12/05/2009

UMNO JUARA RAKYAT - PEMUTIHAN SEMULA KEAHLIAN TINDAKAN BIJAK !

UMNO akan menjalankan gerakan untuk melakukan pemutihan keahlian bagi menentukan kesahihan keahlian parti itu ekoran pindaan perlembagaan UMNO yang telah diluluskan oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS).

Mengumumkan perkara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak berkata, proses pemutihan itu perlu kerana di bawah Perlembagaan UMNO yang baru, UMNO tidak lagi membuat kutipan yuran tahunan.

“UMNO akan mengambil tindakan bagi tentukan kaedah pemutihan ahli-ahli supaya senarai ahli merupakan senaai terkini. Ikut peraturan baru kita tak perlu kutip yuran tahunan dan oleh itu amat penting untuk kita tentukan kesahihan ahli UMNO,” katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO di ibupejabat parti itu di PWTC, Kuala Lumpur, Jumaat malam.

Keputusan melakukan pemutihan itu menurut Najib dibuat selepas ROS meluluskan pindaan Perlembagaan UMNO pada 10 November 2009 yang lalu.

Sebelum ini, UMNO mengutip bayaran yuran daripada ahlinya setiap tahun tetapi dengan pindaan perlembagaan parti itu pada Perhimpunan Agung Khas Oktober lalu, UMNO memansuhkan yuran tahunan dan ahli hanya perlu membayar yuran keahlian sekali seumur hidup semasa membuat permohonan menjadi ahli parti.

Bagi melaksanakan pemutihan itu, Najib berkata, ibu pejabat UMNO akan berhubung dengan semua UMNO Bahagian untuk melaksanakan proses berkenaan.

Pada sidang media itu juga Najib turut mengumumkan, mesyuarat MT malam ini telah meluluskan program UMNO bagi tahun depan dan mulai Januari 2010, parti itu akan melaksanakan program yang bertemakan UMNO Juara Rakyat.

Menurut beliau, melalui program UMNO Juara Rakyat, pelbagai aktiviti akan dijalankan antaranya pendidikan, keagamaan, kerohanian, keusahawanan, perekonomian, sosial dan NGO serta pelbagai lagi jenis program yang telah ditentukan.

“Walaupun program ini temanya UMNO Juara Rakyat tetapi kita akan mengajak parti komponen BN sama-sama dengan UMNO di peringkat Bahagian laksana program yang menepati konsep UMNO Juara Rakyat.,” jelasnya.

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Nakmbuat pemutihan ni, website keahlian umno online dah ok ke? saya daftar wife saya bulan 3 2009, sampai sekarang tak selesai selesai lagi. habis ni ke cara UMNO nak menang pru 13, jangan jadi filem 2012 dah la.