12/07/2009

Royalti Kelantan - KU LI BAGAI 'CUCUK MATA' SENDIRI.

Pengumuman persetujuan kerajaan Pusat memberikan wang ehsan mulai 2010 belum menamatkan perasaan tidak puashati kerajaan negeri Kelantan. Ini kerana pihak terbabit terus menuntut royalti hasil petroleum di kawasan perairan negeri itu sejak beberapa tahun lalu.

Kerajaan PAS Kelantan dengan disokong sekutu mereka PKR dan DAP dalam pakatan pembangkang terus membangkitkan soal tuntutan malah Kelantan bersedia membawa kes itu ke mahkamah luar negara jika royalti yang dituntut gagal diperolehi.

Kerajaan Pusat ketika ini masih dengan pendirian bahawa Kelantan tidak berhak atau layak menerima royalti berdasarkan kedudukan pengeluaran petroleum luar pesisir kawasan seperti perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974.

Kemuncak kepada tuntutan ini apabila pembangkang bersedia melantik Tengku Razaleigh Hamzah sebagai pengerusi Kaukus parlimen yang dibentuk pihak terbabit bagi meneruskan tuntutan tersebut.

Tengku Razaleigh adalah Pengerusi Petronas yang pertama dan antara terbabit merangka Akta Kemajuan Petroleum 1974. Pembangkang dilihat cuba menggunakan bekas Menteri Kewangan itu memandangkan Tengku Razaleigh adalah orang paling mengetahui tentang perjanjian di bawah akta tersebut.

Persoalannya kini, apakah kesan kepada kerajaan Pusat jika ahli parlimen Gua Musang itu yang kini belum memberi jawapan tiba-tiba bersetuju bersama pemimpin pembangkang mendesak Kelantan perlu diberikan royalti bukannya wang ehsan?

Jika itu berlaku, tindakan Tengku Razaleigh itu boleh diibarat jari yang mencucuk mata sendiri kerana beliau adalah pemimpin UMNO dan ahli parlimen Barisan Nasional (BN) yang tidak sepatutnya bersama-sama pembangkang membuat keputusan menentang kerajaan.

Bagaimanapun, beliau masih belum membuat sebarang keputusan berhubung tawaran pembangkang itu dengan alasan mahu melihat pihak-pihak lain yang turut menganggotai kaukus tersebut. Namun, PAS tidak tinggal diam apabila mencadangkan pula satu jawatankuasa khas ditubuhkan di peringkat Parlimen bagi membolehkan perjanjian Akta Kemajuan Petroleum 1974 antara kerajaan pusat dan negeri Kelantan dikaji semula.

Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub berpendapat jawatankuasa itu perlu bagi membolehkan terma dan syarat perjanjian dapat disemak dan dibahaskan supaya tidak disalahguna oleh mana-mana pihak. Tindakan itu juga bukti bahawa kerajaan Kelantan akan menggunakan pelbagai cara untuk menuntut royalti tersebut.

Mereka juga menggesa kerajaan mengaturkan satu wacana intelektual membabitkan kerajaan pusat dan wakil kerajaan Kelantan dengan menjemput Tengku Razaleigh dan bekas Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas sebagai anggota panel. Pembabitkan kedua-dua individu penting yang terlibat secara langsung dalam perjanjian itu menurut pembangkang akan membolehkan semua pihak mendengar hujah dan pandangan dari sudut intelektual berhubung perjanjian itu.

Dengan mengenepikan isu doa Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat termasuk ‘doa sampai pecah perut’ jika kerajaan Pusat tidak memberikan royalti kepada negeri itu, isu ini harus segera diselesaikan. Kerajaan boleh bertegas mahupun berkeras dengan alasan Kelantan tiada hak menuntut royalti tetapi senarionya pasti berbeza jika Tengku Razaleigh akhirnya membuat keputusan bersama barisan pembangkang bagi mendapatkan royalti.

Tindakan inilah yang boleh diibarat jari yang mencucuk mata sendiri kerana kerajaan Pusat terpaksa berdepan dengan Tengku Razaleigh yang ‘amat mengetahui’ soal perjanjian di bawah Akta Petroleum 1974. Bayangkan jika beliau membuka mulut dan membuktikan ada yang ‘tidak kena’ dengan keputusan kerajaan Pusat tidak memberikan royalti kepada Kelantan.

Beliau tidak perlu jadi pengerusi kaukus seperti dicadangkan pembangkang sebaliknya dengan kebijaksanaannya, beliau boleh mencari jalan sendiri dan bersikap berkecuali. Lagipun setakat ini beliau nampaknya diberikan kepercayaan oleh pembangkang dalam menyelesaikan isu terbabit.

Sekiranya beliau bersetuju dengan cadangan kerajaan, Tengku Razaleigh harus dilihat tiada kepentingan peribadi, mahupun politik sebaliknya tindakan beliau perlu dilihat demi kepentingan rakyat Kelantan bukannya kerajaan PAS di negeri itu.

Antara yang turut bersetuju supaya Tengku Razaleigh diberikan kepercayaan menyelesaikan soal royalti mengikut kaedahnya adalah bekas Menteri Perdangangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad.

Baginya, adalah lebih mudah kerajaan beralah kepada Tengku Razaleigh daripada mengalah kepada pembangkang sekiranya pemimpin UMNO Kelantan itu memilih menuntut royalti bersama pakatan rakyat.

Terpulang kebijaksanaan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sama ada mahu menerima cadangan ini atapun memikirkan kaedah lain jika isu ini berlarutan. Niat baik kerajaan Pusat sebelum ini untuk memberikan wang ehsan kepada Kelantan dilihat sebaliknya oleh pembangkang terutama PAS di negeri itu.

Kami dari pihak UMNO Cawangan Gombak Selatan sentiasa menyokong keputusan Datuk Seri Najib Tun Razak. Bukan niat kami untuk memburuk-burukkan Ku Li. Namun, rasa kecewa ahli-ahli UMNO terhadap beliau yang bertindak membelakangi parti. Tindakan beliau telah menyebabkan nama UMNO Kelantan tercemar.

Buat Y.M Tengku Razaleigh, persiapkan jentera parti UMNO Kelantan terlebih dahulu. Kuatkan perpaduan di kalangan jentera di sana. Kemudian naikkan semangat kental untuk berjuang. Barulah kita dapat merealisasikan kehendak rakyat. Bukan dengan cara begini. Ingat, Ku Li pernah bersama pembangkang dek kerana kecewa dengan kepimpinan parti. Kemudian kembali bersama UMNO kerana rasa insaf. Kini? Gunalah saluran yang betul. Jangan dok syok sendiri melaksanakan dasar yang bertentangan dengan semangat setiakawan di dalam UMNO.
Artikel merujuk daripada Roslan Bian.

1 ulasan:

AntiWangEhsan berkata...

Anda adalah Menteri yang cetek ilmu...anda perlekehkan YBM Kuli. YBM Kuli terlibat politik sebelum anda. Beliau adalah orang veteran. Beliau mempunyai prinsip perjuangan. Bukan seperti anda.