12/08/2009

MAHFUZ OMAR TAK PUAS HATI - TOK GURU, HENTIKAN SERTA MERTA MENANTU ANDA !!!

Ini pandangan Naib Presiden PAS, Dato' Mahfuz Omar kepada Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkaitan kedudukan menantunya Abdul Ariffahmi Abdul Rahman sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Menteri Besar Kelantan (PMBK).

“Nik Aziz sebagai Pengerusi serta Lembaga Pengarah PMBK sepatut buat ketetapan supaya Ariffahmi bercuti serta merta. Ariffahmi sudah pun buat komitmen (meletakkan jawatan) jadi sekarang mereka (Pengerusi dan Lembaga Pengarah) harus buat ketetapan,” katanya.

Sebagai contoh katanya, Ariffahmi boleh dibayar gaji selama tiga bulan tetapi tidak perlu lagi aktif memegang jawatan. Dengan itu katanya, PMBK boleh melantik seorang bagi memangku jawatan CEO PMBK.

“Ini yang sesuai untuk jaga etika. Beliau bukan budak pejabat atau kerani yang masih boleh bertugas walaupun sudah hantar notis tetapi Ariffahmi mungkin akan buat apa-apa keputusan jika terus bertugas.

“Saya tidak tahu apa yang beliau akan buat tetapi kalau beliau terus ke pejabat, dan timbul sesuatu perkara atau buat macam-macam akan cetuskan kontroversi,” jelasnya. Mahfuz memberikan kenyataan tersebut kepada wartawan ketika ditanya mengenai perkembangan terbaru mengenai kedudukan CEO PMBK yang telah pun menyatakan kesediaan beliau meletakkan jawatan tetapi tidak serta merta sebaliknya terus bertugas sehingga 23 Mac 2010.

Sedangkan keputusan supaya beliau meletakkan jawatan dibuat atas nasihat Jawatankuasa PAS Pusat setelah Presiden, Timbalan Mursyidul Am dan pemegang jawatan utama parti itu bertemu Nik Aziz meminta agar menantunya itu berbuat demikian.

Desakan supaya Ariffahmi meletakkan jawatan timbul setelah pelbagai pendedahan yang dibuat oleh bekas Pegawai Perhubungan Korporat PMBK, Syed Azidi yang juga penulis blog Kickdefella yang ditamatkan perkhidmatannya oleh Ariffahmi. Kickdefella sebelum ini dibayar gaji oleh PMBK tetapi hakikatnya beliau bertanggungjawab kepada Exco Kelantan, Datuk Husam Musa.

Antara pendedahan yang dibuat ialah Ariffahmi merancang untuk ‘menggulingkan’ Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang. Keputusan Ariffahmi untuk terus memegang jawatan itu sehingga 23 Mac 2010 telah menimbulkan rasa kurang senang kalangan pemimpin PAS kerana ia memberikan imej yang tidak baik kepada parti itu jika amalan urus tadbir yang baik diambil kira.

Pandangan terbaru Mahfuz itu sekaligus mengesahkan kebimbangan pimpinan Pusat PAS kerana khuatir dalam tempoh sehingga Mac 2010, ada lagi tindakan yang akan diambil oleh Ariffahmi yang boleh menjejaskan kewibawaan PAS dan maruah kerajaan negeri Kelantan.


Tiada ulasan: