah di sebuah warung menjual air minuman, buah-buahan dan goreng pisang. Mungkin milik penyokong PAS kerana banyak poster dan bendera PAS di premis itu.
Sebentar kemudian seorang anak muda lingkungan 25 tahun menghampiri Tuan Aziz dan duduk di kerusi disebelah calon BN itu. Mereka bersalaman penuh mesra seolah-olah sudah lama kenal satu sama lain.
Ketika ini, seorang pembantu Tuan Aziz memberitahu, “ Itulah anak arwah Pak Su Wei (Ismail). Rupa-rupanya mereka berdua ada kaitan kekeluargaan walaupun berbeza fahaman politik. Khari, anak ke empat arwah Pak Su Wei adalah penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Krai.
Hampir setengah jam minum sambil menikmati goreng pisang panas dan tembikai, Tuan Aziz beredar. Bagi sesiapa sahaja yang menyedari ‘pertemuan menarik’ ketiga-tiga mereka ini pasti geleng kepada sambil berfikir kebenaran pepatah orang berpolitik – tiada yang mustahil dalam politik. Ketika ingin beredar, terdengar penduduk di situ berbual dengan rakan-rakan.
“Aman sungguh pilihan raya kali ni..tengok gaya macam boleh kat Tuan Aziz,” ujarnya. Selepas kempen hari ke empat juga, senario di Manek Urai belum banyak berubah kecuali semakin banyak poster BN dan lawan.
Jika ada perbezaanpun, pertarungan BN-PAS seimbang dan PAS nampaknya terpaksa bekerja lebih kuat bagi mempertahankan kerusi Manek Urai serta maruah Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat.
2 ulasan:
Salam,
Tuan Aziz memang dikenali ramai di sekitar Kuala Krai. Bapa dia seorang guru yang dihormati, dan beliau sendiri semasa menjadi pegawai Kesedar berkhidmat di Kuala Krai telahpun memasuki segenap kampung bertanyakan masalah orang ramai.
Saya sendiri amat mengenali beliau sebagai kawan sejak dari kecil lagi.
Moga2 pilihanraya kali ini memihak kepada BN..amin
Catat Ulasan