7/10/2010

ISU FELDA - TAK SELESAI LAGI KA?? AYO...

Drama kecil berlaku dalam sidang media di lobi Parlimen pagi Khamis apabila dua orang yang sebutan nama mereka hampir sama tetapi berbeza ejaan, berdebat mengenai pendirian masing-masing berhubung isu Felda.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Mentei, Datuk Ahmad Maslan menganggap sesi dialog sudah mencukupi untuk mencari penyelesaian bagi isu itu, tetapi Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK) Mazlan Aliman berkeras mencabarnya berdebat. Ahmad Maslan berpendapat, menerusi berdialog mereka mempunyai masa lebih lama untuk mendengar dan menyelesaikan masalah. Dia juga menafikan takut untuk berdebat.

“Saya bukan takut nak berdebat. Dengan Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat pun saya sudah berdepan. Tak jadi masalah sebenarnya. Tapi kalau debat hanya sejam atau dua jam, susah nak selesaikan masalah. Dialog pula seharian pun boleh. Kalau tak puas hati dengan sesuatu perkara, kita boleh bawa pegawai jelaskan. Tak cukup satu hari boleh jadikan dua hari. Tapi debat, tak kan pula nak buat dua hari,” kata Ahmad Maslan.

Mazlan pula berkata dia bukan mengejar publisiti tetapi mempunyai sebab tersendiri untuk berdebat. “Isu di tanah rancangan Felda ini sudah begitu lama dibiarkan. Saya sendiri sudah turun padang. Daripada 317 tanah rancangan Felda, saya sudah pergi 90 peratus. Saya telah terima maklum balas yang telalu banyak.

“Sebahagian masalah ini berlaku sebelum Datuk Ahmad Maslan berada dalam kabinet. Kita dah cuba bermacam cara, tetapi tidak mendapat respon positif dari Felda. Maka ruang terbaik ialah debat dan biarlah rakyat menjadi hakim, terutama masyakart Felda yang selama ini dikatakan tak tahu bersyukur, tak tahu berterima kasih dan sebagainya.

“Bagi saya, debat adalah satu platform untuk mengetengahkan isu Felda dan sebagai medan kepada rakyat mendengar sendiri perkara sebenar dan mengetahui siapa petualang sebenarnya,” kata Mazlan pula.

Perkara mencuit hati berlaku pada sidang akhbar itu apabila kedua-duanya saling mendabik dada dengan memberi gambaran mereka lebih memahami masyarakat peneroka Felda.

“Saya adalah anak peneroka. Sejak berusia dua tahun saya dibawa masuk oleh ibubapa ke tanah rancangan Felda. Berdasarkan pengamatan dan pengalaman itulah saya akan kongsi dengan rakyat Malaysia mengenai masalah Felda,” kata Mazlan.

“Saya adalah anak penoreh getah. Kita dah tebang pokok getah dan kita tanam kelapa sawit. Kami berdua dari Johor. Dia (Mazlan) dari Bukit Ramon dan saya dari Benut. Umur kami sama, 44 tahun.

“Saya sudah terlibat dalam keputusan-keputusan besar Felda sejak 2005 apabila menjadi Pengarah Seranta Felda di JPM. Kemudian apabila menjadi Timbalan Menteri, PM minta saya terus jaga Felda. Saya memahami perkara-perkara mengenai Felda. Sebab itu saya ajak berdialog kerana berdebat tak akan selesaikan masalah kerana ia lebih kepada publisiti,” kata Ahmad Maslan pula.

Kedua-duanya bagaimanapun bersetuju supaya debat atau dialog itu diadakan sebelum bulan puasa. Mereka juga ditanya sama ada tindakan untuk mengadakan dialog atau debat ini bertujuan mencari publisiti atau menyelesaikan masalah.

“Saya nak selesaikan masalah, Sebenarnya soal publisiti tak timbul. Saya bukan mahu mahu mencari publisiti. Saya serius mahu berdebat dan biarlah sasarannya adalah rakyat Malaysia. Biar mereka jadi hakim. Ini bukan soal saya dengan Datuk Ahmad Maslan. Dah berpuluh tahun kita berdialog dengan Felda dan hasilnya tak ke mana. Bagi saya, dia memang takut nak berdebat,” kata Mazlan.


1 ulasan:

G2 berkata...

hairan,kena nak diberi publisiti sgt si mazlan aliman ni?semua tahu dia org kuat PAS,jd dah tau mana arah tujunya,yg dikata hampir 90%kwsn rncgn dia buat kajian tu,semua maklum balas adalah yg menyokong PAS atau segelintir atau tiada langsung,sebenarnya inilah yg diputuskan muktamar PAs;iaitu menyerang Felda habis2an semata2 nak raih undi,jgn buang masa dgn org2 ini kerana saman dah dihantar,apalagi;debatlah di mahkamah,bawalah bukti yg dikatakan dan jadikan mazlan aliman itu sebagai saksi pembela,keputusan mahkamah adalah muktamad